Pengarah dan penerbit veteran, Yusof Kelana yang mengidap kanser kulit tahap empat sedang kritikal di Institut Kanser Negara, Putrajaya.
Menurut Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PVTM), Jurey Latiff Rosli, keadaan sahabat baiknya itu semakin merosot dan perlu bergantung pada alat bantuan pernafasan.
“Dia jatuh pengsan pada 2 Ogos lalu disebabkan tidak makan selama dua hari. Dia kemudian dimasukkan ke hospital oleh anggota keluarganya.
“Bagaimanapun, saya dimaklumkan Yusof tak sedarkan diri sejak Selasa akibat kanser yang sudah merebak ke bahagian otak.
“Dia juga dah tak boleh bernafas sendiri. Berkemungkinan besar, dia akan dibawa pulang ke rumah esok,” katanya kepada Malaysiakini.
Jurey berkata, dia hanya mengetahui pengarah filem Tragedi Oktober itu disahkan mengidap kanser pada Jun lalu.
Katanya, tanda-tanda awal Yusof, 66, mengidap kanser ialah selepas mengalami luka sebesar syiling 50 sen pada tapak kaki.
“Dah lama dia mengidap luka berkenaan yang disangkanya akibat penyakit kencing manis, cuma Yusof tak pernah ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
“Dia hanya berulang-alik ke klinik dan farmasi untuk mengubati luka tersebut. Selepas buat imbasan, baru dapat tahu yang dia mengidap kanser kulit tahap empat,” katanya.
Yusof yang juga pemilik YKS Film Maker itu baru selesai menyiapkan penggambaran dokumentari Bisikan Dari Kota Pusaka sebanyak 13 episod untuk siaran Radio Televisyen Malaysia.
Terdahulu, dimasukkan ke hospital selama 10 hari pada penghujung Jun lalu.
Selain Tragedi Oktober, Yusof juga mengarahkan filem Bidong: The Boat People (2018) dan juga bertindak selaku penerbit bagi Mahathir: The Journey.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan