Sebelum ini ada NGO, aktivis hak asasi bising konon PATI ditindas
BANGI – Laporan berita antarabangsa, Al Jazeera mengenai pendatang asing yang tular menimbulkan persoalan siapakah yang menjadi ‘mastermind’ menyalurkan maklumat dan mengatur segalanya di belakang penggambaran itu.
Presiden gerakan Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya menegaskan, Al Jazeera telah membuat laporan yang menipu dan memburuk-burukkan Malaysia seolah-olah ‘menghalalkan’ sindiket pendatang haram tanpa izin yang sedang parah di negara ini.
Beliau menolak kemungkinan pihak agensi berita antarabangsa itu menghasilkannya tanpa bantuan orang tempatan.
Katanya, sebelum ini ada NGO dan aktivis hak asasi ‘membuat bising’ kononnya pendatang asing tanpa izin (PATI) ditindas oleh pihak berkuasa.
“Mereka meletakkan pelbagai label pada pihak berkuasa seperti ‘perkauman’ dan sebagainya. Label-label inilah juga yang digunakan oleh Al Jazeera dalam dokumentari ini.
“Apakah mereka ini menjadi dalang di belakang penghasilan dokumentari ini? Pihak polis perlu siasat,” gesanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Haji Aminuddin mengingatkan, tindakan provokasi ini taktik biasa sesetengah pihak apabila desakan dan propaganda mereka melalui media kiri tempatan tidak didengari.
Berikutan itu, katanya, mereka akan menggunakan media dan pentas antarabangsa bagi menekan negara.
“Justeru, teruskan menyokong segala usaha membanteras pendatang haram dan segala usaha bagi memelihara kedaulatan negara!,” gesanya.
Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa Al Jazeera memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana menerbitkan sebuah dokumentari yang mengelirukan, berniat jahat dan membuta-tuli.
Tegasnya, Al Jazeera perlu menghentikan siaran dokumentari bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ itu kerana ia tidak bersandarkan fakta yang tepat dan dilaporkan secara tidak beretika.
Al Jazeera dalam laporannya mendakwa, berlaku diskriminasi terhadap PATI, dari segi layanan ketika Malaysia menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menangani COVID-19.
Video laporan berdurasi 20.25 minit itu mendapat cemuhan netizen yang menyifatkannya sebagai tidak benar dan berniat tidak baik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan