Rabu, 12 Januari 2022

Banjir di Pahang pulih sepenuhnya

BH ONLINE
Sukarelawan menggunakan jengkaut untuk mengangkat keluar tunggul kayu hanyut dari Sungai Benus ketika melakukan gotong-royong membersih persekitaran kawasan Rekreasi Pulau Santap, Janda Baik yang terjejas akibat banjir besar Disember lalu. - Foto BERNAMA
Sukarelawan menggunakan jengkaut untuk mengangkat keluar tunggul kayu hanyut dari Sungai Benus ketika melakukan gotong-royong membersih persekitaran kawasan Rekreasi Pulau Santap, Janda Baik yang terjejas akibat banjir besar Disember lalu. - Foto BERNAMA

KUANTAN: Keadaan banjir di Pahang pulih sepenuhnya selepas pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir iaitu Sekolah Kebangsaan Temai di daerah Pekan yang menempatkan 61 orang daripada 12 keluarga, menamatkan operasi pada 10 malam ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan, gelombang pertama banjir di Pahang bermula 17 Disember lalu, menyaksikan 67,333 orang daripada 18,243 keluarga ditempatkan di 432 PPS di sembilan daerah.

Gelombang kedua banjir pada 31 Disember yang bermula di daerah Raub, pula menyaksikan 3,293 orang daripada 911 keluarga ditempatkan di 72 PPS di lapan daerah.

Sekretariat itu turut memaklumkan, 21 kematian dilaporkan sepanjang gelombang pertama banjir dengan Bentong merekodkan bilangan kes tertinggi iaitu 11 orang.

Ini diikuti Temerloh (empat), Kuantan (tiga), Raub (dua) dan Pekan (satu).

Bencana banjir kali ini turut mengakibatkan beberapa laluan di dua lebuh raya utama Pahang dinaiki air iaitu Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur 1, namun dibuka secara berperingkat kepada pengguna selepas kerja pembersihan dilakukan. – BERNAMA

Tiada ulasan: