Sabtu, 18 Julai 2020

Sewa tapak setahun, berniaga 3 hari sahaja

Wan Noor Hayati Wan Alias
WhatsApp-Image-2020-07-16-at-10
Salah seorang peniaga pasar malam di Seksyen 9, Bangi menunjukkan plakad rasa tidak puashati dengan MPKj semalam.

BANGI – Kira-kira 300 peniaga di tapak Bazar Malam, Seksyen 9, di sini hanya ‘dibenarkan’ berniaga selama tiga hari oleh Majlis Perbandaran Daerah Kajang (MPKj) walaupun sewa tapak perniagaan berkenaan selama setahun.

Perkara itu didedahkan susulan demonstrasi yang dilakukan para peniaga di tapak bazar tersebut semalam.

Difahamkan, tapak berkenaan keluasan 6,000 meter kaki persegi itu disewakan oleh anak syarikat Perbadanan Kerajaan Negeri Selangor (PKNS), PI Brilliant kepada pihak penganjur Eta Global Resources Sdn Bdn dengan kontrak selama setahun bermula November 2019 lalu hingga Oktober ini.

Peniaga kecil-kecilan terbabit hanya berniaga tiga hari sahaja pada 15 Mac hingga 17 Mac lalu sahaja sebelum arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan menyebabkan seluruh operasi ditutup sehingga kini.

Bagaimanapun setelah kerajaan membenarkan semua sektor perniagaan dibuka pada 10 Jun lalu ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) termasuk pasar malam, peniaga-peniaga di tapak berkenaan masih tidak dibenarkan beroperasi semula walaupun lesen mereka masih hidup.

Penganjur merangkap Pengarah Urusan Eta Global Resources Sdn Bhd, Datuk Mohd Shah Taib berkata, situasi itu membimbangkan para peniaga kerana mereka sudah kerugian besar khususnya keuntungan yang diharapkan sepanjang menjelang Hari Raya Aidilfitri lalu.

“Kini mereka berharap untuk menebus semula kerugian dengan berniaga semula menjelang Hari Raya Haji tetapi MPKj masih belum memberikan memberikan kelulusan berniaga.

“Isunya, lesen sudah diberi tetapi MPKj mula memberi pelbagai alasan seolah-olah cuba melengahkan pembukaan tapak seperti contoh, kami diminta menyerah laporan mendapat kelulusan membina parit dan longkang daripada Jabatan Pengairan dan Saliran.

“Jika benar tidak cukup syarat, janganlah diberi lesen pada awalnya dan kami tidak perlu membayar sewa terlebih dahulu sehinggalah syarat dipenuhi.

“Ini tidak. Setelah lesen diberi bermacam-macam helah pula untuk meminta berbagai bayaran lagi namun tetap juga tidak dibenar berniaga.

“Kami juga sudah menyerahkannya ke Jabatan Kejuruteraan MPKj serta sudah dapat kelulusan dengan bayaran penalti RM25,000, bayaran cagaran RM25,000, wang proses RM401, wang cagaran penganjuran Bazar Malam RM3,000 dan cagaran pengurusan RM500.

“Setelah bayaran dibuat MPKj kata akan membenarkan operasi tetapi selepas bayaran dijelaskan Jabatan Kawalan Bangunan MPKj pula mempersoalkan tentang binaan bangunan sementara oleh peniaga di mana notis amaran diberi saat akhir sehari sebelum mesyuarat perlesenan, membuatkan kami tidak sempat melakukan persediaan.

“Sebulan sebelum itu seorang pegawai MPKj datang melawat ke tapak kami menyatakan tiada binaan kekal yang ada hanyalah binaan sementara tetapi tidak meminta kami menyerahkan kelulusan arkitek ke Jabatan Kawalan Bangunan,” katanya ketika ditemui semalam.

WhatsApp-Image-2020-07-16-at-11
Pihak penganjur tapak pasar malam Eta Global Resources
Sdn Bhd sedang ditemubual oleh wartawan berhubung isu
peniaga di Seksyen 9 Bangi yang belum dibenarkan
beroperasi di Bangi semalam.

Beliau mengulas tindakan sekumpulan peniaga berdemonstrasi di tapak Bazar Malam Seksyen 9 di sini dan menyatakan rasa tidak puas hati mereka ekoran masalah yang dihadapi dengan pihak berkuasa tempatan.

Rata-rata mereka memegang plakad dan ada antaranya tertulis “Benarkan kami berniaga, jangan tambah susah kami’ dan sebagainya.

Turut hadir meninjau situasi peniaga adalah Presiden Pertubuhan Penggerak Ekonom Islam Malaysia.

Tambah Mohd Shah, anehnya, lesen sudah diberi dan peniaga sudahpun berniaga selama tiga hari tetapi kenapa selepas PKP mereka tidak dibenarkan berniaga pula.

“Apa yang rakyat Selangor mahu adalah tempat untuk berniaga mencari rezeki, ramai yang hilang punca pendapatan takkan nak tunggu mereka berniaga di tepi jalan dan dihalau pula.

“Di mana ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Sungai Ramal Mazwan Johar dan Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming yang sepatutnya membela nasib peniaga bumiputera dan Melayu di daerah ini, hak mereka kian tertindas saban hari.

“Harapan kami agar Pejabat Menteri Besar Selangor campur tangan kerana merekalah yang memberi sokongan kepada kerajaan negeri pada pilihan raya yang lal, dan bakal menjadi pengundi pilihan raya akan datang.

“Jika benar ada ‘tangan ghaib’ yang melengah-lengahkan pembukaan tapak ini itu adalah di bawah kuasa SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk menyiasatnya dan bukan kami,” tegasnya.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan: