TAPAH - Seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Tapah maut selepas motosikal ditungganginya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di KM62, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa, Mohamad Al-Ameen Mohamad Shariff, 18, yang menunggang motosikal jenis Kawasaki disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tapah.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan tersebut dalam perjalanan dari Bidor menuju ke Air kuning.
“Setibanya di tempat kejadian, lori yang dipandu lelaki berusia 45 tahun telah memperlahankan kenderaannya untuk masuk ke simpang sebelah kanan.
“Bagaimanapun, motosikal yang ditunggang mangsa telah melanggar bahagian belakang lori tersebut menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa dibawa ke Hospital Tapah untuk menerima rawatan namun, disahkan meninggal dunia pada jam 8.45 pagi.
“Bedah siasat akan dijalankan di Unit Forensik hospital sama bagi mengetahui punca sebenar kematian mangsa.
“Tiada tangkapan dilakukan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan