Rabu, 12 Januari 2022

Banjir di Negeri Sembilan bukan kerana balak, kata MB


Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata bencana banjir di beberapa daerah di Negeri Sembilan tidak ada kena-mengena dengan aktiviti pembalakan.

Beliau berkata timbunan kayu yang hanyut di kawasan perumahan di Pantai, Seremban akibat banjir bulan lepas merupakan kayu reput dan kerja-kerja pembersihan di lokasi itu hanya mengambil masa dua hari, menurut laporan Bernama.

“Saya jemput semua, daripada kita hanya bercakap, boleh datang dan lihat sendiri apa yang berlaku di Gunung Berembun, ambil gambar dan nilaikan sendiri sama ada kawasan itu kawasan pembalakan ataupun apa yang berlaku adalah kejadian alam.

“Kadang-Kadang laporan itu tidak menceritakan tentang negeri ini tetapi gambar adalah di sini. Semua orang tahu apa yang berlaku di negeri ini, gambar penuh itu bagi saya ‘nakal’ dan saya harap ia tak berulang lagi,” katanya selepas Mesyuarat Exco hari ini.

Menyentuh pemulihan semula Taman Eko Rimba Jeram Toi di Jelebu, Aminuddin berkata kerja membaik pulih akan mengambil masa yang panjang kerana kawasan itu terjejas teruk berikutan hujan lebat dan banjir bulan lepas.

Beliau berkata hampir semua kawasan serta kemudahan di pusat rekreasi itu musnah akibat banjir dan akan dibaik pulih mengikut fasa dengan peruntukan awal mencecah RM3 juta.

Aminuddin berkata pihaknya tidak mahu tergesa-gesa melakukan pemulihan kerana enggan merosakkan keindahan semula jadi di pusat rekreasi itu.

“Jeram Toi satu tempat yang menarik tetapi sekarang kita hilang keseluruhannya, bangunan di sana juga sudah tiada dan apa yang tinggal hanya batu-batu serta aliran anak sungai yang baharu.

“Kerajaan negeri akan memajukan semula kawasan berkenaan dengan lebih baik dan teratur serta kekal menjadi tarikan pelancongan di negeri ini.

“Landskap di situ juga akan disusun semula termasuk bangunan akan diletakkan lebih teratur di samping keindahannya dapat dijaga dengan lebih baik,” katanya.

Tiada ulasan: