Khamis, 23 Julai 2020

Lebih 1,800 ditahan dalam Ops Noda sejak awal tahun

KUALA LUMPUR: Polis menahan seramai 1,863 individu yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pelacuran di ibu kota menerusi Ops Noda bagi tempoh awal Januari tahun ini sehingga 19 Jul.

Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim berkata penahanan semua suspek hasil 1,482 pemeriksaan premis dan 581 serbuan.

Daripada jumlah itu, 588 individu warga tempatan dengan jumlah tangkapan bawah 16 tahun seramai 38 orang dan selebihnya berusia antara 16 hingga 60 tahun.

“Jumlah tangkapan selebihnya melibatkan warga asing iaitu seramai 1,275 individu,” menurutnya dalam kenyataan.

Dalam tempoh itu, seramai 74 individu dikenakan tindakan bawah Akta Pencegahan Jenayah (Poca).

“Polis turut mengambil tindakan terhadap pusat hiburan yang tidak mempunyai lesen atau melanggar syarat pusat hiburan.

“Sebanyak 99 pusat hiburan dikenakan tindakan saman bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sekitar daerah Brickfields, Sentul, Cheras, Wangsa Maju, dan Dang Wangi,” katanya.

Mazlan menyeru orang ramai memberikan kerjasama dalam membanteras kegiatan pelacuran dengan menyalurkan maklumat ke Bilik Gerakan Khas yang beroperasi 24 jam dan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Tiada ulasan: