PUTRAJAYA - Bersatu dan Amanah dilihat belum mampu menggantikan UMNO dan Pas dalam memperjuangkan isu Melayu dan Islam.
Timbalan
Pengarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Prof Madya Dr
Awang Azman Awang Pawi berkata, kedua-dua parti itu juga mungkin
berdepan masalah untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)
sekiranya kerjasama UMNO dan Pas berjaya.
"Bersatu sepatutnya
ambil alih peranan UMNO dan Amanah ambil alih peranan Pas untuk kelompok
Islam progresif. Tetapi setakat ini nampak belum berjaya.
"Sebagai
pengkaji saya lihat dinamika itu belum ada. Kalau PRU15 ditakdirkan
berlaku tahun depan, saya ingat Amanah dan Bersatu ada masalah besar,"
katanya dalam program Wacana Ilmu Seri Satria Siri 8 yang membincangkan
topik 'Naratif Melayu Islam Pasca PRU14' di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Menurut Awang Azman, Amanah khususnya perlu memiliki dinamika Islam progresif dari segi dasar dan pelaksanaannya.
"Dalam
konteks wacana Melayu Islam, kenapa orang lebih percaya Pas daripada
Amanah? Kalau diukur ahli parti dan sokongan akar umbi Melayu Islam,
sepatutnya Amanah lebih menonjol.
"Adakah Amanah patut ditukar
kepada parti progresif Islam atau wacana Melayu Islam itu lebih disukai
oleh masyarakat kita hingga Amanah ketinggalan. Atau pemimpin Amanah ini
sudah sibuk dengan tugasan menteri, timbalan menteri, pegawai khas dan
sebagainya hingga akar umbi terbiar?" katanya.
PUTRAJAYA: Insiden gangguan sistem di Lapangan
Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) adalah isu besar yang perlu
disiasat dan semua pihak termasuk pengendali lapangan terbang diminta
tidak membuat apa-apa andaian, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke
Siew Fook.
Beliau meminta semua pihak agar memberi ruang kepada pihak polis dan Jawatankuasa Siasatan Isu Kegagalan Total Airport Management System (TAMS) KLIA menjalankan siasatan terhadap insiden itu.
“Kita tak mahu membuat apa-apa spekulasi kerana ini isu besar.
Perkara ini kita tidak boleh buat andaian sahaja sebab ini melibatkan
pintu masuk utama negara, ikon dan satu tempat yang sangat strategik
untuk negara.
“Jadi apa-apa yang berlaku di sana patut disiasat dengan terperinci
dan saya tidak mahu mana-mana pihak, termasuk pengendali lapangan
terbang, membuat apa-apa andaian,” katanya pada sidang media, di sini
hari ini.
Loke mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Siasatan Isu Kegagalan TAMS
KLIA pada 26 Ogos lepas susulan gangguan sistem di lapangan terbang itu
sejak 21 Ogos sehingga menyebabkan pembatalan dan kelewatan penerbangan
serta ketidakselesaan kepada penumpang selama beberapa hari.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports Raja Azmi Raja
Nazuddin dalam kenyataannya pada Isnin lepas dilaporkan tidak menolak
kemungkinan kegagalan rangkaian di KLIA disebabkan perbuatan berniat
jahat.
Malaysia Airports juga dilaporkan telah membuat laporan polis susulan insiden gangguan sistem itu pada Selasa lepas.
Loke berkata jawatankuasa itu diberi tempoh sebulan bagi menjalankan
siasatan termasuk memanggil saksi-saksi untuk memberi keterangan.
“Mereka bekerja sepanjang masa, setiap hari ada meeting (mesyuarat), ada siasatan,” katanya.
Katanya jawatankuasa itu menjalankan siasatan dari sudut mengenal
pasti punca sebenar insiden dan mencadangkan langkah penambahbaikan bagi
mengelak insiden itu berulang pada masa depan.
Menurut Loke, pihak polis pula menjalankan siasatan berasingan bagi
mengenal pasti sama ada terdapat unsur-unsur jenayah dalam insiden itu
dan mengambil tindakan selanjutnya.
CYBERJAYA: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan
Azizah Wan Ismail berkata kekosongan dalam Kabinet hanya akan berlaku
apabila Tun Dr Mahathir Mohamad mengosongkan jawatan perdana menteri.
Bercakap kepada pemberita selepas melawat CyberSecurity Malaysia di
sini hari ini, beliau berkata kekosongan dalam Kabinet perlu dibuat
berdasarkan apa yang dijanjikan dalam Pakatan Harapan.
“Saya kira kalau PM kosongkan (tempat), itu yang dijanjikan,” katanya
ketika ditanya mengenai kenyataan Dr Mahathir pada Khamis bahawa tidak
ada kekosongan dalam Kabinet buat masa ini.
Dr Mahathir ketika ditanya sama ada beliau akan membawa masuk
Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai
Kabinet dilaporkan berkata Kabinet tiada kekosongan sekarang dan tidak
juga akan berlaku pertambahan anggota Kabinet.
Dr Mahathir dilaporkan berkali-kali menyatakan proses peralihan tampuk pemerintahan kepada Anwar akan berlaku.
Toleransi faham perbezaan adat, budaya dan agama: Sultan Selangor
SHAH ALAM– Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan rakyat
negara ini supaya tidak mudah percaya dengan fitnah dan berita tidak
sahih, khususnya di media sosial yang cuba mengganggu gugat keamanan dan
ketenteraman hubungan sesama kaum di negara ini.
Baginda
bertitah, setiap rakyat harus mempunyai tanggungjawab bagi mengelakkan
tercetusnya sebarang bentuk pertelagahan dan perpecahan, berpunca
daripada anasir negatif yang sengaja diprovokosi pihak tertentu,
bertujuan mencemar perpaduan negara yang telah dibina selama ini.
“Amalkanlah
sikap toleransi dan berusaha untuk saling memahami serta meraikan
perbezaan adat, budaya dan agama, supaya kita dapat terus hidup dalam
suasana merdeka, dalam erti kata sebenar.
“Beta
doakan agar Malaysia sentiasa dirahmati dengan keamanan dan kemakmuran
yang berpanjangan,” titah baginda dalam kenyataan rasmi di laman sosial
Facebook rasmi Royal Selangor Office hari ini.
Sultan Selangor bertitah sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-62 hari ini.
Sultan
Selangor turut berharap sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos setiap
tahun, akan terus menyemarakkan semangat patriotisme di kalangan rakyat,
serta mampu menyemai rasa cinta dan sayang kepada negara dalam jiwa
semua kaum dan bangsa di Malaysia.
Baginda
bertitah, semangat patriotisme juga harus dizahirkan dalam bentuk
perpaduan yang jitu dan keharmonian yang utuh, demi mengekalkan
kemakmuran ekonomi negara dan kesejahteraan masyarakat secara
keseluruhannya.
“Syukur kepada Allah, Malaysia hari ini menyambut Hari Kebangsaan untuk kali ke-62, dalam suasana yang harmoni dan aman sentosa.
“Di
kesempatan ini, Beta dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri
Norashikin ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan ke-62
kepada seluruh rakyat Malaysia,” titah baginda.- Bernama
Jabatan Alam Sekitar (JAS) perlu menjelaskan alasannya
meluluskan laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) terhadap Lynas
untuk membina tapak pelupusan setinggi sembilan tingkat bagi menempatkan
sisanya.
Menurut Pengerusi Save Malaysia Stop Lynas, Tan But Teet
yang tidak bersetuju dengan cadangan Lynas untuk menggunakan sebidang
tanah seluas 39 hektar di belakang kilang nadir bumi itu bagi
menempatkan satu juta tan sisa neutralisation underflow (NUF) yang
dikelaskan peraturan alam sekitar sebagai bahan buangan berjadual
"JAS
mempunyai tanggungjawab untuk menjelaskan kepada orang ramai mengapa ia
meluluskan laporan EIA tersebut dan (Jabatan Alam Sekitar) perlu
mendedahkan kesemua 68 syarat yang dikenakan terhadap (syarikat)
pelombong Australia itu.
“Selepas Lynas menghantar laporan EIA
kepada JAS untuk diluluskan, kami turut memberikan pandangan kami secara
bertulis berkenaan hal ini.
“Kami
nak tahu, apakah pandangan kami telah diterima dan diambil kira dalam
syarat-syarat (yang dikenakan)? Ia akan memastikan Lynas mematuhi semua
syarat-syarat dengan lebih baik lagi,” kata pesara guru itu kepada Malaysiakini.
Rancangan urus guna semula sisa
Menurut
Tan, tapak buangan itu bertujuan menempatkan sisa NUF yang dikelaskan
peraturan alam sekitar sebagai bahan buangan berjadual untuk tempoh 10
tahun akan datang dengan cara menutup sisa tersebut secara betul.
Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan JAS memberikan kelulusan bersyarat terhadap laporan EIA berhubung sisa NUF.
Dalam emel kepada Malaysiakini,
JAS berkata syarat-syarat tersebut termasuklah mengehadkan tapak
pelupusan NUF pada ketinggian 30m dari aras tanah, iaitu dianggarkan
setinggi bangunan sembilan tingkat, tidak termasuk "penutupnya".
JAS
berkata Lynas sepatutnya mendapatkan kelulusan bertulis sebelum membina
tapak pelupusan itu, dan mendapatkan lesen melupuskan sisa berjadual
sebelum memulakan operasi tapak pelupusannya.
JAS turut
mengarahkan Lynas untuk tampil dengan rancangan pengurusan tentang
bagaimana sisa NUF dapat digunakan semula sebagai bahan mentah supaya
tapak pepulusan itu tidak melebihi muatannya.
Jabatan itu memaklumkan memberi kelulusan terhadap laporan EIA tersebut setelah mengkaji kesannya ke atas alam sekitar.
Surat
kelulusan itu dikeluarkan pada 23 Mei lalu, selepas dibincangkan dalam
Jawatankuasa Semakan Teknikal JAS yang mengandungi beberapa agensi
kerajaan berkaitan.
Tan berkata, JAS itu seolah-olah memudahkan jalan buat Lynas untuk menyimpan sisanya dengan kaedah yang murah.
“Layanan macam ini takkan ada (diberikan) pada operator yang lain,” katanya.
Jelasnya lagi, menimbunkan sisa NUF sehingga mencecah ketinggian bangunan sembilan tingkat merupakan sesuatu yang tidak wajar.
Ini
memandangkan terdapat air bawah tanah pada kedudukan satu meter di
bawahnya dan sisa debu pula mungkin akan terbang dan tersebar serta
menyebabkan pencemaran di kawasan sekitar.
“Ini akan memberi ancaman besar terhadap alam sekitar,” katanya.
Selanjutnya,
Tan mendakwa sisa NUF telah pun ditimbunkan di belakang loji Lynas dan
meminta kerajaan memeriksa sendiri keadaan itu.
Laporan EIA itu
mengakui tapak pelupusan berkenaan mungkin akan memberi kesan kepada
persekitaran, namun mengatakan kesan tersebut “dijangka dapat
diminimumkan dan dikekang ke tahap yang boleh diterima, dan akan
mematuhi standard dan garis panduan alam sekitar yang dikenakan."
Menurut
laporan itu lagi, perancangan yang teliti, pematuhan terhadap amalan
perlombongan yang baik serta langkah-langkah kawalan yang ditetapkan,
projek tersebut akan dapat mengurangkan impak alam sekitar ke tahap yang
rendah.
“Projek ini dijangka mempunyai kepentingan ekonomi yang penting, baik untuk negara mahupun rantau ini,” kata laporan EIA itu.
Hari ini merupakan sambutan ulangtahun kemerdekaan
ke-62 dan dalam masa dua minggu, kita akan meraikan ulang tahun
penubuhan Malaysia ke-56.
Ini adalah waktu untuk kita mengenepikan
perbezaan dan mengukuhkan perpaduan sesama kita kerana Malaysia
merupakan rumah yang kita diami bersama.
Namun sejak kebelakangan
ini, perbezaan antara kita menjadi garis pemisah dan ia diburukkan lagi
oleh mereka yang mempunyai kepentingan dan agenda untuk menimbulkan
kesangsian sesama kita.
Ini adalah suatu keadaan tidak sihat yang Malaysiakini dan organisasi media lain hadapi.
Malaysiakini tidak mempunyai niat untuk memecahbelahkan negara ini atau memainkan sentimen perkauman mahupun agama.
Bagaimanapun,
adalah menjadi tanggungjawab kami untuk memaklumkan kepada orang ramai
mengenai isu-isu yang melibatkan kita semua.
Apa pun usaha kami, individu yang tidak senang dengan Malaysiakini akan sentiasa melihat kami memiliki motif tersembunyi walaupun hakikatnya tidak begitu.
Malaysiakini diheret dalam isu terbaru apabila Pengerusi Karangkraf, Hussamuddin Yaacub yang turut menerbitkan Sinar Harian mengulas artikel penjelasan Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching mengenai pelajar bukan Islam dikecualikan daripada program #QuranHour.
#QuranHour adalah program yang disokong oleh Warisan Ummah Ikhlas Foundation (WUIF) yang diasaskan Hussamuddin.
Matlamat
kempen ini adalah untuk menggalakkan individu memperuntukkan satu jam
setiap hari bagi membaca, memahami dan menyerap nilai-nilai yang
terdapat dalam al-Quran.
Satu pekeliling dari Jabatan Pendidikan dikeluarkan bagi menggalakkan semua sekolah menganjurkan program itu tahun ini.
Sin Chew Daily melaporkan Khamis lalu bahawa guru besar sekolah jenis kebangsaan Cina terkejut dengan pekeliling berkenaan.
Penjelasan Teo
Teo
kemudian mengeluarkan kenyataan akhbar yang menjelaskan bahawa pelajar
bukan Islam tidak dipaksa mengambil bahagian dalam program sedemikian,
yang dilaporkan oleh Malaysiakini bagi menghilangkan salah tanggapan terhadap isu itu.
Hussammuddin bagaimanapun mendakwa Malaysiakini, bersama dengan "akhbar vernakular" memprovokasi sentimen agama.
Beliau
juga menasihatkan mereka yang tidak memahami pekeliling Jabatan
Pendidikan itu untuk mendapatkan penjelasan rasmi dan bukannya membawa
isu ini kepada media.
Malaysiakini setuju dengan
Hussammuddin bahawa media tidak seharusnya menyentuh sentimen kaum atau
agama. Namun adalah tidak bertanggungjawab sekiranya penjelasan tidak
diterbitkan bagi menjernihkan keadaan kepada mana-mana pihak.
Dalam
suasana yang 'panas' ini, kami percaya adalah menjadi tanggungjawab
organisasi media mendidik rakyat Malaysia dan menghapuskan kebimbangan
serta sikap saling tidak percaya.
Kami juga percaya adalah menjadi
tanggungjawab kami untuk mendedahkan individu yang cuba memecahbelahkan
rakyat Malaysia melalui ucapan penuh kebencian, dan mendorong mereka
yang berkuasa atau berpengaruh bertindak terhadap individu atau kumpulan
ini serta mengambil langkah-langkah bagi memulihkan keadaan.
Malaysia adalah untuk semua rakyat Malaysia, ia adalah rumah kita dan semua patut dilayan dengan adil serta rasa hormat.
Pelakon Nadia Brian mendapat perhatian berikutan cara pemakaiannya
yang mengenakan selendang dan baju mendedahkan dada sehingga dikatakan
mempersendakan agama Islam.
Menyedari perkara itu, Nadia tampil memohon maaf sekiranya fesyen yang digayakan menyentuh sensitiviti sesetengah pihak.
Namun Nadia mendakwa dia tidak berlebih-lebih atau melanggar batasan dalam bergaya.
“Saya
meminta maaf andai ada yang menganggap fesyen saya gayakan
mempersendakan agama dan sebagainya. Saya tidak pernah terfikir sehingga
ke tahap itu. Cuma, saya memang gemar menggunakan pendekatan ‘mix and
match’ dalam berfesyen.
“Biasalah,
bukan semua orang menyukai perkara kita lakukan. Saya amat maklum
mengenai hal itu. Jadi, sekali lagi saya memohon maaf sekiranya ada yang
tidak menyenangi pakaian saya gayakan,” katanya seperti dipetik BH Online.
Pemilik
nama penuh Nadia Najwa Mohamed Rashidi itu turut menegaskan, walaupun
cara pakaiannya dianggap seksi, ia tidak kelihatan murahan.
“Isu seksi juga bukan perkara baru buat saya. Sejak dahulu, saya sering terpalit dengan kontroversi sebegini.
“Keluarga turut maklum mengenai gaya pemakaian saya,” katanya.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang mencuri tumpuan apabila tampil dalam
satu video pendek menceritakan tentang maksud kemerdekaan di hadapan
sekumpulan kanak-kanak.
Video selama lebih 3 minit itu menampilkan
Abdul Hadi duduk sambil menjawab mesra pertanyaan kanak-kanak berkenaan
mengenai erti 'merdeka'.
"Tok Ayah, Tok Ayah, apa itu merdeka?"
tanya seorang kanak-kanak perempuan ketika melihat laungan merdeka oleh
Tunku Abdul Rahman di kaca televisyen.
"Merdeka tu kita berjaya
halau Orang Putih yang memerintah kita. Orang Putih datang dengan
senapang, dengan senjata, orang kita lawan. Ada yang mati, mati.
"Orang
alim kena tangkap. Orang yang kuat agama jadi ketua, lawan. Mula-mula
orang orang Melayu Islam lawan. Kemudian Cina dan India pun lawan juga.
Sama-sama lawan.
"Akhirnya mereka tak tahan, bergaduh, mereka setuju tinggalkan negara ini," kata Abdul Hadi yang membahasakan dirinya Tok Ayah.
"Tok ayah, Tok Ayah. Masa Tok Ayah kecil dulu Tok Ayah sambut tak merdeka?" Tanya seorang kanak-kanak lelaki yang lain.
“Ye, sambut sebab kita gembira negara kita selamat, orang putih dah balik.
“Masa tu, Tok Ayah sekolah rendah lagi umur 10 tahun,” jawab Abdul Hadi.
Menjawab satu lagi soalan, Abdul Hadi memberitahu bahawa rakyat Malaysia harus menghormati bendera Malaysia.
“Orang zaman dulu sanggup mati pertahankan bendera ini. Bendera ini satu benda mulia pada kita orang Islam pun begitu.
“Nabi kita pun berjuang ada bendera. Bendera ini tanda,” kata anggota parlimen Marang itu.
Seorang kanak-kanak lain kemudian mencelah dengan mengatakan mereka ada diberikan kerja sekolah sempena hari merdeka.
"Nak buat apa eh," tanya kanak-kanak berkenaan.
"Tok ayah ada idea," kata Hadi sambil menunjuk ke arah kanvas, berus dan warna lukisan.
Kanak-kanak berkenaan kemudian dilihat mewarnakan tangan mereka sebelum melekapnya di atas kanvas sambil dibantu Abdul Hadi.
Presiden PAS itu kemudian menulis perkataan merdeka dalam bahasa Jawi di tengah-tengah hasil seni itu.
Dalam
video tersebut Abdul Hadi mengingatkan pesanan Nabi Muhammad bahawa
anak-anak adalah seperti kain putih dan ibu-bapa harus mencorakkan
mereka termasuk dalam memahami erti kemerdekaan.
“Sekarang ni sampai setengah abad kita merdeka dah. Daripada Malaysia Timur, Malaysia Barat.
“Kita
gabung semua sekali berbelas buah negeri dan berbagai kaum, berbagai
agama. Islam sebagai agama persekutuan dan kita boleh hidup dalam
keadaan harmoni dan aman. Keadaan ini perlu dikekalkan.
“Pertahankan
agama, pertahankan perpaduan dan pertahankan kemerdekaan daripada saya
Abdul Hadi bin Haji Awang, presiden PAS,” katanya.
Di akhir video
berkenaan dipaparkan Abdul Hadi bersama-sama kanak-kanak berkenaan
mengibarkan bendera Jalur Gemilang berlatarbelakangkan pusat pentadbiran
negara, Putrajaya.
Jangan biarkan kaum ‘barbaric’ yang gersang peradaban kuasai negara
Amir Isma, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman.
BANGI – Kelemahan kepimpinan dan politik orang Melayu
telah menyebabkan negara mengalami kepincangan besar dari aspek
kebijaksanaan dalam menerajui negara berdasarkan akal budi dan
peradaban.
Justeru,
pemulihan kekuatan politik orang Melayu perlu dijadikan kayu ukur kerana
ianya perkara mustahak untuk masa depan negara, tegas Amir Ikatan
Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana,
Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman.
Beliau
menegaskan, negara akan hancur dan tidak selamat tanpa kepimpinan bangsa
Melayu yang tinggi budi pekerti dan berperadaban mulia.
“Jangan
biarkan kaum-kaum yang ‘barbaric’ dan gersang peradaban menguasai
negara. Pemulihan perlu dibuat segera sebelum negara dilanda oleh
malapetaka yang tidak dapat dibendung lagi.
“Allah
telah memuliakan orang Melayu dengan Islam, menyatukan kita atas dasar
akidah dan memberikan mereka segala kekuatan untuk menjadi bangsa yang
berkuasa memimpin manusia.
“Jalan
pemulihan tidak jauh jika kita punya keberanian untuk kembali kepada
Islam sebagai agama kita,” katanya yang turut menyeru bangsa Melayu
untuk bermuhasabah secara menyeluruh.
Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena Hari Kemerdekaan Negara yang ke-62, hari ini.
Ustaz
Abdullah turut menyatakan keprihatinan terhadap perkembangan negara pada
hari ini yang tidak begitu menggembirakan sama ada dari sudut ekonomi,
politik, perpaduan, keselamatan dan sebagainya yang berpunca daripada
kelemahan orang Melayu dalam menerajui kepimpinan negara.
Beliau
berkata, orang Melayu yang sepatutnya sebagai bangsa istimewa dengan
nikmat Islam dan memiliki akal budi yang tinggi, gagal memainkan peranan
untuk memimpin negara ke arah kegemilangan.
“Kepentingan
nasional terabai demi kerakusan rasisme yang menguasai dasar dan polisi
pemerintahan negara hari ini. Polarisasi kaum pula semakin meruncing
dan gangsterisme sedikit demi sedikit mengambil tempat mencabar prinsip
rule of law.
“Selain
itu, prinsip-prinsip bernegara yang telah dipersetujui sebelum ini,
kemudiannya menjadi bahan pertikaian yang tiada batas,” katanya.
Pemimpin Melayu usah terlalu apologetik dalam perkara asas negara
BANGI – Rakyat di negara ini digesa supaya menghormati peruntukan yang
termaktub dalam Perlembagaan demi mengekalkan kesejahteraan dan
kestabilan Malaysia.
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma),
Haji Aminuddin Yahaya berkata, Perlembagaan Persekutuan yang inklusif
kepada semua sepatutnya tidak memecah belahkan rakyat berbilang kaum,
suku, agama dan budaya di negara ini.
Beliau yakin, jika semua kaum berpegang
teguh kepada Perlembagaan, maka rakyat akan kekal bersatu-padu bahkan
mampu membina sebuah negara yang mempunyai identiti unik serta
dihormati.
“Sebagai sebuah negara Islam sudah tentu memastikan keabsahan agama Islam sewajibnya menjadi agenda utama kerajaan.
“Malangnya sejak kebelakangan ini, kita
melihat ada pihak yang cuba menggugat keharmonian antara kita. Jika
diteliti, semua isu yang berlaku adalah apabila perkara-perkara yang
termaktub di dalam Perlembagaan dicabar.
“Antaranya ialah bahasa kebangsaan, agama
persekutuan, kedaulatan raja-raja, kedudukan orang Melayu dan
Bumiputera dan banyak lagi,” katanya dalam perutusan khas sempena Hari
Kebangsaan Ke-62.
Pada masa sama, beliau turut mengajar
rakyat berfikir dan merenung kepada hakikat bangsa serta negara hari
ini, sama ada benar-benar bebas untuk memacu mengikut acuan sendiri atau
masih terikut-ikut dengan Barat.
“Ini satu perkara yang perlu kita
muhasabah diri agar negara ini terbina dengan identitinya sendiri. Kita
tidak harus tunduk kepada mana-mana tekanan luar sama ada dari barat
ataupun timur.
“Setiap rakyat mestilah komited mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.
Aminuddin turut menggesa pimpinan negara
terutamanya orang Melayu Islam supaya tidak terlalu apologetik dan tidak
tegas dalam mempertahankan perkara-perkara asas negara, terutama yang
menyentuh soal agama Islam, kedudukan orang Melayu dan Majlis Raja-Raja.
“Akhir sekali, saya menyeru agar kita
terus bersatu-padu supaya kita dapat maju ke hadapan untuk membina
sebuah negara yang madani mengikut kerangka dan acuan kita sendiri,”
kata beliau
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini
menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) dengan tiga agensi bagi
membantu peminjam mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian.
Tiga
agensi itu ialah Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia
(NCCIM)), Jobstreet.com Sdn Bhd dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung
Malaysia.
Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan berkata sebagai
peneraju pinjaman pendidikan agensi itu melihat masalah yang dihadapi
peminjam yang sukar mencari pekerjaan sebagai satu masalah yang turut
dirasai PTPTN.
"PTPTN memahami isu yang dihadapi oleh
peminjam dan sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) PTPTN kepada
peminjam, langkah tersebut diambil bagi membantu mengatasi masalah ini,”
katanya kepada pemberita selepas majlis pertukaran MOU di antara PTPTN
dan ketiga-tiga agensi tersebut di Kuala Lumpur,
Majlis itu turut disaksikan Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Kata Wan Saiful, membantu mendapatkan pekerjaan dalam kalangan peminjam bukanlah dalam bidang kuasa dan fungsi PTPTN.
Namun
katanya pendekatan tersebut diambil sebagai sebahagian daripada usaha
PTPTN membantu peminjam mencari pekerjaan dan memudahkan urusan mereka
memulakan bayaran balik pinjaman selepas tamat pengajian.
Beliau
berkata kerjasama melalui MOU itu sekaligus akan meningkatkan prestasi
bayaran balik pinjaman demi kelangsungan generasi akan datang dan
dijangka memanfaatkan sejuta peminjam.
Ada perkhidmatan tambahan percuma
Wan
Saiful berkata kerjasama itu juga diharap membantu peminjam PTPTN yang
terdahulu (bermula pinjaman tahun 1997) sekiranya mereka masih
menganggur atau ingin mendapatkan pekerjaan yang lebih baik.
"Ia
diharap membantu peminjam yang sehingga hari ini tidak mampu membayar
langsung atau tidak mampu membayar secara konsisten dengan membuka ruang
untuk mereka mencari pekerjaan yang lebih baik," katanya.
Sementara
itu, Bendahari Kehormat NCCIM, Nazwin Don Najib, berkata MyJobs di
bawah NCCIM merupakan platform untuk majikan mempromosikan kekosongan
jawatan dan juga saluran untuk orang ramai khususnya peminjam PTPTN
mencari peluang pekerjaan.
"Platform ini akan dapat membantu
membina pangkalan data permohonan pekerjaan yang boleh digunakan
terutamanya kesemua ahli NCCIM untuk memenuhi keperluan mencari calon
bagi mengisi kekosongan jawatan dengan kadar segera.
"Sejumlah
650,000 majikan yang merupakan ahli NCCIM akan menyediakan keperluan
pekerjaan bagi memastikan ia dapat memenuhi permintaan sama ada bertaraf
kontrak atau program latihan pekerjaan sementara sebelum peserta
mendapat pekerjaan tetap lebih baik," katanya.
Pengurus Negara Jobstreet.com, Gan Bock Herm, berkata JobStreet.com mempunyai 90,000 majikan berdaftar dalam dan luar negara.
Selain itu, katanya, laman mikro JobStreet.com diwujudkan untuk PTPTN menyediakan semua fungsi pencarian kerja.
"Perkhidmatan
tambahan secara percuma turut disediakan kepada peminjam PTPTN meliputi
penyediaan modul pembelajaran seperti persediaan menghadapi temuduga,
basic soft skill learning, penyediaan resume dan banyak lagi," katanya.- Bernama
Sama ada orang biasa atau ulama - termasuk bertaraf antarabangsa -
seseorang itu sentiasa terdedah kepada kemungkinan menjadi tali barut
DAP, kata salah seorang ulama kanan PAS hari ini.
Anggota
Jawatankuasa Ulama Pusat PAS, Mokhtar Senik, juga berkata sesiapa saja
yang mendukung agenda DAP akan dianggap sebagai musuh parti terbabit.
Menganggap
mereka sebagai tali barut, Mokhtar berkata golongan terbabit ialah
individu yang berwajah Melayu namun "berhati perut DAP".
"Berhati-hati dengan tali barut yang berwajah Melayu tapi berhati perut DAP.
"Tidak
kira ia orang biasa atau ulama bertaraf antarabangsa, tidak kira ia
orang tak terkenal atau profesional, keturunan tok guru atau tok garu.
"Siapa saja yang mendukung agenda DAP adalah musuh politik kita," katanya melalui hantaran di media sosial petang ini.
Mokhtar
yang juga anggota Jawatankuasa Pusat PAS menambah kemaraan "tali barut
DAP" itu hanya dapat dihalang dengan cara menyuburkan rasa cinta kepada
Islam, bangsa dan negara.
Katanya perasaan sayang kepada tiga faktor itu perlu disuburkan bagi mengelak orang Islam di negara ini menjadi mangsa DAP.
"Jika rasa cinta kepada Islam, bangsa dan negara pudar, maka amat mudah umat ini menjadi bahan ratahan DAP.
"Tiga benteng utama ini wajib dijaga dengan rapi," katanya.
Bagaimanapun tulisan ulama kanan PAS itu tidak merujuk kepada mana-mana nama khusus atau laporan berita seperti sebelum ini.
Bekas
calon PAS Parlimen Padang Besar yang tewas pada PRU14 itu antara
pimpinan yang aktif di media sosial sekali gus banyak mengkritik
kerajaan PH khususnya DAP.
Sebahagian
peserta National Economic Forum 2019 yang berlangsung di Pusat
Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI,
KUALA LUMPUR- Kaji selidik tidak rasmi yang dijalankan semasa sesi
perbincangan bertajuk Masa Hadapan Malaysia: Apa Yang Perlu Dilakukan
Kerajaan sempena Forum Ekonomi Kebangsaan 2019 mendapati 63 peratus
responden berpandangan bahawa Malaysia sedang menuju arah yang salah.
Manakala 12 peratus berpendapat sebaliknya dan baki berkecuali.
Kaji selidik berkenaan disertai oleh 85 peserta daripada ratusan peserta forum berkenaan.
Kaji selidik berkenaan yang dilakukan apabila Ahli Majlis Tertinggi
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Wan Saiful Wan Jan menyuarakan
kebimbangannya terhadap ahli-ahli politik yang suka mengeluarkan
kenyataan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum
di negara ini.
Menurut Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional itu,
ahli-ahli politik seharusnya lebih berhati-hati ketika mengeluarkan
kenyataan yang berbaur perkauman.
“Satu perkara yang saya risaukan adalah mengenai hubungan kaum.
“Ramai yang bercakap mengenainya tetapi tidak ramai yang mahu
berbincang dengan cara yang rasional sehingga menyebabkan isu-isu
seperti itu dipolitikkan setiap hari.
“Hala tuju sebegini adalah membimbangkan,” katanya.
Bagaimanapun ketika ditanya, beliau tetap berpendapat Malaysia sedang
berada di landasan yang sebenar tetapi seorang lagi panelis, Datuk Ng
Yih Pyng yang mewakili komuniti perniagaan berpendapat sebaliknya.
Menurut Timbalan Ketua Setiausaha Dewan Perniagaan dan Industri Cina
Malaysia (ACCCIM) itu, komuniti perniagaan tidak merasakan Malaysia
tidak mempunyai hala tuju yang betul.
“Apa yang komuniti perniagaan mahukan adalah persekitaran mesra
perniagaan dan sekiranya ada dasar-dasar yang baik yang boleh menyokong
perniagaan, kerajaan mestilah mempunyai kekuatan politik untuk
melaksanakannya,” katanya.
Forum Ekonomi Kebangsaan 2019 dianjurkan Dewan Perniagaan dan Industri Kebangsaan Malaysia (NCCCIM).- MalaysiaGazette
Reaksi aktivis, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang.
KUALA LUMPUR – Kecoh di media sosial semalam apabila bekas calon
Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali
Uncle Kentang menyeru orang ramai khasnya kawasan Jalan Ipoh supaya
menderma bagi membantu sebuah keluarga India.
Chee Heng berkata, keluarga India itu memerlukan bantuan wang untuk
mengebumikan mayat salah seorang ahli keluarga mereka yang meninggal
dunia.
Bagaimanapun kerana terlampau miskin, keluarga itu tidak mempunyai
wang sebanyak RM2,500 untuk kerja-kerja pengebumian serta upacara
sembahyang kepercayaan Hindu.
Uncle Kentang yang mendapat tahu tentang perkara itu kemudian cuba
menghubungi Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran semalaman namun panggilan
itu tidak berjawab.
Keprihatinan umum menderma telah berjaya membantu keluarga itu
menyelesaikan masalah mereka tanpa bantuan Prabakaran yang juga
sepatutnya jauh lebih peka dengan keadaan menimpa penduduk di kawasan
beliau.
Uncle Kentang kemudian memuat naik status dalam laman sosial sebentar
sambil menyatakan keluarga itu telah mendapat bantuan untuk pengebumian
pada hari ini.
“Terima kasih ‘anak Malaysia’, mayat lelaki India yang tersadai di
Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL) telah diambil dan akan di uruskan hari
ini. Tidak perlu tunggu YB. Telefon YB pun tidak terjawab langsung.
“Maafkan YB, beliau (Prabakaran) terlampau sibuk lah. Terima kasih
kepada semua penderma, semangat merdeka itu ada dalam diri
masing-masing, terima kasih,” katanya.
Walaupun kalah pada PRK lepas, namun Uncle Kentang terkenal dengan
aktif dalam kerja-kerja kebajikan membantu sesiapa sahaja tidak kira
latarbelakang mahupun warna kulit.
Dalam pada itu, pengamatan MalaysiaGazette mendapati rata-rata
netizen juga mengucapkan tahniah kepada Chee Heng sambil memberikan
beliau dorongan supaya kembali bertanding kerana benar-benar memiliki
ciri-ciri seorang wakil rakyat.
Prabakaran juga dikritik kerana tidak menjalankan tugas hakiki iaitu menjaga kepentingan rakyat. –MalaysiaGazette
KES 1MDB NAJIB l Peguam utama
bekas perdana menteri Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah hari ini
memohon agar tempoh perbicaraan kes rasuah 1MDB yang membabitkan anak
guamnya dipendekkan.
Shafee memberikan beberapa alasan, antara lain, adalah Najib terpaksa duduk di permukaan yang keras untuk jangka masa panjang.
"Tetapi lebih kritikal ialah klien saya (duduk) di atas papan ...
"Hampir setiap hari, sebaik sahaja Yang Arif membenarkan penangguhan (tadi), dia terpaksa meregangkan badannya (stretching) jika tidak akan menjadi lebih teruk," katanya kepada Hakim Collin Lawrence Sequerah.
Beliau juga memetik isu-isu dokumentasi dalam permohonnya untuk memendekkan masa perbicaraan.
Susualan itu, Sequerah bersetuju untuk menamatkan sesi hari ini pada jam 4.45 petang.
Shafee
kemudian meminta agar perbicaraan seterusnya berakhir pada jam 4.30
petang, sambil menambah bahawa beliau telah menimbulkan isu yang sama
dengan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam perbicaraan kes rasuah Najib
membabitkan SRC International.
Bagaimanapun, Sequerah tidak
bersetuju dan memberitahu Shafee bahawa anak guamnya akan dibenarkan
untuk mengambil rehat seketika.
"Saya boleh membenarkan rehat seketika jika diperlukan," katanya.
Najib
sedang berdepan dengan lebih 25 pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan
pengubahan wang haram melibatkan sejumlah RM2.28 juta yang berasal dari
1MDB.
Pada Selasa lalu, Shafee meminta Peguam Negara Tommy Thomas dan mahkamah agar kerusi kayu tempat bekas perdana menteri itu duduk berjam-jam hampir setiap hari dipasangkan kusyen.
"Anda
yang lain berada di galeri awam. Anda mempunyai lapisan kusyen... Itu
pun saya dimaklumkan oleh (wartawan kanan) dia rasa sakit (duduk di
kerusi itu) kerana ia masih agak keras.
"Bayangkan, (tertuduh)
perlu duduk di situ berjam-jam... Saya jemput anda duduk di situ hanya
untuk sejam. Anda mungkin lebih muda, punggung lebih berisi daripada
Najib. Kita tengok kalau anda boleh tahan,” katanya.
Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Yusof menyifatkan kempen mengutamakan produk Muslim tidak bagus untuk ekonomi negara.
Beliau berkata, kempen yang memboikot barangan keluaran bukan Islam tidak sepatutnya berlaku di negara yang berbilang kaum.
"(Kempen)
tidak menjejaskan usahawan, barangan halal di utara misalnya, 70
peratus di keluarkan oleh bukan Muslim. Jadi, ia tidak ada masalah.
"Tak
kena dengan kempen, kalau dah halal cukuplah, kalau dapat sijil halal
Jakim sudah cukup untuk menjual, tak perlu boikot kerana ia tidak
konstruktif.
"Kita tak boleh menghalang kempen di media sosial,"
katanya selepas merasmikan Minggu Usahawan Nasional 2019 di Taman Ekspo
Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di Serdang, petang ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Dr Mohd Hatta Ramli dan Timbalan Menteri Kewangan, Ir Amiruddin Hamzah.
Kebelakangan ini di media sosial aktif digerakkan kempen membeli barangan yang dikeluarkan oleh masyarakat Muslim di negara ini.
Selain itu turut aktif digerakkan oleh segelintir NGO kempen memboikot barangan yang dikeluarkan oleh bukan Islam.
Kempen
itu diadakan ekoran beberapa isu sensitif seperti tulisan Jawi yang
menyaksikan sebilangan bukan Islam membantah pelaksanaannya di sekolah
venekular
Dalam pada itu, Mohd Redzuan berkata tiada lagi Konvensyen Usahawan Bumiputera yang bersifat eksklusif untuk satu kaum saja.
Sebaliknya, penganjuran program seperti itu selepas ini lebih bersifat inklusif untuk usahawan semua kaum di negara ini.
"Konvensyen
yang sama, tapi kita mahu lebih inklusif dengan hala tuju yang jelas.
Tak payahlah lagi kita adakan Konvensyen Usahawan Bumiputera.
"Kalau perlu (Konvensyen Usahawan Bumiputera), kita akan adakan sekali lagi," katanya lagi.
Sementara
itu, dalam ucapannya, Mohd Redzuan berkata Persatuan Institusi
Perbankan Kewangan Islam (Aibim) yang diterajui oleh 26 institusi
perbankan menyediakan RM20 bilion pinjaman kepada perusahaan kecil
sederhana (PKS).
Katanya, 26 institusi perbankan itu bersetuju untuk memberi sokongan kepada implementasi Dasar Keusahawanan Nasional 2030.
Seorang penyanyi baru direman selama empat hari mulai semalam selepas
disyaki mengasari seorang pekerja stesen minyak di Ampang, Selangor.
Ketua
Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Noor Azmi Yusoff, berkata artis berusia
21 tahun itu - yang turut dikenali sebagai pencipta lagu - sedang
direman sehingga Ahad ini.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 186
Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan
tugas; dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan
kecederaan," katanya dipetik Sinar Harian.
Menurut Noor Azmi, mangsa ialah lelaki rakyat Bangladesh yang juga merupakan penjaga stor di stesen minyak berkenaan.
Katanya
dikatakan kejadian ketika lelaki terbabit - yang berusia 28 tahun -
menyusun barangan di kaunter apabila didatangi suspek yang ingin membeli
sesuatu.
"Semasa lalu di sebelah mangsa, suspek tiba-tiba
bertindak menumbuk dada lelaki berkenaan selain menarik baju dan
memaki-hamunnya perkataan tidak senonoh," katanya.
Menurutnya,
kira-kira lima minit kemudian, peronda polis (MPV) tiba di lokasi
kejadian dan memperkenalkan diri sebagai polis sebelum meminta meminta
kad pengenalan suspek dan rakannya di dalam kereta.
Bagaimanapun,
kata Noor Azmi, artis terbabit enggan memberikan kerjsama sebaliknya
dengan nada marah mempertikaikan tindakan polis memeriksa dirinya dan
meminta kad pengenalan.
"Susulan itu, penyanyi terbabit telah ditahan bagi bantu siasatan," katanya.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad membayangkan Presiden
PKR, Anwar Ibrahim tidak akan menjadi sebahagian daripada pasukan
kabinetnya apabila beliau membuat perubahan kecil dalam portfolio jemaah
menteri tidak lama lagi.
"Kami tidak mempunyai apa-apa perubahan atau pertambahan bilangan (anggota) kabinet.
"Oleh
kerana tiada siapa yang mengatakan mereka ingin meletakkan jawatan,
kami tidak mempunyai kekosongan (untuk menampung Anwar)," katanya pada
sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu
petang ini.
Beliau ditanya soalan sebab tidak mengundang Anwar
untuk menyertai kabinet ketika beliau mempertimbangkan untuk menukar
portfolio kabinet dan apabila terdapat tekanan untuk peralihan kuasa.
Pada
22 Ogos lalu, perdana menteri memaklumkan tiada rombakan kabinet dalam
masa terdekat ini seperti yang spekulasikan yang dibuat oleh beberapa
pihak, khususnya, media tempatan.
Sebaliknya, kata beliau, perbincangan hanya membabitkan pertukaran portfolio beberapa menteri.
“Mungkin ada tukar sikit portfolio. Tapi belum ada," katanya.
Bersatu memutuskan untuk mengambil tindakan disiplin
terhadap Anggota Majlis Tertingginya, Rais Husin kerana menjejaskan imej
parti itu.
Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad yang juga perdana menteri memaklumkan demikan malam ini.
"Kita
telah bincang dengan panjang lebar, beberapa perkara, di antaranya
perlu adanya disiplin dalam parti khususnya ahli-ahli dalam Majlis
Presiden juga Majlis Tertinggi, iaitu mereka yang ada pegang jawatan.
"Mereka
perlu berhati-hati bila membuat pengumuman, kalau mereka membuat
pengumuman yang mrosakkan imej parti maka tindakan akan diambil terhadap
mereka, dan ini diputuskan berkenaan dengan projection (ramalan) kononnya parti harapan ini akan kalah.
"Tak
tahu lah pendapat dia, tetapi kita akan adakan penyelidikan, akan
kemukan kepada Majlis Disiplin parti dan Majlis Disiplin akan membuat
laporan kepada Majlis Tertinggi untuk Majlis Tertinggi ambil tindakan
yang dicadangkan oleh majlis disiplin," jelasnya.
Walaupun
tidak menamakan Rais, dipercayai Dr Mahathir merujuk kepada anggota MT
tersebut yang dipetik laporan media sebagai berkata PH akan kalah jika
PRU esok.
Semalam, Rais dilaporkan berkata PH mempunyai tempoh tiga setengah tahun lagi untuk menunaikan janji-janji PRU14.
“Dalam
senario sekarang, kalau kita adakan pilihan raya esok, Umno dan PAS
akan menang,” kata ahli MT Bersatu itu pada suatu majlis forum anjuran
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Menjelaskan lanjut, Dr Mahathir berkata Bersatu tidak pernah melantik sesiapa untuk memegang jawatan ketua strategis.
"Kita tidak ada sebenarnya pakar strategik. Tiada dalam dalam parti, saya tak tahu siapa lantik chief strategist, itu gelaran yang diberi oleh diri sendiri kot, jadi sekarang tiada gelaran kita boleh beri gelaran.
"... berkenaan orang yang mengaku dirinya sebagai chief strategist, tidak ada hal yang sebegitu," katanya lagi.
Ketika ditanya pemberita sekiranya beliau merujuk kepada Rais Hussin, pengerusi Bersatu menjawab: "Mungkin."
Peguam
kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Shafee Abdullah bercakap
kepada media pada hari terakhir perbicaraan kes SRC International Sdn
Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL
KUALA LUMPUR – Peguambela Datuk Seri Najib Razak kecewa dan marah
dengan tindakan sebuah blog yang didakwanya menyebarkan fitnah berhubung
kes perbicaraan bekas perdana menteri itu.
Malah Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, pihaknya tidak
menyangka blog yang enggan dinamakannya ketika ini bertindak menyebarkan
fitnah kepada masyarakat umum khasnya tentang kes SRC International.
Jelas beliau, ketika ini pihaknya akan menghantar aduan kepada Peguam
Negara, Tommy Thomas juga telah menyampaikan perkara itu kepada Hakim
Mahkamah Tinggi, Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali mengenainya kerana ia telah
menjejaskan reputasi Najib.
“Saya akan cari blogger ini sehingga ke lubang cacing dan pastikan
dia dijatuhkan hukuman penjara. Tidak akan sesekali berkompromi dengan
penulisan seperti ini, pada saya ianya sesuatu yang sangat dahsyat
sepanjang karier saya.
“Saya akan panjangkan isu kepada kepada AG, saya mahu tengok jika
beliau ambil tindakan atau tidak kerana ini adalah sesuatu yang amat
serius. Walhal perkara yang begitu ‘kecil’ sekalipun, Tommy cuba ambil
tindakan terhadap saya dan anak guam saya sebelum ini.
“Jika tidak ada apa-apa dilakukan oleh beliau, saya tidak sesekali teragak-agak untuk ambil tindakan seterusnya.
“Saya mahu tengook blog dan blogger ini dijatuhi hukuman paling tegas. Banyak fitnah dan cerita tidak betul telah ditaburkan oleh blogger ini untuk di jadikan tatapan pembaca. Sesuatu yang tidak betul dengan gambaran buruk sekali.
“Adalah sesuatu yang tidak patut, sebelum selesai kes ini, sebelum dijatuhi hukuman atau keputusan, blogger
itu sudah jatuhkan hukumannya sendiri di mata rakyat. Apa punya blog
apabila menulis pelajar-pelajar jurusan undang-undang tahun pertama
sendiri akan tahu Najib bersalah daripada awal lagi.
“Blog ini juga menuduh pasukan peguambela mereka-reka bukti bagi kes
dan banyak lagi fakta telah dimanipulasi. Pada saya, hukuman itu pasti,
saya akan pastikan dia di penjara walau apa pun sebagai pengajaran
kepada yang lain supaya jangan sekali melampau batas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sejurus selepas selesai
perbicaraan kes SRC International ditutup oleh pasukan pendakwaan dan
diberikan masa sehingga 24 September ini mengemukakan hujah bertulis
manakala 22 dan 23 Oktober untuk hujah lisan hari ini.
Melalui pengamatan MalaysiaGazette, blog berbahasa Inggeris tersebut
masih lagi aktif selain mempunyai senarai artikel-artikel berkaitan
Najib serta keluarga beliau selain membuat rumusan sendiri berhubung kes
SRC International dan 1MDB.
Sementara itu, Muhammad Shafee juga melahirkan sedikit kegusarannya
tentang bagaimana anak guamnya ‘dilayan’ sepanjang perbicaraan kes
berprofil tinggi yang membabitkan penyewelengan sebanyak RM42 juta itu.
Kata Muhammad Shafee, beliau ada meminta ihsan hakim serta Peguam
Negara supaya menyediakan kusyen yang boleh digunakan Najib untuk duduk
selesa ketika perbicaraan yang memakan masa berjam-jam setiap hari.
“Sebenarnya ini tidak adil, mengapa anak guam saya diperlakukan
seperti ini? Seperti binatang, seperti seseorang yang telah terbukti
kesalahannya.
“Bayangkan, anak guam saya ini sudah berusia, apa jadi kepada beliau
duduk berjam-jam di atas kerusi kayu itu? Adakah adil? Beliau sendiri
mengadu sakit punggung kepada saya.
“Bayangkan jika keluarga anda (pemberita) perlu melalui perkara sama, adakah anda akan berdiam diri?,” soalnya. –MalaysiaGazette
PAS mencadangkan penganjuran kongres kebangsaan bagi mencari penyelesaian berkenaan masalah kemiskinan di Malaysia.
Timbalan
Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kongres itu haruslah
melibatkan semua pihak tanpa mengira pendirian politik agar lebih
objektif.
“Isu kemiskinan mesti dilihat satu perkara yang
signifikan di samping memacu negara ke arah sebuah negara maju dan
berpendapatan tinggi.
“Kongres kebangsaan bertemakan kemiskinan
ini dicadangkan ekoran percanggahan perspektif mengenai statistik
kemiskinan yang dinyatakan kerajaan dengan laporan yang disediakan oleh
Pelapor Khas Kemiskinan dan Hak Asasi Manusia PBB, Philip Alston pada 23
Ogos 2019,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Melalui
kongres itu, beliau berkata pelbagai candangan seperti semakan semula
paras garis kemiskinan serta pelaksanaan dasar afirmatif boleh
dibincangkan.
Minggu lalu, laporan Pelapor Khas Kemiskinan dan Hak
Asasi Manusia PBB, Philip Alston menyifatkan kadar kemiskinan negara
0.4 peratus pada 2016 adalah tidak realistik kerana meletakkan penanda
aras yang rendah.
Laporan itu susulan lawatan sebelas hari Alston
ke pangsapuri kos rendah, pusat orang kurang upaya, komuniti orang asli
dan sekolah di Kuala Lumpur, Selangor, Sarawak, Sabah, dan Kelantan.
Bagaimanapun
ia dikritik Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali yang berkata
Malaysia menggunakan piawaian berdasarkan Canberra Group Handbook on
Household Income Statistic, Edisi Kedua (2011) yang diterbitkan oleh PBB
untuk mengukur kadar kemiskinan negara.
Penasihat Ekonomi Perdana
Menteri, Muhammed Abdul Khalid menjelaskan indikator yang digunakan
oleh kementerian itu untuk mengukur kadar kemiskinan di Malaysia sudah
lapuk.
Menurut Garisan Pendapatan Kemiskinan (PLI), isi rumah
yang berpendapatan kurang RM980 di semenanjung Malaysia ditakrif sebagai
miskin. Kadar bagi Sabah dan Sarawak pula masing-masing RM1,180 dan
RM1,020.
Mengluas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga anggota parlimen
Kubang Kerian berkata masalah kemiskinan parlu menjadi isu pertama untuk
diperbaiki kerajaan.
“PAS berpendapat isu kemiskinan mesti
dijadikan fokus utama supaya jurang kaya miskin antara bandar dan luar
bandar termasuk antara kaum dapat diperbaiki.
“Selain itu, ia turut melibatkan perubahan dasar, peruntukan skim bantuan atau subsidi dan juga pengagihan zakat,” katanya lagi.
KES NAJIB | Pasukan pembelaan
tidak yakin pendakwaan mampu mengaitkan Najib Razak dalam pertuduhan
pengubahan wang haram dalam kes dana 1MDB bernilai RM2.28 bilion.
Mengulas
pernyataan pembukaan pendakwaan hari ini, ketua pasukan pembelaan
Muhammad Shafee Abdullah mendakwa sumber wang yang dibelanjakan bekas
perdana menteri itu tidak menjadi isu.
Sebaliknya, kata Shafee,
apa yang penting dalam kes itu ialah sama ada Najib tahu wang yang
disalurkan ke akaunnya berasal dari 1MDB.
"Kami sentiasa
mengatakan apa saja berkenaan wang itu, anak guam saya sejujunya percaya
ia datang dari raja Saudi, kerana dia bertemu raja Saudi dan ada janji
berkenaan AS$1 bilion (RM4.21 bilion)," katanya kepada pemberita di
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
"Dan wang itu memang ke akaunnya. Ini pembelaan kami, kami sentiasa menyebutnya, tiada rahsia.
"Persoalannya,
bagaimana anda sangkal bahawa inilah keyakinannya? Saya tak peduli dari
mana wang datang dalam pendakwaan (pengubahan wang haram) ini, kerana
dia sentiasa yakin ia adalah derma."
Shafee menjawab soalan
berkenaan hari pertama perbicaraan 1MDB yang ditunggu-tunggu hari ini,
dan pernyataan pembukaan ketua pendakwaan Gopal Sri Ram.
"Jadi
sama ada dokumen palsu atau tak, anda (pendakwaan) buktikannya. Malah
jika anda dapat buktikannya, anda perlu buktikan Najib tahu ia
dipalsukan.
"Saya tak peduli sama ada Low Taek Jho tahu. Adakah Najib tahu? Hanya selepas itu anda boleh hukumnya," kata Shafee.
Shafee
ditanya berkenaan kenyataan pendakwaan bahawa Najib dan Low telah
mengambil langkah untuk menutup jejak mereka, termasuk memalsukan
dokumen untuk menunjukkan memang ada derma dari Arab Saudi.
'Anak guam saya diperdaya'
Dalam pada itu, beliau berkata tidak sabar untuk melihat bagaimana pendakwaan mahu membuktikan Low ialah "alter ego" Najib.
Beliau
membangkitkan tentang nama Low yang disebut dalam perbicaraan SRC
International, di mana pasukan pembelaan mendakwa ahli perniagaan itu
memperdaya banyak pihak, termasuk Najib.
Katanya lagi, pembelaan Najib untuk kes 1MDB juga akan sama dengan hujah yang digunakan dalam kes SRC International.
"Anak
guam saya diperdaya. Dan salah satu nama yang kita sebut ialah Low. Dia
perdaya AmBAnk, 1MDB, malah ketika 1MDB masih (dikenali) sebagai
Terengganu Investment Authority.
"Kita akan bangkitkan perkara
ini. Untuk mengatakan anak guam saya 'alter ego', saya nak tengok mereka
buktikannya. Saya tak mahu ulas lanjut, saya tak mahu sub judice," katanya lagi.
'Janji hebat pendakwaan'
Dalam
pada itu, Shafee berkata pihak pendakwaan menjanjikan banyak perkara
dalam pernyataan pembukaan mereka, sama seperti yang dilakukan pihak
pendakwaan dalam perbicaraan SRC International.
"Anda boleh lihat
dalam kes SRC, ada janji yang hebat, tetapi pada akhir perbicaraan, anda
boleh buat keputusan sendiri sama ada janji itu ditunaikan atau tidak."
Shafee mendakwa pihak pendakwaan kes SRC International bergelut untuk mengaitkan Najib dengan Jho Low.
"Inilah
yang saya ingin tahu, faktanya dia (Jho Low) tiada di sini. Siapa yang
anda (pendakwaan) akan panggil untuk katakan ada pakatan sulit (antara
Najib dan Jho Low)."
Ketika membacakan pernyataan pembukaan di
hari pertama perbicaraan 1MDB hari ini, Sri Ram berkata Najib dan Jho
Low cuba menutup skandal 1MDB selepas ia menjadi perhatian umum pada
2015.
Ia termasuklah membuat dokumen palsu untuk menunjukkan Najib
menerima wang daripada kerabat Arab Saudi di saat ia sebenarnya dari
syarikat milik kerajaan itu, katanya.
Mendakwa Najib berpakat dengan Jho Low, Sri Ram menyifatkan ahli perniagaan yang diburu itu sebagai bayangan kepada Najib.
Padang berkualiti tinggi dan fasiliti kelas dunia merupakan dua
elemen utama dititikberatkan pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT),
Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam usaha menjadikan Stadium Sultan
Ibrahim Larkin sebagai stadium terbaik di Asia Tenggara.
Stadium
dijangka siap selewat-lewatnya Januari tahun depan itu akan menjadi
gelanggang baharu juara Liga Super 2019, JDT yang melakar sejarah
tersendiri dengan rekod kejuaraan enam kali berturut-turut sejak 2014.
Tunku
Ismail menjelaskan dua elemen itu kunci utama kepada peningkatan mutu
bola sepak sesebuah pasukan dan sebagai pemilik, beliau ingin memastikan
JDT sentiasa berada di landasan tepat dengan memiliki infrastruktur
setaraf pasukan terbaik dunia.
“Saya nak stadium ini jadi
terhebat di Asia Tenggara...nombor satu terbaik, selain diiktiraf oleh
Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan FIFA,” katanya kepada pemberita
selepas aksi persahabatan antara Pilihan TMJ dan Team Media FC di
Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.
Pada
masa sama, Tunku Ismail menyeru semua pasukan dan kelab memberi
penekanan dalam aspek penyediaan padang berkualiti tinggi serta pusat
latihan yang lengkap.
Tunku Ismail menjadikan Selangor dan
Terengganu FC sebagai contoh terbaik selepas kedua-dua pasukan mengambil
langkah positif menaik taraf pusat latihan selain menumpukan fokus
terhadap penjagaan kualiti padang dengan bajet berpatutan.
Bagaimanapun,
beliau menyedari setiap pasukan mempunyai inisiatif tersendiri, namun
berharap pemilik mahupun persatuan negeri meletakkan sukan itu sebagai
keutamaan bagi terus memajukan bola sepak di negara ini.
“Saya
harap kita sama-sama dapat majukan bola sepak Malaysia macam mana yang
dah dibuat Selangor (Persatuan Bola Sepak Selangor) dan TFC, saya
ucapkan syabas kepada mereka.
“Saya berharap banyak lagi pasukan
akan ikut benda sama dengan bajet antara RM1 dan 2 juta. Tidak perlu
terlampau mahal tetapi pastikan ia digunakan bagi mendapatkan kualiti
padang dan juga pusat latihan yang bagus,” katanya.- Bernama
Tindakan Presiden PKR Anwar Ibrahim tidak melayan
tiga pucuk surat yang dihantar bagi membincangkan perihal parti itu
merupakan sebab naib presidennya Zuraida Kamaruddin tidak hadir ke
mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
Zuraida berkata surat itu
dibuat bagi mengadakan pertemuan dengan Anwar bersama ahli MPP yang
terpilih bagi menyelesaikan perselisihan yang berlaku.
“Permintaan itu untuk kita reconcile, buat masa ini belum dilayan. Dah tiga surat yang kami keluarkan kepada pejabat presiden.
“Surat pertama dia jawab dia ke Mekah dan kami beri surat kedua nak minta pertemuan lagi dengan beliau.
“Dan
surat ketiga kita dah keluarkan Isnin lepas masih lagi minta pertemuan
dengan presiden di kalangan dengan ahli pimpinan pusat yang terpilih
dalam pemilihan parti,” katanya.
Sebelum itu Zuraida merasmikan Kayuhan Wanita 2019 di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Putrajaya, hari ini.
Zuraida berkata demikian ketika ditanya mengapa beliau tidak menghadiri Mesyuarat MPP berkenaan.
Menurut Zaraida, perkara itu merupakan maklumat awal yang boleh didedahkan kepada pemberita.
“Mungkin
peringkat awal, boleh cukup saya cakap ada beberapa perkara yang kita
buat permintaan pada presiden yang belum lagi dapat beliau tunaikan.
“Itu maklumat awal,” katanya.
Ahad
lalu, beberapa pemimpin PKR masih tidak hadir ke mesyuarat MPP parti
itu walaupun peringatan telah dikeluarkan oleh setiausaha agungnya,
Saifuddin Nasution.
Antara mereka ialah Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, Naib Presiden PKR, Zuraida dan Pengerusi PKR Selangor, Amirudin Shari.
Mengulas
lanjut, Zuraida juga bingung Saifudin dan Pengerusi PKR Perak Farhash
Wafa Salvador Rizal Mubarak seolah-olah tidak mengetahui berkaitan surat
berkenaan.
“Ada dua kenyataan dari Farhash dan Saifudin seolah-olah macam tak tahu beliau (Anwar) terima surat tu,” katanya.
Ditanya mengapa terlalu sukar kepimpinan PKR duduk berbincang mengenai parti, Zuraida berkata:
“It’s OK, dalam parti kena ada move untuk reconcile, it’s OK,” katanya.
Rais Hussin (tengah) bersama Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin di forum di UIAM hari ini.
GOMBAK: Ketua strategi PPBM, Rais Hussin beri amaran Pakatan Harapan
tidak lagi mendengar suara rakyat, dan ini boleh menyebabkan kekalahan
dalam melawan Umno-PAS jika pilihan raya umum diadakan dalam masa
terdekat.
Beliau berkata PH ada 3 setengah tahun lagi untuk menunaikan
janji-janjinya dan melaksanakan projek-projek yang akan memanfaatkan
rakyat.
“Dalam senario sekarang, kalau kita adakan pilihan raya esok, Umno dan PAS akan menang,” katanya.
Beliau berkata demikian di forum “Pilihan raya-pilihan raya
Kecil Pasca PRU-14: Implikasi pada PRU-15” anjuran Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia.
Beliau berkata PH perlu mengambil serius manifestonya untuk meraih
kepercayaan rakyat dan memenuhi janji-janji pilihan raya seperti
menurunkan kos sara hidup, menambahbaik kualiti hidup dan penjagaan
kesihatan, mencipta peluang pekerjaan, dan membina rumah mampu milik.
Beliau berkata pengangguran dalam kalangan belia adalah tinggi dan
kerajaan mengambil pendekatan salah dalam mencipta pekerjaan seperti
meluluskan perkhidmatan perkongsian motosikal seperti Gojek.
Beliau berkata pengundi muda yang berusia 18 tahun ke atas, yang akan
mengundi buat pertama kali, bukan pengundi setia mana-mana gabungan.
“Apa yang mereka mahu ialah pekerjaan,” katanya, tetapi bukan pekerjaan yang mengurangkan pendapatan negara.
“Kita perlu fikirkan jangka masa panjang dan bukan beberapa langkah segera,” katanya.
Beliau berkata kerajaan patut tumpu pada pertanian kerana negara masih bergantung kepada import makanan.
Sebaliknya, kerajaan PH mahukan projek kereta nasional ketiga dan
kereta terbang “yang agak melucukan kerana masih ada rakyat yang susah”.
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata BN pasti menang jika
bukan kerana bekas perdana menteri Najib Razak, skandal 1MDB, dan GST.
Ini kerana prestasi dan penyampaian BN sebenarnya baik, katanya.
Khairy juga ditanya oleh peserta forum mengenai pilihan raya tempatan yang menurutnya boleh mengurangkan politik identiti.
“Secara prinsipnya, pilihan raya tempatan sstu perkara yang baik jika
anda mahu ahli majlis laksanakan tugas,” katanya, tetapi ada
kebimbangan ia boleh menyebabkan ketidakseimbangan jika hanya satu kaum
dilantik.
Dr Mahathir Mohamad.
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menolak rayuan Perdana Menteri Dr Mahathir
Mohamad untuk mengembalikan semula saman beliau yang memohon
perisytiharan untuk membatalkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja
(RCI) bagi menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank
Negara Malaysia (BNM) pada 1990-an.
Hakim Ahmadi Asnawi yang mempengerusikan panel 3 hakim menegaskan dapatan RCI tidak boleh dicabar.
Beliau berkata apa yang dicabar Mahathir adalah dapatan RCI itu sendiri seperti yang terkandung dalam laporan RCI.
Sehubungan itu, Ahmadi berkata keputusan Mahkamah Persekutuan
berkaitan RCI membabitkan klip video kontroversial seorang bekas peguam,
VK Lingam, terpakai dalam kes Mahathir.
Pada 2011, Mahkamah Persekutuan memutuskan dapatan RCI dalam kes klip
video Lingam tidak boleh disemak semula kerana pesuruhjaya hanya
membuat penemuan dan bukannya keputusan.
Ahmadi yang bersidang bersama Hakim Lau Bee Lan dan Has Zanah Mehat
berkata Seksyen 22 Akta Suruhanjaya Siasatan memperuntukkan budi bicara
yang meluas kepada RCI untuk mengawal selia urusannya dan prosedurnya
sendiri, termasuk mengumpul laporan serta peraturan untuk laporan itu
dipersembahkan kepada Agong.
“Kami juga berpendapat bukanlah peranan mahkamah ini untuk memberitahu RCI bagaimana untuk mengendalikan urusannya,” katanya.
Panel itu mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Dis 2018
untuk membatalkan saman pemula Dr Mahathir yang memohon perisytiharan
bahawa laporan RCI mengenai kerugian urus niaga mata wang asing oleh BNM
adalah tidak sah, tidak lengkap dan cacat kerana ia tidak memasukkan
dokumen undang-undang saksi, nota prosiding dan hujahan lisan.
Dalam saman yang difailkan pada Disember 2017, Mahathir turut memohon
mahkamah mengisytiharkan sebarang laporan oleh RCI yang diwujudkan di
bawah Akta Suruhanjaya Siasatan akan hanya menjadi sah sekiranya ia
mengandungi kenyataan bertulis oleh saksi yang memberi keterangan dalam
prosiding, selain nota prosiding dan hujahan.
Beliau menamakan Pengerusi RCI, Mohd Sidek Hassan, anggota
suruhanjaya yang terdiri daripada Wira Kamaludin Md Said, Tajuddin Atan,
Saw Choo Boon, K Pushpanathanan dan Yusof Ismail, bekas perdana menteri
Najib Razak, anggota Kabinet serta kerajaan, sebagai defendan dalam
saman itu.
Sebelum itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili
Mahathir, berkata anak guamnya bukan memohon untuk membatalkan dapatan
RCI, sebaliknya mahu perisytiharan laporan itu hanya akan lengkap dan
sah sekiranya ia mengandungi dokumen yang berkaitan.
Bagaimanapun, peguam kanan persekutuan Mazlifah Ayob, yang mewakili
responden, berhujah jika laporan RCI diisytiharkan batal dan tidak sah,
dapatan dan syor RCI juga akan diisytiharkan batal dan tidak sah, oleh
itu, keputusan Mahkamah Persekutuan ke atas dapatan RCI berhubung klip
video Lingam turut terpakai dalam kes Mahathir.
KUALA
LUMPUR: Selepas hampir 21 tahun dihentikan, perkhidmatan bas mini akan
membuat kemunculan semula di ibu negara mulai bulan depan.
Rapid KL akan mengadakan perkhidmatan bas mini percubaan dari hab
Bukit Indah ke Ampang Point menerusi Jalan Rasmi dari 1 Sept hingga 29
Nov.
Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd, Muhammad Yazurin Sallij
berkata bas mini itu, yang boleh membawa 31 penumpang di dalam setiap
bas akan beroperasi dengan kekerapan 15 minit (waktu puncak) dan 25
minit (luar waktu puncak) dari 5:30 pagi hingga 11:40 malam.
“Ini sebahagian daripada inisiatif Rapid Bus untuk memberi
perkhidmatan lebih baik dan kerap kepada penumpang kami,” katanya dalam
kenyataan hari ini.
Perkhidmatan percubaan itu akan membolehkan Rapid Bus menguji
kesesuaian penggunaan bas mini di kawasan kejiranan dengan jalan yang
sempit, selain mendapatkan gambaran sebenar pengalaman perjalanan
penumpang menerusi maklum balas yang diterima.
Bas mini merupakan pemandangan biasa di ibu negara dari 1970-an
hingga 1990-an dan bas yang sentiasa sesak dengan penumpang itu dianggap
sebagai pengangkutan awam paling murah pada masa itu.
Diperkenalkan pada 1975, perkhidmatan itu ditamatkan pada 1998
selepas pihak berkuasa menggabungkan perkhidmatan pengangkutan awam di
ibu negara.
“Jika ada permintaan yang menggalakkan semasa perkhidmatan percubaan
ini, kami akan menimbangkan untuk mengekalkan perkhidmatan bagi laluan
ini dan berkemungkinan memperluaskannya ke laluan lain pula,” kata
Yazurin.
Para penumpang dialu-alukan untuk memberi maklum balas semasa
perkhidmatan percubaan itu dengan menghubungi Rapid KL Helpline di
talian 03-7885 2585 atau menghantar e-mel kepada suggest@rapidkl.com.my.
Mohd
Amar Nik Abdullah berkata, rakyat Kelantan boleh hidup dengan
pendapatan RM2,000 tetapi wang itu tidak mencukupi bagi penduduk Kuala
Lumpur. (Gambar Facebook)
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan pimpinan PAS mempertikaikan kenyataan
Putrajaya mengklasifikasikan ia negeri paling miskin di Malaysia dan
menganggap petunjuk yang digunakan bagi status itu tidak memadai.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah berkata soal
kemiskinan di negeri itu perlu dilihat daripada pelbagai sudut.
Katanya, jika hendak dikatakan miskin, tetapi kadar pengangguran dan kemiskinan di Kelantan adalah sama di peringkat nasional.
“Kita tidak menafikan Kelantan bukanlah negeri yang kaya, namun untuk menyatakan ia antara negeri termiskin adalah tidak tepat.
“Kita juga mahu tahu apakah ukuran yang digunakan untuk menunjukkan
Kelantan antara negeri termiskin. Jika dikira data orang yang berdaftar
dengan e-Kasih dan individu yang membuat pinjaman tabung Amanah Ikhtiar
Malaysia (AIM)…rasanya banyak lagi perkara yang perlu dijelaskan,”
katanya selepas mesyuarat Exco di Kota Darul Naim di sini, hari ini.
Beliau berkata, jika hendak dibandingkan pendapatan RM2,000 sebulan di Kuala Lumpur dan di Kelantan, sudah pasti ia berbeza.
Katanya, rakyat boleh hidup dengan pendapatan RM2,000 di Kelantan,
tetapi ia pasti tidak mencukupi untuk warga Kuala Lumpur disebabkan
pelbagai kos tinggi.
“Pendapat saya, mungkin sikap orang Kelantan yang tidak suka menonjol dari segi pendapatan mereka kerana sebab-sebab tersendiri.
“Apa yang kita tahu, walaupun kelihatan miskin, tetapi penduduk di
sini kemungkinan mempunyai harta seperti tanah dan rumah sewa berbanding
pendapatan berdaftar mereka,” katanya mengulas kenyataan mengatakan
Kelantan antara negeri termiskin di Malaysia, selepas Sabah dan Sarawak.
Amar berkata, Kelantan bukan negeri kaya, tetapi untuk menyatakan ia negeri paling miskin adalah tidak tepat.
Semalam, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohd Radzi Md Jidin
dilaporkan berkata, Kelantan masih merupakan negeri termiskin di
Semenanjung dan ketiga di Malaysia selepas Sabah serta Sarawak.
Radzi meminta semua pihak menerima hakikat Kelantan ialah negeri termiskin di Semenanjung.
Statistik dalam pengkalan data e-Kasih sehingga Jun lalu menunjukkan
Kelantan mempunyai 6,218 orang miskin tegar, manakala 31,217 lagi
tergolong dalam kategori miskin.
Radzi berkata, dari segi statistik, kadar kemiskinan Kelantan
menyamai purata kemiskinan peringkat nasional, iaitu 0.4% tetapi
hakikatnya masih ada kumpulan yang ketinggalan.