Selasa, 27 Ogos 2019

3 penjenayah maut ditembak [METROTV]



Hadzlihady Hassan

TIGA penjenayah warga asing maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Jalan Pala 6, kawasan Industri Permatang Tinggi, Bukit Mertajam, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, tiga lelaki berkenaan sedang melakukan jenayah pecah kilang di kawasan terbabit.

Sumber berkata, suspek berjaya dikesan dan mereka yang menyedari kehadiran polis cuba melarikan diri dengan menaiki kereta.

“Dalam usaha meloloskan diri itu, suspek turut melepaskan tembakan kepada polis.


“Mereka bertindak agresif dan polis terpaksa melepaskan tembakan hingga semua suspek maut di lokasi kejadian,” katanya.

Difahamkan, semua suspek adalah geng yang aktif melakukan jenayah pecah kilang dengan sekurang-kurangnya lebih lima kes dikesan dilakukan mereka.

Selain pistol, polis turut menemui parang dan juga peralatan pecah kilang dalam kereta dinaiki suspek.

Sidang media berhubung kejayaan menumpaskan semua penjenayah ini dijangka berlangsung 12 tengah hari, hari ini di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

Tiada ulasan: