Selasa, 7 Julai 2020

Netizen desak Al Jazeera mohon maaf laporan ‘sampah’

Siti Hafidah 


Malaysia layan baik pendatang adakah negara lain sebagus ini?

BANGI – Facebook Al Jazeera menjadi medan netizen melepaskan geram selepas agensi berita media antarabangsa itu mengambil ‘jalan selamat’ menutup ruang komen di Youtube berhubung laporan bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’.

Laporan dokumentari Al Jazeera berdurasi 25 minit 50 saat itu mendakwa, terdapat isu perkauman di negara ini ketika mengendalikan pandemik COVID-19.

Video yang disiarkan di saluran rasmi Youtube Al Jazeera English kelmarin turut mencetuskan kemarahan rakyat di negara ini.

Tinjauan Ismaweb.net mendapati, rata-rata pengguna Facebook mendesak, Al Jazeera segera memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas dakwaan perkauman yang dilemparkan.

Menerusi ruang komen Facebook Al Jazeera, pengguna media sosial dikenali Mohd Naharrudin Ibnu Megat menggesa, media antarabangsa itu mendidik semula wartawan mereka sebelum menyampaikan maklumat.

“Pertama, selidik secara menyeluruh setiap maklumat yang diterima sebelum menerbitkannya. Kedua, sentiasa mendengar dari dua pihak yang terlibat dalam berita yang konflik, bukan satu pihak (terutamanya pendatang tanpa izin? Serius?)

“Adakah anda benar-benar menganggap pendatang tanpa izin menderita di sini? Datang sini lakukan wawancara tentang bagaimana buruknya pendatang asing mempengaruhi Malaysia dan cuba menemu ramah orang tempatan di sini .. satu pihak. Lihat bagaimana keadaannya,” tulis beliau.

Sementara Ivan Lim pula meminta, Al Jazeera melaporkan fakta dan tidak menghina kerajaan Malaysia dalam menangani COVID-19 dengan mereka cerita palsu.

“Kami rakyat Malaysia menuntut permohonan maaf kerana melaporkan tuduhan palsu berhubung layanan buruk kerajaan terhadap pendatang,” demikian pula tuntu Hafiz Hilmi Md Rijani.

Selain itu, John Wick juga menuntut Al Jazeera meminta maaf kepada Malaysia kerana membuat berita palsu mengenai negara ini dalam memerangi COVID-19

“…Al Jazeera tidak tahu mengenai Malaysia, kamu hanya mahu TV kamu popular dan bukannya membuat berita benar,” katanya.

Syazwan Hatta pula secara sinis meminta Al Jazeera tidak cemburu cara rakyat Malaysia menangani masalah pandemik global dengan menyebarkan berita palsu dan ‘sampah’.

Farah Nadia Abdul Razak mahu agensi berita itu membuat perbandingan dengan layanan diberikan kepada pendatang asing di negara lain ketika menghadapi pandemik COVID-19 ini.

“Cuba tengok sikit negara lain boleh layan macam ini ke bagi tempat tinggal makan percuma, negara lain pasti kena hantar balik terus tahu,” katanya.

Tiada ulasan: