PETALING JAYA: Kerajaan sedang menimbang untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam sebagai usaha mengurangkan penularan wabak Covid-19, ketika kes jangkitan kembali 2 angka sejak beberapa hari lalu.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata perkara itu sedang diperinci dan diperhalusi, sementara keputusannya akan diumumkan apabila peraturan berkaitan dimuktamadkan tidak lama lagi.
“Situasi ini tidak boleh diambil mudah oleh kita semua. Saya pasti anda tidak mahu kerajaan kembali melaksanakan perintah kawalan sekiranya kes Covid-19 meningkat dengan mendadak.
“Cukuplah 3 bulan kita semua berkurung di rumah,” katanya dalam perutusan khas perkembangan terkini perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) hari ini.
Muhyiddin berkata, ekoran pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak Mac lalu, ekonomi negara terjejas teruk, perniagaan mengalami kerugian dan ramai kehilangan pekerjaan.
“Sudah tentu kita tidak mahu kembali hidup dalam keadaan seperti itu. Sekiranya berlaku peningkatan kes Covid-19 secara mendadak dan memerlukan kerajaan menguatkuasakan semula PKP, impaknya kepada ekonomi amat besar.”
Melihat kepada penemuan 4 kluster baru yang berpunca daripada mereka yang pulang dari luar negara – dikesan di Sarawak, Melaka, Terengganu dan Kuala Lumpur sejak 7 Julai – perdana menteri memberi amaran kepada rakyat yang pulang supaya menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di rumah dengan penuh disiplin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan