PETALING JAYA: Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob memaklumkan murid, guru dan kakitangan sekolah yang sihat tidak diwajibkan memakai pelitup muka semasa sesi persekolahan, seperti yang ditetapkan garis panduan Kementerian Pendidikan.
Beliau menjelaskan pemakaian pelitup muka menjadi perlu bagi murid, guru dan kakitangan sekolah yang menunjukkan gejala.
“Pihak sekolah hanya perlu menyediakan pelitup muka sekiranya terdapat pelajar atau kakitangan sekolah yang menunjukkan gejala semasa sesi persekolahan,” katanya dalam kenyataan.
Berkenaan pelitup muka, garis panduan kementerian juga menyatakan pentadbir sekolah bertanggungjawab memberikan penerangan kepada murid, guru dan warga sekolah mengenai penggunaan pelitup muka, dan membekalkan pelitup muka di bilik kesihatan sekolah harian dan sekolah berasrama.
Pentadbir sekolah juga bertanggungjawab memastikan murid yang mempunyai masalah berkaitan imuniti badan yang rendah sentiasa memakai pelitup muka, dan memberikan pelitup muka kepada murid yang tidak sihat.
Pentadbir sekolah juga bertanggungjawab memberikan taklimat keselamatan kepada kontraktor pembersihan, pengusaha kantin, dan pembekal perkhidmatan, serta sentiasa mengingatkan pekerja mereka mengenai pemakaian pelitup muka.
Sementara itu, Ismail juga melaporkan seramai 48 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan perintah kawalan pergerakan.
Daripada jumlah itu seramai 5 individu direman manakala 43 individu lagi dikenakan kompaun.
“Semua 48 individu ditahan kerana terlibat dalam aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan