Jumaat, 17 Julai 2020

6 disabit bersalah bunuh Kevin Morais, mohon rayuan dipercepat

Enam lelaki yang disabitkan kesalahan membunuh Kevin Morais meminta untuk
mempercepatkan rayuan mereka. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Peguam yang mewakili 6 lelaki yang baru-baru ini dijatuhi hukuman mati kerana membunuh timbalan pendakwa raya, Kevin Morais pada 2015, berusaha untuk mempercepatkan rayuan mereka.

Peguam N Sivananthan, yang mewakili bekas doktor tentera R Kunaseegaran berkata, beliau menulis surat kepada pendaftar Mahkamah Rayuan supaya mengarahkan hakim perbicaraan memberikan penghakiman bertulis secepat mungkin.

“Kami hanya boleh memfailkan petisyen rayuan selepas membaca alasan penghakiman,” katanya kepada FMT.

Sehubungan itu, beliau mahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur untuk menyediakan rekod rayuan yang merangkumi nota keterangan dan ekshibit.

“Mahkamah Rayuan hanya boleh menetapkan tarikh perbicaraan untuk mendengar rayuan selepas dokumen berkenaan disatukan.”

Kunaseegaran, bersama-sama R Dinishwaran, AK Thinesh Kumar, M Vishwanath, S Nimalan dan S Ravi Chandaran disabitkan bersalah membunuh Morais pada 4 Sept 2015 di Subang Jaya.

Mereka ditahan sejak September 2015 kerana jaminan tidak benarkan bagi kes bunuh.

Hakim Azman Abdullah memutuskan pihak pendakwaan membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah bahawa 6 terbabit membunuh Morais ketika mangsa dalam perjalanan dari Jalan Dutamas Raya Sentul di sini ke No. 1, Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya.

Peguam Sheelan Arjunan yang mewakili 5 individu lain berkata, Mahkamah Rayuan menetapkan pengurusan kes pada 19 November.

Beliau berkata, klien mengarahkannya untuk memfailkan permohonan rayuan dengan segera mengikut Peraturan 22 Mahkamah Rayuan.

Peraturan itu menyebut presiden Mahkamah Rayuan boleh mempercepatkan rayuan jika berpuas hati kes tersebut memerlukan perbicaraan segera.

“Rayuan ini perlu didengar dengan segera kerana ia telah diklasifikasikan sebagai kes kepentingan umum,” kata Sheelan.

Perbicaraan bermula di Mahkamah Tinggi pada Januari 2016, dengan 70 saksi memberi keterangan di peringkat pendakwaan.

Timbalan pendakwa raya Saiful Edris Zainuddin dan Wan Shaharuddin Wan Ladin mewakili pendakwaan.

Saiful berkata, perbicaraan berlangsung sekitar 4 tahun setengah kerana banyak penangguhan oleh pihak pembelaan, pertukaran peguam dan penangguhan fail permohonan interlokutori.

Tiada ulasan: