Jumaat, 23 Ogos 2019

Sikap naif Aziz Bari memalukan

Oleh Siti Fatimah Ishak 

 

Pemimpin DAP meremehkan perbuatan tak hormat Jalur Gemilang

BANGI– Kenyataan Dr Abdul Aziz Bari kononnya isu pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik adalah kesilapan biasa dan bukannya kesalahan, membuktikan Naib Pengerusi DAP Perak itu benar-benar tidak patriotik.

Ketua Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ipoh, Muhammad Nurfadzli Anuar berkata, tergamak seorang pemimpin menyatakan pendirian negatif seperti itu, seolah-olah membenarkan perbuatan rakyat tidak menghormati Jalur Gemilang.

“Aziz Bari agak keterlaluan. Jelas dia tak patrotik. Kenyataan beliau bahawa mereka yang pasang bendera terbalik sekadar melawak sangat memalukan. Apakah Jalur Gemilang perlu dijadikan bahan lawak?

“Beliau tidak sepatutnya meremehkan isu ini. Tidak patut kenyataan itu keluar dari seorang pemimpin. Sikap naif sebegini akan melahirkan generasi masa depan yang tidak punya kesetiaan pada negara,” katanya.

Terdahulu, Aziz Bari menganggap isu memasang bendera secara terbalik sebagai kecil dan terpencil, tetapi menjadi panas apabila disebarkan menerusi media sosial.

“Benda ni terlalu mudah ataupun cepat disebarkan, cuma setahu saya tak ada kesalahan. Ada undang-undang ke yang menyatakan salah pasang bendera terbalik?

“Kadang-kadang kalau tersilap, terlepas pandang, jangan kata ini perbuatan tidak patriotik, anti itu dan ini. Saya fikir bendera terbalik ini orang buat lawak jer … apanya nak dikatakan tidak patriotik, apa ni, kita dalam Malaysia Baharu lebih ‘open’ dan terbuka,” katanya seperti dilapor Utusan.

Sebelum ini tular dalam media sosial mengenai pemasangan Jalur Gemilang yang dinaikkan secara terbalik di sebuah sekolah di Pahang.

Selain itu, sebuah pusat pameran, jualan dan servis kenderaan di Sungai Isap juga dikatakan memasang Jalur Gemilang terbalik, dan difahamkan permohonan maaf sudah dibuat.


Tiada ulasan: