Ahad, 11 Oktober 2020

Siapa tak pernah kena tipu? Tipulah!

 Oleh Fauziah Md Arof

“KAK, saya ini…” – Masuk satu mesej dalam aplikasi Mesengger. Saya malas hendak baca habis. Memang saya jarang nak peduli mesej dalam media sosial yang saya anggap kebanyakan tidak penting. Selalunya, kalau urgent telefon sajalah.

Tidak lama selepas itu masuk mesej dalam applikasi WhatsApp saya pula. Dia memberitahu, ada menghantar mesej dalam Facebook tetapi tidak berjawab. Mesej itu datangnya daripada seorang penjual barangan online yang saya pernah berurusan membeli barangan daripadanya sebelum ini. Jadi, sudah tentu dia ada simpan nombor telefon saya dalam Messenger.

Tiba-tiba dia mahu meminjam duit daripada saya. Katanya, beg duitnya cicir. Semua wang dan kad ATM turut hilang.

Saya pun pelik. Berdasarkan gambar dalam Facebook, dia ada suami, dah tentu juga ada adik-beradik, ada saudara mara dan dalam banyak kawan-kawan kenapa hendak pinjam duit saya? Orang yang tidak dikenalinya. Adakah saya ‘insan terpilih’? Senang betul hendak pinjam duit. Minta dari media sosial saja.

Saya jawab, tiada duit. Saya pun semasa itu belum bekerja lagi setelah tempat kerja lama saya tutup operasi. Tidak puas hati dengan jawapan itu, dia mendesak bagilah berapa-berapa yang ada. RM20 atau RM50 pun okay, katanya. Dalam hati saya, tak akan RM20 pun nak minta saya yang dia tidak kenal ini.

Saya syak, Facebook penjual barangan online ini sudah digodam. Logiknya, orang tak akan pinjam duit daripada orang yang tak berduit! Bila saya cakap saya baru hilang kerja, sepatutnya dia faham. Kalau fikirkan logik lagi, sayalah yang patut pinjam duit daripadanya. Tetapi dia berterusan mendesak.

Saya pun block nombor itu termasuk akaun Facebooknya. Saya tak nak pening-pening kepala melayan. Entah siapa lagi dia sudah ‘kacau’. Jika betul Facebooknya digodam, kasihan pemilik akaun itu, selain digunakan untuk mendapat wang dengan menipu, namanya turut terpalit buruk. Sudahlah dia cari makan dengan berniaga online. Saya pasti ramai juga sudah kena sebegini. Sama ada nak layan atau tidak. Itu saja.

Kalau banyak duit layan dan terpengaruhlah dengan cerita-cerita sedih. Anak, emak bapa sakit atau suami kemalangan jalan raya dan macam-macam lagi, memang mudahlah kena tipu tanpa bersoal jawab.

Dan baru-baru ini, seorang kawan lama saya bercerita, dia sudah kena tipu melalui aplikasi WhatsApp pula. Dia yang juga penjual barangan online berkata, nombor yang menggunakan gambar profil salah seorang keluarga penaung syarikat jualan online itu meminta dia memasukkan duit sebanyak RM1,000. Dia pun tanpa berfikir panjang memasukkan wang dalam akaun yang diberi.

Setelah menyedari ditipu, nombor tersebut asyik bertukar gambar profil. Sekejap guna gambar ustaz, budak kecil, kuda belang! Dan terbaharu dia tunjukkan kepada saya, gambar lelaki kacak ala pelakon Korea.

Dan kawan saya itu atas nasihat kawan-kawan lain membuat laporan polis, walaupun pada mulanya dia enggan dan menerimanya sebahagian ujian Tuhan. Makna duit itu, memang bukan rezekinya. Saya pula naik angin dan berkata, dia tidak sepatutnya berfikiran sebegitu. Memanglah itu ujian dari Tuhan tapi pada masa sama orang seperti ini jika dibiarkan akan giatlah menipu orang lain. Entah berapa keuntungan pula dia dapat bila ramai yang tidak mahu melaporkan pada polis. Kalau berjaya dapat RM20 pun, jika 20 orang yang masukkan duit dalam akaun, banyak juga dia dapat tanpa perlu kerja keras. Menipu saja.

Betul lah dalam dunia ini memang ramai suka menipu dan ramai yang sudah kena tipu. Siapa yang cakap dia tak pernah menipu dan kena tipu, memang tipulah. Tetapi tak akan kita membiarkan saja penipuan itu dan menganggap ia sebagai pengajaran kepada diri sendiri supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan orang tidak dikenali dalam media sosial.

Asyik pengajaran kepada diri sendiri saja, bila pula giliran bagi pengajaran kepada yang menipu itu?

Tiada ulasan: