Prof Madya Dr Khalif Muammar
Tindakan menghina institusi mufti boleh dianggap sebagai hasutan
PORTAL Free Malaysia
Today semalam, 22 Ogos 2019, menerbitkan tulisan Faisal Tehrani yang
menghina ulama khususnya para mufti di negara ini. Penghinaan beliau
terhadap institusi mufti ini suatu tindakan yang melampau. Suatu
kebiadaban yang tidak boleh dibiarkan berleluasa.
Faisal Tehrani antara lain menulis: “Kita
sukar memahami lojika agamawan. Sehingga kita merasakan seorang ulama,
ustaz, haji, mufti dan lebai itu kadang-kala tidak punya otak untuk
berfikir.
Kadang-kala agamawan memikirkan mereka lebih baik daripada
semua yang ada di dunia ini kerana mereka – konon – tidak menyembah
berhala. Mereka terlupa berhala boleh ada dalam diri sendiri. Ia dinamai
ego. Kadang, melihat muka mufti pun kita tahu dia penyembah berhala.
Yakni berhala dalam diri. Mukanya sombong sekali. Mulutnya
termuncung-muncung angkuh”.
Seseorang itu boleh saja tidak bersetuju
dengan pandangan seseorang mufti, apabila ia memiliki ilmu yang cukup
untuk menilai dan memiliki hujah yang kuat untuk berbeza pendapat. Akan
tetapi walaupun ia tidak bersetuju dengan pandangan seseorang mufti
tertentu ia tidak sewajarnya menghina institusi mufti. Tiada sedikit pun
kewajaran untuk seseorang membuat tuduhan umum dan melakukan
generalisasi bahawa [semua] mufti dan agamawan adalah orang-orang yang
bodoh, sombong dan tidak berfikir dengan logik.
Tindakan menghina institusi mufti boleh
dianggap sebagai hasutan agar masyarakat membenci institusi Islam.
Tindakan membenci institusi Islam sama dengan membenci institusi raja,
kerana raja adalah penaung institusi Islam. Menghina MAIS sebagai contoh
adalah sama dengan menghina Sultan, kerana kewujudan MAIS bukan sahaja
atas perkenan Sultan bahkan mengikut Perlembagaan atau undang-undang
tubuh negeri.
Persoalan yang lebih mendasar adalah
mengapa Faisal Tehrani membenci institusi mufti? Beliau bukan hanya
seorang yang hauskan perhatian dan ingin terkenal dengan cara menyalahi
kebiasaan. Faisal Tehrani sebenarnya memiliki agenda yang lebih besar
iaitu memperjuangkan idea-idea liberal. Golongan liberal secara umumnya
membenci dan menentang agamawan, para alim ulama kerana bagi mereka
golongan ini adalah sama dengan golongan clergy di Eropah yang
menjadi penghalang kepada kebangkitan Eropah. Mereka beranggapan bahawa
satu-satunya cara untuk maju adalah dengan menghapuskan pengaruh gereja
ini dengan menghapuskan kuasa golongan agamawan. Selain itu, mereka juga
ingin menghapuskan institusi raja ataupun menjadikannya hanya sebagai
simbol negara tanpa kuasa sedikit pun. Di Barat, golongan liberal telah
berhasil melakukan revolusi di Perancis, di Britain dan di Amerika
Sarikat dan menggantikan sistem monarki dengan sistem republik. Kecuali
di Britain yang masih mengekalkan raja sebagai simbol negara tetapi
sistem pemerintahan yang digunapakai adalah sistem demokrasi liberal.
Mereka tidak sedar bahawa andaian bahawa
institusi mufti, dan institusi Islam adalah penghalang kemajuan adalah
tidak benar. Apa yang berlaku di Eropah berlainan dengan apa yang
berlaku di alam Melayu atau di dunia Islam umumnya. Para ulama tidak
pernah menjadi penghalang kepada kemajuan, justeru mereka adalah pelopor
dan pemicu kepada kemajuan masyarakat. Para ulama ini jugalah yang
menjadi saintis, ahli perubatan, ahli matematik, bahkan ahli falsafah.
Dalam dunia Islam tidak berlaku dualisme antara sains dengan agama
seperti mana yang berlaku di Barat. Maka suatu kecerobohan dan
kedangkalan berfikir jika Faisal Tehrani menganggap bahawa institusi
ulama ini sama dengan institusi clergy di Eropah.
Apa yang jelas daripada tulisannya Faisal
Tehrani menganggap para ulama itu bodoh dan sombong kerana mereka
mempunyai pandangan yang berbeza dengan dirinya. Oleh itu, secara tidak
langsung beliau sebenarnya ingin mengatakan bahawa hanya dirinya
sahajalah yang cerdik dan tidak sombong sedangkan orang yang berbeza
pandangan dengannya adalah orang yang bodoh dan sombong. Apa bezanya
sikap seperti ini dengan sikap golongan ekstremis radikal yang menuduh
orang Islam yang tidak menyertai mereka sebagai sesat dan kafir?
Kedua-duanya bersikap ekstrem dan eksklusif, hanya selangkah sahaja lagi
untuk sampai kepada pandangan bahawa oleh kerana mereka itu sesat dan
kafir maka mereka itu boleh diperangi dan dibunuh.
Dengan kaedah memperbodohkan dan
menyerang institusi agama, Faisal Tehrani dan kelompoknya dengan sedar
mahupun tanpa sedar sebenarnya sedang menyebarkan teologi kebencian di
kalangan masyarakat Islam. Golongan ini suka melihat agama Islam
dihapuskan daripada ruang publik supaya yang tinggal hanyalah ritual di
ruang peribadi dan tidak mempunyai peranan sedikit pun dalam pembentukan
masyarakat yang baik, harmoni dan bahagia.
Agenda liberalisme adalah agenda
meruntuhkan institusi agama Islam. Mereka berusaha menghina dan
memperkecilkan peranan para ulama dan agamawan. Kerana liberalisme
sebagai sistem sosial, politik dan ekonomi tidak akan berjaya ditegakkan
selagi institusi agama ini berdiri kukuh memelihara agama Islam
daripada diselewengkan oleh golongan yang keliru dan mengelirukan.
*Prof Madya Dr Khalif Muammar, Pengarah Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban (CASIS)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan