KUALA LUMPUR: Isu berkaitan projek Lebuhraya Pan Borneo, industri ikan tuna dan isu Lesen Pengeluaran Filem adalah perkara yang bakal dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, isu-isu berkenaan menjadi tumpuan Ahli Parlimen menerusi 3 soalan pada sesi waktu pertanyaan-pertanyaan menteri.
Yusuf Abd Wahab (PN-Tanjong Manis) bertanyakan menteri kerja raya mengenai status terkini pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo serta justifikasi kerajaan terdahulu membatalkan pelantikan Rakan Pelaksana Projek (PDP) dan kesan penamatan syarikat PDP tersebut terhadap pelaksanaan projek.
Seterusnya, Wong Shu Qi (PH-Kluang) pula meminta menteri komunikasi dan multimedia menyatakan sama ada semua penerbit filem wajib memohon Lesen Pengeluaran Filem serta Surat Perakuan Penggambaran, tidak kira mereka adalah agensi media arus perdana atau media individu yang menerbitkan filem di platform media sosial atau saluran tradisi.
Sementara itu, Mohd Fasiah Mohd Fakeh (PN-Sabak Bernam) mengajukan soalan kepada menteri pertanian dan industri Makanan berhubung potensi industri ikan tuna serta usaha kementerian mengembangkan industri itu.
Dalam sesi soal jawab lisan pula, isu berkaitan belia dan pengangguran pasca Covid-19 turut dijangka menjadi tumpuan perbincangan ahli Parlimen dengan beberapa soalan akan diajukan.
Antaranya pertanyaan June Leow Hsiad Hui (PH-Hulu Selangor) yang minta menteri belia dan sukan menyatakan situasi pekerjaan belia ketika penularan wabak Covid-19 serta inisiatif kerajaan bagi membantu belia yang terjejas dan Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) bertanya kepada menteri sumber manusia sama ada kerajaan bercadang melaksanakan pendapatan asas sejagat menerusi projek rintis seperti Finland bagi mengurangkan kadar pengangguran.
Sidang dewan yang memasuki hari ke-8 hari ini dijadual menyambung perbahasan usul menjunjung kasih titah Agong.
Tumpuan juga dijangka terarah kepada beberapa pembentangan rang undang-undang bagi bacaan kali ke-2, termasuk RUU Perbekalan Tambahan (2019) 2020, RUU Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020 dan RUU Racun (Pindaan) 2019.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baru dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan