Timbalan
Presiden MCA, Dr Mah Hang Soon, enggan mengulas lanjut ketika ditanya
sama ada beliau akan berusaha agar Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC)
mendapat pengiktirafan kerajaan.
Beliau yang dilantik sebagai
timbalan menteri pendidikan oleh Muhyiddin Yassin ditemui selepas majlis
angkat sumpah sebagai anggota Dewan Negara di parlimen hari ini.
Usaha
mendapatkan komen berkenaan UEC itu ditanyakan sebanyak tiga kali
kepada Mah. Bagaimanapun bagi setiap soalan tersebut Mah mengelak untuk
memberikan jawatan yang jelas.
Pemberita: Sebelum ini MCA
menjelaskan bahawa mereka sudah di peringkat akhir untuk mendapatkan
pengiktirafan UEC, adakah YB lihat ini adalah satu harapan setelah MCA
kembali (menjadi kerajaan)?
Mah:
Bagi saya, apa yang telah dijelaskan… fokus sekarang adalah tugas saya.
Macam saya kata sebelum ini, saya bukan seorang yang suka bercakap
banyak. Siapa yang mengenali saya tahu, saya seorang yang suka fokus
dengan kerja. Jadi beri saya masa.
Pemberita: Adakah UEC akan menjadi keutamaan?
Mah: Beri sama masa, saya perlu…. nombor satu, untuk mengetahui bidang tugas dahulu dan saya akan berikan yang terbaik.
Pemberita:
Adakah YB fikir anda boleh lakukan apa Teo Nie Ching (bekas timbalan
menteri pendidikan PH) tidak dapat lakukan berkaitan isu UEC sebelum
ini?
Mah: Jangan kita fikir isu lain. Berikan saya sedikit
masa, biar saya dalami tugas dahulu dan kita akan lihat kemudian. Terima
kasih banyak, saya pasti akan menjalankan tugas dengan baik untuk
membantu bos saya, menteri pendidikan dalam menyampaikan misi dan visi
kita.
Antara senator yang mengangkat sumpah di Dewan Negara hari ini
UEC
adalah peperiksaan sama seperti peringkat A-level tetapi ia diambil
pelajar di sekolah swasta aliran Cina dan dikendalikan oleh Dong Zong.
Meskipun
sijil ini diiktiraf banyak universiti utama di seluruh dunia, buat masa
ini ia belum diterima untuk kemasukan ke universiti awam Malaysia.
Kerajaan
PH sebelum ini berjanji untuk mengiktiraf UEC namun ia berdepan dengan
kritikan pembangkang ketika itu. Malah ia juga dijadikan hujah oleh
mereka - BN dan PAS - sebagai bukti kerajaan Dr Mahathir Mohamad menjadi
boneka DAP.
Untuk rekod kurang daripada 10 hari menjelang pilihan
raya umum (PRU) ke-14 lalu, perdana menteri ketika itu, Najib Razak,
juga berjanji untuk memberikan pengiktirafan kepada UEC jika BN mendapat
mandat menjadi kerajaan sekali lagi.
Najib membuat janji tersebut semasa berceramah di depan masyarakat Cina di Sandakan, Sabah.
Mah mengakui, tugasnya itu sangat sukar dan ia adalah satu perkara baru.
"Ini adalah kementerian yang sangat penting. Pendidikan sangat penting bagi negara kita," katanya.
Mah sebelum ini merupakan exco kerajaan Perak selama lebih satu penggal. Beliau juga merupakan seorang ahli kardiologi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan