Ahad, 2 Januari 2022

6 minggu bersih cerun Jalan Genting Peras-Kuala Klawang

Kerja-kerja pembersihan cerun runtuh di laluan B32 Jalan Genting Peras-Kuala Klawang yang menyebabkan laluan berkenaan terputus akibat banjir baru-baru ini. - Foto NSTP/Nor Azizah Mokhtar
Kerja-kerja pembersihan cerun runtuh di laluan B32 Jalan Genting Peras-Kuala Klawang yang menyebabkan laluan berkenaan terputus akibat banjir baru-baru ini. - Foto NSTP/Nor Azizah Mokhtar

KUALA LUMPUR: Kerja pembersihan 42 kawasan tanah runtuh di sepanjang laluan B32 Jalan Genting Peras-Kuala Klawang dijangka akan mengambil masa sehingga enam minggu untuk diselesaikan.

Laluan berkenaan menghubungkan laluan antara daerah Hulu Langat, Selangor dengan Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan.

Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman, berkata insiden cerun runtuh di laluan berkenaan dianggap paling serius pernah berlaku dan kesemuanya berlaku pada hari pertama kejadian banjir besar, pada 18 Disember lalu.

"Pada hari kejadian, terdapat dua kenderaan terperangkap di laluan ini akibat kejadian tanah runtuh sehingga pasukan penyelamat terpaksa dipanggil untuk membawa mereka keluar daripada kawasan ini.

"Runtuhan membabitkan cerun-cerun bukit di sini dan apa yang merisaukan ia membabitkan batu-batu yang besar bersama balak-balak, justeru Jabatan Kerja Raya (JKR) mengambil tindakan segera untuk membersihkan kawasan runtuhan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika meninjau kerja pembersihan cerun di salah sebuah kawasan runtuhan di lokasi terbabit, hari ini.

Turut sama, Ketua Pengarah JKR, Datuk Mohamad Zulkefly Sulaiman serta Jurutera Daerah Hulu Langat, Zulfaizal Mat Zin.

Katanya, kerja-kerja pembersihan di laluan itu akan mengambil masa antara empat hingga enam minggu sebelum meneruskan kerja-kerja membaiki dan mengukuhkan cerun.

Wan Ahmad Uzir berkata laluan berkenaan terpaksa ditutup sementara daripada sebarang kenderaan sehingga ke satu tarikh yang tidak dipastikan lagi.

"Kita perlu pastikan kesemua cerun-cerun di laluan itu dibaiki serta dikukuhkan dan dipastikan benar-benar selamat sebelum dibuka semula untuk kenderaan.

"Kerja pembersihan dan pembaikan cerun dilakukan oleh pihak JKR menggunakan jentera dan kakitangan kita sendiri," katanya.

Katanya kerja pembersihan dilakukan secara berperingkat dan perlu dibuat dengan berhati-hati memandangkan masih ada runtuhan kecil berlaku di laluan itu.

Dalam pada itu, terdapat sebuah perkampungan Orang Asli di kawasan berhampiran yang kini terputus hubungan akibat kejadian tanah runtuh yang berlaku, justeru kerja pembersihan di kawasan itu akan cuba diselesaikan dengan segera.

Tiada ulasan: