KUALA LUMPUR: Polis berjaya mengesan 532 individu yang menjalani kuarantin di rumah, namun gagal hadir saringan ke-2 Covid-19 sebelum ini dengan kesemuanya didapati berbuat demikian di klinik kesihatan berdekatan.
Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata, polis kini menjejaki baki 45 individu.
Mereka yang dikesan merangkumi 303 orang di Selangor, Kuala Lumpur (156), Johor (62), 3 di Sabah, masing-masing 2 di Pahang dan Kedah, serta seorang masing-masing di Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan dan Sarawak, katanya.
Menurutnya polis menerima senarai 577 individu yang dikategorikan “tercicir” terbabit, iaitu gagal hadir saringan kedua Covid-19 daripada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan (KKM) pada Jumaat minggu lepas.
“Sehubungan itu, Jabatan Siasatan Jenayah melancarkan tindakan pengesanan ke atas individu terbabit di seluruh negara,” katanya di sini.
“Usaha pengesanan individu-individu berkenaan adalah menggunakan pendekatan berikut, iaitu seramai 392 individu berjaya dihubungi menerusi panggilan telefon, manakala seramai 140 individu pula dikesan menerusi alamat rumah.
“Individu yang masih belum menjalani saringan kedua Covid-19 itu dinasihati hadir membuat saringan kedua pada kadar segera di klinik-klinik kesihatan berdekatan,” katanya.
Abdul Hamid, berkata sekiranya masih ingkar, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas mengikut Akta Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan undang-undang lain yang berkuat kuasa.
Pada 1 Julai, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaacob dilapor berkata, seramai 1,472 individu yang menjalani kuarantin di rumah masih belum menjalani ujian Covid-19 kedua pada hari ke-13 tempoh kuarantin mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan