Sekumpulan
anggota Pemuda PKR (AMK) mendesak 18 pemimpin parti yang dikaitkan
dengan Azmin Ali, yang menjadi antara sebab jatuhnya kerajaan PH, agar
dibuang daripada parti itu.
Diketuai Setiausaha AMK Ahmad Syukri Che Ab Razab, kumpulan itu menghantar memorandum kepada kepimpinan PKR tengah hari ini.
Bercakap dengan pemberita selepas itu, dia enggan mendedahkan nama 18 pemimpin yang dimaksudkan.
"Harapan
kita ialah 18 nama yang disenaraikan ini segera disiasat dan diambil
tindakan sewajarnya. Kita yakin (senarai ini) bukan merangkumi semua,
masih ada lagi yang tak disenaraikan.
"Tapi
18 orang ini paling ketara, malah ada antara mereka yang berada di
Hotel Sheraton (pada malam 23 Feb) dan dalam pertemuan rahsia dengan
bekas timbalan presiden yang dipecat," katanya.
Dia berkata lagi,
sejumlah 1,789 anggota PKR menyokong memondarum "pecat pengkhianat"
tersebut, yang menurutnya turut melampirkan bukti dakwaan salah laku.
Memorandum itu diserahkan kepada Lembaga Disiplin PKR dn Majlis Pimpinan Pusat PKR.
'Kemaafan Anwar tak kena tempat'
Syukri memberi peringatan bahawa keberadaan pemimpin yang menyokong Azmin dalam PKR boleh "menjadi barah" pada masa akan datang.
"AMK
khuatir jika kumpulan yang masih berbaki ini terus dibiarkan dalam PKR,
mereka akan jadi barah yang bakal meledakkan episod pengkhianatan yang
berterusan. Kita memohon presiden agar tidak perlu lagi memberi muka
kepada mereka.
"Jiwa besar (Anwar) yang ingin menjaga keharmonian parti sering disalah guna demi kepentingan kumpulan mereka," katanya.
"Kita hormat pendirian presiden...(tetapi) tak kena tempat pada hari ini, sudah tak sesuai," katanya lagi.
Syukri
juga menyasarkan pemimpin parti yang didakwanya menyatakan kesetiaan
kepada parti untuk melindungi diri sendiri, bagaimanapun tidak menyebut
nama mereka secara khusus.
"Kami juga sedar ada segelintir
individu daripada kumpulan pengkhianat ini kini melaungkan kesetiaan
kepada parti. Kami yakin ini hanya langkah selamat untuk menjaga
kedudukan atau jawatan mereka," katanya.
Semalam, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menyangkal dakwaan ada rancangan untuk menyingkirkannya.
“Saya
akan bersama dengan dia (Azmin) selagi masih dalam parti, tetapi
selepas dia meninggalkan parti, saya akan mengikuti jejak parti saja.
“Saya akan bersama PKR sejajar dengan janji saya dalam kempen pilihan raya umum (PRU14). I am a party man (saya orang parti),” katanya di Shah Alam semalam.
Pada
hujung minggu lalu, anggota PKR yang marah dengan kemelut politik yang
berlaku menyerang naib presiden Tian Chua - yang turut dilihat sebagai
penyokong Azmin - di ibu pejabat parti di Petaling Jaya.
Selepas
menyerahkan memorandum itu, kumpulan AMK tersebut mengangkat barua yang
antara lain memaparkan: "Pecat pengkhianat", "geng Azmin sila berambus"
dan "pecat barua, Si Kitol".
Turut hadir ialah Naib Ketua AMK
Thiban Subramaniam, Naib Ketua AMK Selangor Pravin Murali dan Timbalan
Ketua AMK Wilayah Persekutuan Mundzir Zahir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan