-
KUALA TERENGGANU: Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) terkilan
dengan tindakan sebuah klinik panelnya yang tergamak mengeluarkan notis
enggan memeriksa kakitangan universiti itu dan keluarga berikutan kes
Covid-19 membabitkan salah seorang warganya baru-baru ini.
Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, perbuatan pihak klinik mendiskriminasikan pelanggan seolah-olah menggambarkan warga Unisza dan keluarga adalah ‘najis dan berpenyakit’.
Katanya, perkara itu amat mengecewakan sedangkan individu yang disahkan Covid-19 itu bukan menerima jangkitan dari dalam kawasan universiti, sebaliknya semasa perjalanan atas urusan kerja rasmi.
“Dalam kegawatan mendepani penularan pandemik Covid-19, pelbagai cara dilakukan oleh kerajaan untuk mengekang wabak tersebut, namun ada pihak yang tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri mengeluarkan notis demikian.
“Universiti memberi bunga dan haruman, namun tahi dan cemuhan yang dibalas seolah-olah warga Unisza adalah najis dan berpenyakit.
“Beginikah cara masyarakat membalas budi baik warga universiti? Amat tidak wajar dan mendukacitakan sekali,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Notis yang ditampalkan di kaunter klinik itu memaklumkan mulai 4 hingga 18 Oktober ini, mana-mana kakitangan dan keluarga Unisza diminta mendapatkan rawatan di klinik kerajaan.
Menurut Hassan Basri, universiti merupakan gedung ilmu yang menghimpunkan para ilmuan, profesor, pensyarah, pentadbir di samping puluhan ribu penuntut dan tanggungjawab golongan berkenaan tidak hanya terperap di kampus, sebaliknya mempunyai keperluan untuk bersama-sama komuniti dalam aktiviti kemasyarakatan dan meringankan beban masyarakat.
Sehubungan itu, beliau berkata, sudah sampai masanya masyarakat dididik dengan kaedah baharu yang lebih mementingkan pendidikan agar mereka dapat saling menghormati para profesor, pensyarah dan pentadbir universiti. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan