Isnin, 20 Julai 2020

Sektor ekonomi kembali rancak, tetapi SOP mesti dipatuhi, kata Muhyiddin

Seorang anggota masyarakat mengikuti siaran langsung ucapan khas Perdana
Menteri Muhyiddin Yassin berhubung perkembangan pelaksanaan PKPP hari ini.

PETALING JAYA: Kadar tempahan hotel yang semakin tinggi dan jumlah kenderaan yang meningkat di lebuh raya, terutama ketika hujung minggu memberi petanda yang baik kepada ekonomi negara.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, hampir semua ekonomi di negara yang terjejas teruk akibat Covid-19 sudah mula rancak dan jika trend itu berterusan, ekonomi negara juga mampu pulih dengan segera.

“Saya perhatikan ramai pelanggan mengunjungi restoran, pusat membeli belah, pusat penjaja dan kedai. Keadaan ini amat berbeza sekali berbanding ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Saya juga dimaklumkan bahawa hotel dan tempat penginapan di seluruh negara menerima banyak tempahan daripada pengunjung. Lebuh raya utama di negara kita juga kembali sesak dengan kenderaan, terutamanya pada hujung minggu.

“Ini petanda yang baik,” katanya ketika menyampaikan perutusan khas mengenai perkembangan terkini perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) di Putrajaya, hari ini.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan semua rakyat Malaysia bahawa kejayaan memerangi Covid-19 dalam fasa pemulihan bergantung pada kesedaran individu itu sendiri.

“Amalan kebiasaan baru mesti kita teruskan. Jangan kerana kes Covid-19 semakin berkurangan, kita tidak lagi memakai pelitup muka di tempat awam. Pakailah, jangan tak pakai,” katanya.

“Penjarakan sosial juga mesti diteruskan. Pastikan jarak anda sekurangkurangnya 1 meter dari orang lain. Elak tempat yang sesak dan sempit. Sentiasa beringat untuk elakkan sentuhan badan.”

Dalam pada itu, beliau memberi amaran sekiranya perintah kawalan pergerakan (PKP) terpaksa dikuatkuasakan semula, pertumbuhan ekonomi akan terus menguncup dan unjuran pertumbuhan KDNK antara 6.3% hingga 7.5% pada 2021 mungkin tidak akan tercapai.

“Perniagaan terpaksa ditutup semula dan kadar pengangguran di tahap 5.3% bagi Mei 2020 boleh meningkat secara mendadak. Ini adalah suatu keadaan yang mesti kita elakkan,” katanya.

Pertumbuhan KDNK pada tahun ini diunjur berada paras antara -2.0% hingga 0.5% berdasarkan situasi semasa ekonomi global ekoran pandemik Covid-19.

Sehingga kini, kerajaan memperuntukkan RM295 bilion menerusi pakej rangsangan ekonomi Prihatin, Prihatin Tambahan dan Penjana khusus untuk kesejahteraan rakyat dan kelangsungan perniagaan dalam tempoh sukar.

Menerusi inisiatif itu, 2.75 juta pekerjaan berjaya diselamatkan dengan pakej itu dianggar menyumbang sebanyak 3.0% kepada pertumbuhan KDNK negara tahun ini.

Tiada ulasan: