KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan menerima permohonan strategik Dana Penjana Nasional (DPN) bernilai lebih daripada RM600 juta setakat tarikh tutup pada 14 Julai lalu.
Permohonan-permohonan tersebut sedang melalui proses penilaian dan keputusan akan diumumkan pada bulan Ogos, kata menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.
DPN mempunyai peruntukan dana bernilai RM1.2 bilion iaitu RM600 juta sumbangan modal pelaburan daripada pelabur antarabangsa yang menjalinkan usaha sama strategik dengan pelabur domestik dan baki RM600 juta adalah suntikan pelaburan daripada kerajaan.
DPN yang akan dikendalikan di bawah seliaan Kementerian Kewangan akan menyumbang kepada Pelaburan Langsung Asing, di samping meningkatkan keyakinan pelabur asing terhadap dinamisme ekosistem pemula (startup), modal teroka serta sektor perniagaan Malaysia secara amnya.
DPN akan merangkumi keseluruhan kitaran hayat pelaburan termasuk Seed/Co-Creation, Early Stage – Series A/B, Growth Stage dan Venture Debt.
DPN juga akan bertanggungjawab sebagai badan pemantau pencapaian pelaksanaan dana-dana yang telah diumumkan kerajaan di bawah Pakej-pakej Prihatin dan Penjana untuk membantu perniagaan yang terkesan dengan Covid-19.
Sejak ia diumumkan, kerajaan mendapat maklumbalas yang memberangsangkan daripada para pelabur dan firma modal teroka asing yang menawarkan diri untuk turut terlibat sama dalam DPN.
Berhubung Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia yang dilancarkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini, Tengku Zafrul berkata, ia mensasarkan jualan lebih RM500 juta bagi tempoh Julai hingga Disember tahun ini.
Langkah ini diharap dapat memanfaatkan syarikat tempatan dan merancakkan lagi pembelian barangan tempatan.
Katanya, kerajaan juga menyarankan agar penyewa premis swasta memainkan peranan untuk sama-sama membina semula ekonomi negara.
Pihak swasta disarankan agar bertolak ansur dengan penyewa yang
menghadapi kekangan aliran tunai agar mereka mempunyai lebih ruang untuk
membangunkan semula
perniagaan masing-masing.
”Ingatlah, jika perniagaan mereka ditutup, penyewa juga akan kekurangan potensi untuk mendapat hasil sewaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan