PETALING JAYA: Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob hari ini memaklumkan, sehingga 7 Julai lalu seramai 19,111 pendatang asing tanpa izin sudah dihantar pulang ke negara asal masing-masing.
“Tiga negara tertinggi yang terlibat adalah Indonesia seramai (8,575), Bangladesh (2,584) dan Myanmar (1,890),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ismail turut memaklumkan, polis menahan dan mengeluarkan kompaun ke atas 36 individu atas kesalahan ingkar arahan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).
“Ia melibatkan sukan sentuh (18 individu), aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (2) serta aktiviti yang melanggar SOP (16 individu),” katanya.
Tambahnya, Pasukan Petugas Operasi Pematuhan yang diketuai polis membuat 64,434 pemeriksaan sejak semalam bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKPP.
“Sebanyak 2,630 pasukan pematuhan yang melibatkan 12,396 anggota membuat pemantauan di 3,949 pasar raya, 5,673 restoran serta 1,977 penjaja, 1,159 kilang, 3,718 bank dan 901 pejabat kerajaan.
“Juga 1,302 terminal pengangkutan darat, 248 terminal pengangkutan air serta 93 terminal pengangkutan udara sudah dipantau oleh pasukan petugas,” katanya.
Ismail berkata, polis sendiri sudah membuat pemantauan pematuhan SOP solat Jumaat dan sebanyak 2,507 buah masjid yang melibatkan 287,296 jemaah dipantau.
“Hasil pemantauan mendapati bilangan jemaah adalah mengikut kapasiti masjid serta mematuhi SOP ditetapkan,” katanya.
Garis panduan pentaksiran sekolah
Pada masa sama, Ismail berkata, Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai PKP bersetuju dengan pembentangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengenai garis panduan pengurusan pentaksiran di sekolah.
Jelasnya, antara kandungan garis panduan yang dipersetujui adalah pentadbir sekolah perlu menyusun jadual pentaksiran pusat mengikut kesesuaian berdasarkan takwim peperiksaan yang dikeluarkan oleh KPM.
“Guru perlu merancang pelaksanaan pentaksiran pusat berdasarkan kesediaan murid untuk ditaksir dan menjadualkan semula pentaksiran jika terdapat murid yang bergejala.
“Guru juga perlu memberi penekanan kepada aspek penjarakan sosial, kebersihan dan keselamatan semasa proses pentaksiran dilaksanakan,” katanya.
Tambah Ismail, bagi pengendalian peperiksaan awam pula, ia perlu mengambil kira pertambahan bilangan bilik yang digunakan untuk peperiksaan apabila penjarakan sosial dilaksanakan.
“Jika terdapat calon bergejala serius, pihak sekolah perlu menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bagi mendapatkan nasihat untuk tindakan selanjutnya serta memaklumkan kepada ibu bapa atau penjaga.
“Ketua pengawas peperiksaan perlu memastikan semua urusan pengendalian peperiksaan awam di pusat peperiksaan dan di luar pusat peperiksaan mengambil kira penjarakan sosial, kebersihan dan keselamatan,” katanya.
Pemeriksaan di tapak pembinaan
Ismail juga berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) membuat pemeriksaan di 30 tapak binaan di seluruh Malaysia yang melibatkan 62 penguat kuasa.
“Pemeriksaan CIDB mendapati 26 tapak binaan patuh SOP ditetapkan, manakala 4 tapak binaan tidak beroperasi. Jumlah kumulatif tapak binaan yang mematuhi SOP sehingga semalam adalah 2,972 tapak binaan.
“Manakala itu, 525 tapak binaan lagi tidak patuh SOP dan diberi amaran. Penguat kuasa CIDB turut mengarahkan 19 tapak binaan ditutup kerana tidak mematuhi SOP,” katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan