Shah Alam: Seorang pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengalami kecederaan ketika melakukan kerja pemadaman di sebuah kilang pemetik api di Seksyen 22 dekat sini, petang tadi.
Pengarah JBPM Selangor, Norazam Khamis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu, pegawai Yunuslie Julius, 28, yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam cedera selepas simen konkrit yang dianggarkan sebesar dua ketul bata terjatuh atas kepalanya.
"Pegawai berkenaan memakai topi keledar dan sedang melakukan kerja pemadaman di tingkat bawah bangunan berkenaan sebelum simen konkrit itu terjatuh atas kepalanya. Susulan itu, dia mengalami kesakitan di bahagian tengkuk.
"Komander operasi kemudian meminta bantuan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi kejadian dan pegawai berkenaan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.
"Pemeriksaan lanjut termasuk ujian x-ray (Radiologi) sedang dilakukan dan pegawai berkenaan dalam keadaan sedar," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, sepasukan pegawai dan anggota dari BBP Shah Alam melaksanakan kerja pemadaman di kilang tiga tingkat itu.
Norazam berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu pada 3.15 petang.
Katanya, kebakaran itu membabitkan bangunan kelas A dengan keluasan 5,000 kaki persegi yang terbakar 70 peratus.
"Punca sebenar kebakaran masih disiasat dan tiada mangsa yang terbabit," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan