PETALING JAYA: Kerajaan perlu memperkenalkan Akta Penyewaan Kediaman (RTA) sebagai penyediaan perlindungan undang-undang bagi pemilik kediaman dan penyewa, bagi menangani masalah penyewa tidak membayar sewa selama berbulan-bulan dan enggan keluar rumah.
“Atau mereka yang merosakkan hartanah,” kata Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader dalam kenyataan hari ini.
Bagi penyewa pula, kata CAP, mereka tidak mahu sewa dinaikkan atau sewaan mereka dihentikan secara tiba-tiba.
Selepas memperkenalkan Akta Penyewaan Kediaman, CAP menyarankan penubuhan tribunal bagi mengendalikan pertikaian penyewaan di setiap negeri.
“Pendekatan ini memberikan keyakinan kepada mereka untuk menyewa premis mereka manakala penyewa yang berpotensi tahu bukanlah mudah bagi pemilik rumah untuk menghentikan sewaan mereka dengan sesuka hati melainkan penyewa melanggar perjanjian penyewaan mereka,” katanya.
Sementara itu, CAP menyarankan pemaju mempertimbangkan dengan serius menyewa unit yang tidak terjual atau mengambil pendekatan sewa-untuk-dimiliki bagi mengurangkan hartanah yang tidak terjual.
“Pemaju dapat mengurangkan hartanah yang tidak terjual dengan menyewakannya; manakala pengguna pula tidak terbeban dengan pinjaman yang besar ketika pekerjaan semasa mereka tidak menentu; dan bank pula tidak perlu menanggung risiko dalam memberikan pinjaman perumahan,” katanya.
CAP membuat saranan itu ketika mengulas mengenai penurunan kadar faedah daripada 2% kepada 1.75% bagi pinjaman perumahan.
Mohideen percaya pengurangan kadar faedah akan mengurangkan beban kewangan pengguna yang membayar pinjaman perumahan, namun CAP tidak bersetuju pengurangan diambil untuk mendesak bagi pembelian rumah.
Langkah itu, katanya, akan mendedahkan institusi kewangan dan pengguna kepada risiko yang lebih besar dalam waktu yang tidak menentu ketika ini.
Sebaliknya, menyewa unit yang tidak terjual atau pendekatan sewa-untuk-dimiliki “lebih selamat bagi semua pihak yang berkenaan: pemaju, bank, dan penyewa”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan