Ahad, 11 Oktober 2020

TNB rugi RM4.5 juta angkara sindiket bitcoin

Kakitangan TNB Pahang melakukan operasi
Kakitangan TNB Pahang melakukan operasi

KUANTAN: Tenaga Nasional Berhad (TNB) Pahang kerugian lebih RM4.5 dalam tempoh tiga bulan, iaitu Julai hingga September lalu angkara sindiket perlombongan mata wang bitcoin yang membuat sambungan elektrik secara haram tanpa meter di tiga daerah di negeri ini.

Ketua Perkhidmatan Pelanggan TNB Pahang, Rozianis Mohd Noor, berkata dalam operasi bitcoin bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) bulan lalu pihaknya berjaya mengesan sebanyak 29 premis bitcoin di daerah ini, Temerloh dan Bera.

Katanya, operasi kali lima tahun ini dilakukan selepas mendapati sindiket terbabit kembali aktif semula selepas beberapa kali premis mereka diserbu oleh kakitangan TNB yang sentiasa berusaha melumpuhkan dan menghapuskan kegiatan berkenaan daripada terus berleluasa.

Menurutnya, pada operasi bulan lalu TNB mencatat kerugian kira-kira RM1.5 juta sebulan berikutan kegiatan sindiket perlombongan mata wang bitcoin yang membuat sambungan elektrik secara haram tanpa meter membabitkan lapan premis di Temerloh dan Bera termasuk 21 di daerah ini.

"Sepanjang tahun lalu TNB Pahang menanggung kerugian lebih RM3.2 juta angkara perbuatan sindiket perlombongan mata wang bitcoin yang ketika itu baharu mula menapak di negeri terutama di daerah ini.

"Bukti kesungguhan TNB Pahang membendung sindiket perlombongan mata wang bitcoin yang membuat sambungan elektrik secara haram tanpa meter ialah dengan cara melakukan operasi secara berterusan dalam tempoh sembilan bulan tahun ini sebanyak lima operasi berjaya dilakukan," katanya, dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, kerjasama dengan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) lain akan terus dilakukan dalam memastikan kegiatan terbabit dapat dilumpuhkan sepenuhnya secara berperingkat suatu hari nanti.

Rozianis berkata, kuasa merampas barangan dan peralatan yang ada pada PBT dapat menyekat sindiket terbabit daripada terus beroperasi secara haram hingga menyebabkan TNB menanggung kerugian besar setiap tahun.

Katanya, pada operasi bitcoin di daerah ini akhir bulan lalu, pihaknya menemui premis bitcoin di bangunan perniagaan terletak di Fajar Jaya, Gambang, Jaya Gading, Kemunting dan Balok. Ketika serbuan dilakukan semua premis tiada penjaga.

"Kini terdapat pelbagai cara digunakan sindiket perlombongan mata wang bitcoin yang membuat sambungan elektrik secara haram tanpa meter, selain menebuk lantai dan dinding mereka juga menggunakan kotak alat penggera untuk mengadakan sambungan wayar.

"TNB Pahang kini mempunyai unit khas bertanggungjawab membanteras kegiatan terbabit daripada terus beroperasi, selain melakukan serbuan dan pemotongan bekalan elektrik. Dari masa ke semasa memantau lokasi panas di semua daerah.

"Kerjasama erat dengan PBT diharap dapat melumpuhkan kegiatan bitcoin membuat sambungan elektrik secara haram tanpa meter di negeri ini. Kita juga mengharapkan maklumat orang awam berkaitan kegiatan terbabit.

"Kegiatan perlombongan bitcoin membabitkan penggunaan rangkaian komputer berkuasa tinggi dan beroperasi 24 jam, bagi mengelak membayar bil yang tinggi mendorong pihak terbabit mencuri bekalan elektrik dengan cara membuat sambungan haram tanpa meter," katanya.

Tiada ulasan: