Sabtu, 31 Ogos 2019

Rakyat kekal bersatu jika hormati Perlembagaan

siti hafidah 

 

Pemimpin Melayu usah terlalu apologetik dalam perkara asas negara

BANGI – Rakyat di negara ini digesa supaya menghormati peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan demi mengekalkan kesejahteraan dan kestabilan Malaysia.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Haji Aminuddin Yahaya berkata, Perlembagaan Persekutuan yang inklusif kepada semua sepatutnya tidak memecah belahkan rakyat berbilang kaum, suku, agama dan budaya di negara ini.

Beliau yakin, jika semua kaum berpegang teguh kepada Perlembagaan, maka rakyat akan kekal bersatu-padu bahkan mampu membina sebuah negara yang mempunyai identiti unik serta dihormati.

“Sebagai sebuah negara Islam sudah tentu memastikan keabsahan agama Islam sewajibnya menjadi agenda utama kerajaan.

“Malangnya sejak kebelakangan ini, kita melihat ada pihak yang cuba menggugat keharmonian antara kita. Jika diteliti, semua isu yang berlaku adalah apabila perkara-perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan dicabar.

“Antaranya ialah bahasa kebangsaan, agama persekutuan, kedaulatan raja-raja, kedudukan orang Melayu dan Bumiputera dan banyak lagi,” katanya dalam perutusan khas sempena Hari Kebangsaan Ke-62.

Pada masa sama, beliau turut mengajar rakyat berfikir dan merenung kepada hakikat bangsa serta negara hari ini, sama ada benar-benar bebas untuk memacu mengikut acuan sendiri atau masih terikut-ikut dengan Barat.

“Ini satu perkara yang perlu kita muhasabah diri agar negara ini terbina dengan identitinya sendiri. Kita tidak harus tunduk kepada mana-mana tekanan luar sama ada dari barat ataupun timur.

“Setiap rakyat mestilah komited mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.

Aminuddin turut menggesa pimpinan negara terutamanya orang Melayu Islam supaya tidak terlalu apologetik dan tidak tegas dalam mempertahankan perkara-perkara asas negara, terutama yang menyentuh soal agama Islam, kedudukan orang Melayu dan Majlis Raja-Raja.

“Akhir sekali, saya menyeru agar kita terus bersatu-padu supaya kita dapat maju ke hadapan untuk membina sebuah negara yang madani mengikut kerangka dan acuan kita sendiri,” kata beliau


Tiada ulasan: