Jumaat, 23 Ogos 2019

Keluar Sijil Halal tulisan Mandarin, Tamil, bukan Jawi

Manzaidi Mohd Amin

MGF23082019_PPIM-KEMPEN-SOKONG-UTUSAN48
Ketua Aktivitis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan (kanan) dan Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr.Maamor Osman (kiri) menunjukan logo halal dalam tulisan tamil dan cina pada sidang media mengenai isu tulisan jawi di Kondominium Villa Puteri, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM
 

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mencadangkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) supaya mengeluarkan Sijil Halal dalam tulisan mengikut bangsa pemilik produk.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr. Maamor Osman berkata, sebagai contoh, jika produk itu dikeluarkan oleh pemilik Melayu, Islam, Jakim perlu mengeluarkan Sijil Halal dalam tulisan Jawi.

Katanya, begitu juga jika produk berkenaan dikeluarkan oleh syarikat Cina dan India, maka Sijil Halal mesti ditulis dalam bahasa Mandarin dan Tamil, bukan tulisan Jawi sebagaimana sebelum ini.

Ini tegas beliau sebagai tanda akur PPIM berhubung penolakan tulisan Jawi oleh persatuan Cina, Dong Zong bagi pelaksanaan dalam kurikulum sekolah tahun depan.

“Mereka (Dong Zong) tak nak Jawi, okey. Kita boleh terima. Tapi kita mahu penolakan itu secara menyeluruh sehingga pada produk keluaran bukan Islam pun dihapuskan tulisan Jawi.

“Kita tidak mahu mereka mengambil kesempatan mengaut keuntungan atas kuasa membeli dalam kalangan orang Melayu dan Islam secara mengelirukan pembeli dengan tulisan Jawi.

“Ini tidak patut. Kalau betul-betul bencikan tulisan Jawi, jangan pakai, walaupun pada produk mereka,” katanya kepada media pada majlis kempen membeli akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo di sini, hari ini.

Dr. Maamor turut memberi contoh seperti makanan segera roti pau yang menggunakan nama Melayu, sedangkan pemilik dan pekerjanya bukan Islam.

Jelas beliau, tujuan pemilik menggunakan jenama Melayu dan nama lebih Islamik kerana untuk mengelirukan pembeli Islam kononnya makanan itu halal.

“Walhal pemiliknya bukan Islam, tapi menggunakan nama orang Melayu untuk kelirukan orang Islam.

“Kita mengajak orang Melayu, Islam selepas ini lebih berhati-hati membeli produk bukan Islam yang menggunakan nama Melayu,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: