Rabu, 19 Januari 2022

Atasi trauma kehilangan insan tersayang


Kehilangan insan tersayang akibat wabak Covid-19 memang meragut jiwa. Apatah lagi kekangan pandemik ketika ini menyukarkan kita untuk melihat wajah orang-orang yang disayangi pada detik terakhir.

Sesungguhnya, mereka yang diuji kehilangan ahli keluarga khususnya ibu, bapa dan adik beradik sekelip mata memang cukup berat untuk ditanggung.

Lebih perit, kehilangan insan terdekat seperti ibu bapa atau anak akibat Covid-19 boleh menyebabkan tekanan dan trauma kepada mereka yang ditinggalkan.

Kesedihan dirasai apabila tidak dapat ‘mengiringi’ pemergian terakhir insan disayangi dan ada yang kesal tidak dapat menemani insan pada saat bertarung virus itu.

Menurut Pensyarah Perubatan dan Pakar Psikiatri Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Muna Hamiza Asiff, trauma akibat kematian dan kehilangan mereka yang tersayang boleh menyebabkan pengalaman menyedihkan sehingga memberi kesan kepada kesihatan seseorang.

“Terdapat lima fasa perlu dilalui seseorang yang kehilangan insan tersayang seperti disebut ahli psikiatri Amerika Syarikat, Elisabeth Kubler Ross iaitu penafian, kemarahan, pengharapan, kesedihan berlebihan dan penerimaan.

“Kebanyakan mereka yang berdepan kehilangan insan tersayang akan melalui fasa ini dan tempoh masa yang diambil untuk pulih daripada trauma juga berbeza,” katanya.

Tambah beliau, mungkin ada mengatakan masa akan mengubati rasa pahit dan perit trauma kehilangan, tetapi sebagai manusia, adalah normal untuk berasa sedih, menangis dan melalui fasa kesedihan.

Katanya, tidak salah bersedih dan penting untuk menerima hakikat kehilangan orang tersayang dan emosi yang datang dengannya.

“Mereka yang berdepan trauma kehilangan insan tersayang perlu sentiasa mencari masa untuk bersama ahli keluarga dan rakan terdekat bagi berkongsi perasaan dan masalah dihadapi.

“Ini termasuk meneruskan aktiviti dan hobi yang biasa dilakukan, selain mengekalkan rutin seharian dengan membuat jadual.

“Jaga pemakanan, bersenam dan pastikan mendapat tidur mencukupi serta elak perkara yang dapat mengganggu kesihatan,” ujarnya.

Selain itu, lakukan ‘digital detox’ dengan berehat daripada media sosial supaya tidak mengganggu kesihatan mental,” katanya.

Muna Hamiza berkata, aktiviti sebegini mungkin dilihat sebagai ‘lencongan’ bagi mengisi masa bagaimanapun mereka yang berdepan trauma akibat kehilangan insan tersayang perlu mengakui kesedihan dialami.

Mereka berdepan trauma perlu mencari peluang meningkatkan kekuatan spiritual termasuk sabar dan reda dengan ujian yang menimpa serta mencari hikmah di sebalik apa yang berlaku.

“Masa diambil untuk pulih adalah berbeza tetapi trauma berpanjangan yang tidak dirawat boleh memberi kesan kepada kesihatan mental dan menyebabkan kemurungan.

“Selain mengalami kesedihan berpanjangan, trauma tidak dirawat boleh memberi kesan kepada kesihatan mental dan menyebabkan kemurungan.

“Minta bantuan orang lain untuk membantu anda berdepan trauma itu dan sekiranya perasaan itu berlarutan sehingga mengganggu aktiviti seharian, dapatkan bantuan serta penilaian dan rawatan daripada profesional,” katanya.

Menurut Muna Hamiza, individu di sekeliling boleh turut memainkan peranan bagi membantu individu berdepan dengan trauma dengan sentiasa berhubung dan bertanya khabar serta menjadi pendengar yang baik.

“Jangan menghakimi dan mengasingkan diri daripada mereka serta percaya terhadap perasaan sedih yang dikongsikan,” katanya.

Tiada ulasan: