Jumaat, 23 Ogos 2019

PM kekal pendirian takkan hantar pulang Zakir Naik ke India

fazleen safina

 

Kerajaan diasak pihak tertentu mahu penceramah diusir dari negara

BANGI – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa pendakwah terkenal antarabangsa, Dr Zakir Naik tetap tidak akan dihantar pulang ke India.

Dr Mahathir demikian ketika ditanya sama ada masih berpendirian sama seperti sebelum ini untuk tidak menghantar pulang pendakwah berkenaan ke India.

“Pada saat ini, pendirian kita tidak berubah,” kata Dr Mahathir seperti dilapor media tempatan.

Kerajaan kini berdepan dengan pelbagai asakan serta gesaan ramai pihak yang mahu Dr Zakir diusir dari Malaysia.

Dr Mahathir sebelum ini bimbang Dr Zakir tidak akan mendapat keadilan sekiranya beliau dihantar pulang ke India, yang ketika ini didakwa berdepan pertuduhan pengubahan wang.

Dr Zakir kini disiasat pihak berkuasa negara susulan kenyataannya terhadap India dan Cina ketika menyampaikan ceramah anjuran negeri Kelantan baru-baru ini, yang disalah anggap dan mendapat kecaman.

Sejak minggu lepas, Dr Zakir berulang alik ke Bukit Aman untuk menjalani siasatan polis mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, iaitu berkait tuduhan sengaja mengaibkan dengan niat hendak mengganggu keamanan, berdasarkan lebih 100 laporan polis dibuat terhadapnya.

Dr Zakir yang mempunyai taraf permastautin tetap Malaysia, berkata, beliau hanya akan menjawab soalan pihak yang mahu beliau diusir ke India.

Awal minggu ini, beliau membuat permohonan maaf secara terbuka kepada bukan Islam, sambil mendakwa ucapannya sering disalah petik.


Tiada ulasan: