Khamis, 20 Januari 2022

Agong perkenan tubuh RCI Tabung Haji, siasat operasi 2014-2020


Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu pengurusan dan pengoperasian Tabung Haji (TH) dari 2014 hingga 2020.

Antara lain suruhanjaya itu akan menyiasat hasil pengauditan perunding-perunding seperti PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger dari tahun 2014 hingga 2020.

Selain itu, suruhanjaya itu akan menentukan sama ada terdapat tindakan menyembunyikan (cover up) maklumat berkaitan isu-isu yang dibangkitkan dan perbuatan memberi kenyataan mengelirukan mengenainya.

Suruhanjaya akan mencadangkan tindakan yang sesuai diambil terhadap pihak-pihak terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung jika mereka didapati melanggar mana-mana peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa tanpa menjejaskan apa-apa siasatan dan tindakan perundangan yang sedang dilaksanakan pihak-pihak berkuasa berkaitan.

Langkah ini bertujuan penambahbaikan dan tadbir urus TH dan mengemukakan kepada kerajaan laporan hasil semakan dan syor mengenai tindakan susulan, jika perlu, dalam tempoh tiga bulan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata penubuhan RCI itu dilakukan selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).

Memetik Bernama, beliau berkata Yang di-Pertuan Agong juga memperkenan pelantikan enam ahli RCI termasuk bekas Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif sebagai Pengerusi.

Lima lagi ahli RCI ialah bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Samsudin Osman; Pengasas Kumpulan RHB Tan Sri Abdul Rashid Hussain; dan bekas Pengerusi Bank Muamalat Malaysia Berhad Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid.

Turut dilantik ialah Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Unishams) Profesor Dr Asmadi Mohamed Naim dan Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Norsyahrin Hamidon.

Wan Junaidi berkata ahli RCI yang dilantik merupakan tokoh berwibawa, mempunyai kepakaran dan pengalaman luas dalam bidang masing-masing iaitu kehakiman, perkhidmatan awam, pentadbiran, ekonomi, kewangan, pelaburan, pasaran modal, perbankan, kewangan Islam serta perakaunan.

“Mereka yang dilantik ini telah dipastikan bebas dan tidak mempunyai hubungan secara langsung dengan TH.

“Ini bagi memastikan siasatan dapat dijalankan dengan telus, adil dan saksama serta mengelak sebarang isu yang melibatkan konflik kepentingan dengan pihak yang berkaitan,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata pelantikan itu berkuat kuasa mulai esok hingga 19 Julai dan suruhanjaya itu diberikan tempoh enam bulan bagi melaksanakan siasatan serta menyediakan laporan untuk dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong.

Tiada ulasan: