Isnin, 20 Julai 2020

KKM kesan kluster baru Covid-19 di rumah jagaan warga emas di Kluang

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, siasatan dan aktiviti
pengesanan kes aktif sedang dijalankan ekoran penemuan kluster baru Covid-19
di Kluang, Johor.

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 1 kluster baru di sebuah pusat jagaan warga emas di Kluang, Johor.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes pertama kluster ini merupakan kes kematian Covid-19 yang dilaporkan semalam, dengan ujian saringan Covid-19 yang dijalankan didapati positif.

“Susulan itu, siasatan dan aktiviti pengesanan kes secara aktif (active case detection) telah dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Hisham berkata, sehingga 12 tengah hari tadi, 39 orang disaring yang terdiri daripada 14 kes positif Covid-19, 18 negatif dan 7 masih menunggu keputusan.

Katanya, daripada 14 kes yang didapati positif, 13 kes adalah warganegara Malaysia dan seorang warga Indonesia.

“Kes positif kluster ini melibatkan 11 warga emas (iaitu penghuni rumah jagaan tersebut), 1 pekerja dan 1 ahli keluarga.

“Langkah pembendungan dan kawalan jangkitan telah dijalankan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar di pusat penjagaan tersebut,” katanya.

Noor Hisham berkata, punca jangkitan kluster masih dalam siasatan.

Tiada ulasan: