Jumaat, 23 Ogos 2019

Tabung Haji dapat CEO baru




KUALA LUMPUR: Nik Mohd Hasyudeen Yusoff dilantik sebagai pengarah urusan kumpulan dan ketua pegawai eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) yang baru berkuat kuasa 1 Sept ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof Rawa dalam kenyataan hari ini berkata pelantikan itu bagi menggantikan Zukri Samat yang menamatkan kontrak perkhidmatannya lebih awal atas faktor kesihatan.

Zukri dilantik ke jawatan pengarah urusan kumpulan dan ketua pegawai eksekutif TH pada 10 Julai tahun lepas.
“Dalam tempoh yang singkat, beliau (Zukri)berjaya melaksanakan proses pemulihan dan penstrukturan semula kedudukan kewangan TH bagi mengatasi kedudukan defisit aset yang dialami dan mengukuhkan proses tadbir urus serta pengurusan yang telus bagi menjaga kepentingan para pendeposit.

“Sumbangan dan panduan yang diberikan beliau sepanjang tempoh perkhidmatannya kini meletakkan TH pada kedudukan kewangan yang lebih stabil bagi melaksanakan mandat utama TH sebagai institusi yang amat penting dalam membantu umat Islam di Malaysia melaksanakan rukun Islam ke-5,” katanya.

Nik Mohd Hasyudeen, 54, berkelulusan sarjana perniagaan dari Curtin University of Technology, Australia, pernah menyertai Program Lanjutan Pengurusan Perniagaan, International Institute for Management Development (IMD) Switzerland, dan merupakan Felo di CPA (Certified Practising Accounting) Australia dan Ahli di Institut Akauntan Malaysia (MIA).

Neliau pernah dilantik sebagai lembaga pengarah di beberapa syarikat termasuk BIMB Holdings Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, BIMB Investment Management Berhad, Cagamas Holdings Berhad, TH Plantations Berhad, Malaysia Professional Accountancy Center (MyPAC), Federation of Investment Managers Malaysia (FIMM) dan Al Hijrah Media Corporation.

Beliau juga pernah dilantik sebagai pengarah eksekutif penyeliaan pasaran dan korporat dan pengerusi eksekutif Lembaga Penyeliaan Audit Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, selain mempunyai pengalaman luas serta kepakaran dalam bidang perakaunan, kewangan korporat, pasaran modal dan perbankan Islam.

Tiada ulasan: