Khamis, 6 Ogos 2020

BNM keluar, edar wang kertas RM120.7 bilion pada 2019

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

PARLIMEN l Jumlah wang kertas yang telah dikeluarkan dan diedarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) adalah sebanyak RM120.7 billion pada 2019 berbanding RM113.2 bilion yang telah didepositkan oleh institusi kewangan dalam tempoh sama.

Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah berkata pada akhir 2019, jumlah mata wang dalam edaran adalah sebanyak RM114.1 bilion yang terdiri daripada wang kertas bernilai RM110.5 bilion, duit syiling bernilai RM3.5 bilion dan duit peringatan bernilai RM82.6 juta.

“Peningkatan penggunaan mata wang dalam edaran seiring dengan pertumbuhan ekonomi. Namun, sejak 2012, kadar peningkatannya semakin perlahan disebabkan penerimaan dan penggunaan e-bayaran yang progresif.

“Bagaimanapun, pertumbuhan mata wang dalam edaran kembali meningkat pada separuh tahun 2019,” katanya pada sesi soal jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Pang Hok Liong (PH-Labis) mengenai jumlah nilai wang kertas bank atau nota bank yang telah dikeluarkan dan diedarkan oleh BNM atau dalam rekod BNM setakat akhir tahun 2019.

Mohd Shahar berkata walaupun mata wang masih digunakan secara meluas, Malaysia bukan antara negara dengan penggunaan mata wang yang tinggi di dunia seperti yang diukur berdasarkan nisbah mata wang dalam edaran dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Pada nisbah 6.6 peratus, penggunaan mata wang di Malaysia kurang intensif berbanding beberapa negara maju seperti Jepun (21.2 peratus), Switzerland (12.4 peratus) dan Singapura (10 peratus).

“Namun begitu, beberapa negara lain seperti Korea Selatan (6.1 peratus), United Kingdom (3.4 peratus) dan Sweden (1.3 peratus) mempunyai nisbah yang lebih rendah daripada Malaysia,” katanya.

Menjawab soalan tambahan daripada Pang, Mohd Shahar berkata kos untuk mencetak semula wang kertas yang lusuh adalah tinggi dengan anggaran sebanyak RM250 juta hingga RM340 juta setahun.

Ditanya jika kerajaan bercadang untuk mengeluarkan wang kertas baharu, beliau berkata: “Kita sentiasa memikirkan tentang penggunaan kos yang optimum untuk memastikan wang yang digunakan dalam edaran adalah wang yang selamat.”

Mohd Shahar juga berkata nisbah pemalsuan mata wang negara rendah pada 1:1 juta.

“Sehingga separuh tahun 2020, nisbah pemalsuan mata wang negara pada 1.0:1 juta. Sudah tentu, mata wang negara mempunyai ciri-ciri keselamatan. Terdapat 10 hingga 15 ciri-ciri keselamatan pada ringgit,” katanya.- Bernama

Tiada ulasan: