Sabtu, 18 Julai 2020

Nancy Shukri terkejut dengan kebangkitan industri pelancongan

Shawaliah Hadir
MGF26072018_SIDANG-PARLIMEN17-681x454
Datuk Seri Nancy Shukri

KUALA LUMPUR – Perkembangan industri pelancongan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengejutkan Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau yang pada mulanya menjangkakan sektor pelancongan dalam negara hanya akan mula kembali aktif pada Disember tahun ini tidak menyangka kebangkitannya akan berlaku lebih awal sejurus sahaja kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Jelas beliau, keyakinan rakyat untuk keluar melancong di dalam negara dalam tempoh ini didorong dengan pematuhan Prosedur Standard Operasi (SOP) pencegahan Covid-19.

“Tapi  nampaknya kita boleh bangkit lebih awal kerana kita merupakan rakyat yang begitu mematuhi SOP jadi itu adalah antara jaminan yang kita memberanikan diri untuk bergerak di mana-mana dan sama-sama kita mainkan peranan itu untuk mempertahankan SOP kita supaya kita merasa yakin untuk pergi melancong di tempat dalam negara,” katanya yang hadir pada Program Menyemarakkan Pelancongan Domestik di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.

Nancy menambah, melalui tahap pematuhan dan keyakinan rakyat ini  akan dapat menarik  pelancong luar untuk melawat negara ini pada masa yang sesuai kelak, sekaligus membantu pemain industri ini untuk kembali berkembang maju.

“Jadi kitalah yang akan jadi contoh kepada orang ramai dan negara luar mereka pun merasa nak cepat pergi ke Malaysia, dan boleh bantu giatkan ekonomi pelancongan domestik dan bantu mereka yang terkesan oleh industri ini,”tambahnya.

Dalam pada itu Nancy menjelaskan kenyataannya di Dewan Rakyat baru-baru ini berkenaan kadar penghunian hotel antara 70 hingga 100 peratus adalah merujuk kepada tempat peranginan di kawasan yang mempunyai tarikan yang tersendiri khususnya berdekatan dengan  pantai dan laut.

Jumlah peratusan ini, katanya, akan dicapai apatah lagi ketika hujung minggu.

“Secara purata 21 hingga 30 peratus iaitu secara menyeluruh, beberapa miggu lepas terutama sekali hotel berhampiran pantai dan laut  ada yang mempunyai daya tarikan sendiri kalau kita pergi hujung minggu sudah capai 70 peratus kadar penghunian, kita (kementerian) sendiri memantau. Ada yang salah faham di Parlimen,” katanya menjawab kenyataan persatuan perhotelan yang berkata kadar penghunian dalam negara pada waktu ini hanya lebih kurang 30 peratus sahaja.

Beliau berharap agar trend peningkatan kadar penghunian hotel akan terus meningkat agar pengusaha yang terjejas sebelum ini secara tidak langsung dapat menarik nafas lega.

“Kita harap ini akan jadi satu trend kepada dalam negara sebab ianya akan membantu pengusaha-pengusaha kita dan mereka yang bekerja di hotel, biarlah aura positif  ini sentiasa ada di kalangan masyarakat kita agar kita dapat bantu mereka tingkatkan ekonomi mereka,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: