Isnin, 26 Ogos 2019

Situasi lebih parah jika pihak cetus provokasi dibiar bebas

Oleh Athirah Huda Zalhe 

 

KDN jangan berat sebelah laksana 'rule of law' isu perguna 3R: Isma

BANGI – Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana mendesak kerajaan supaya bertindak tegas dalam menangani pihak yang selalu mencetuskan provokasi, termasuk bersikap adil dalam melaksanakan ‘rule of law’ ke atas mereka.

Amir Isma, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman meluahkan rasa kesal apabila terlalu banyak insiden yang menyakitkan hati masyarakat, khususnya orang Melayu kebelakangan ini, tiada tindakan tegas daripada pihak berkuasa.

Beliau berkata, sikap ‘acuh tak acuh’ itu menyebabkan kebanyakan orang Melayu yang menjadi mangsa provokasi pihak terbabit berasa marah serta perasaan tidak puas hati juga semakin membara.

“Ini akan jadi lebih parah apabila pihak berkuasa dan kerajaan dilihat lebih tegas terhadap salah laku pihak yang diprovok, dan membiarkan pihak yang mulakan provokasi tanpa sebarang tindakan undang-undang.

“Adakah sebenarnya kerajaan tidak sedar terhadap apa yang sedang berlaku dalam kalangan masyarakat atau bertindak berat sebelah atas dorongan politik,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang giat menggunakan isu bangsa, agama dan raja (3R), yang boleh mencetuskan sentimen kebencian antara kaum.

Justeru, beliau memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap pihak berkaitan menerusi segala undang-undang sedia ada termasuk Akta Hasutan 1948 kerana ia menunjukkan sesuatu yang tidak baik terhadap keamanan dan keselamatan negara.

“Akta Hasutan selagi ia belum dimansuhkan, ia masih dikuatkuasakan. Soal sama ada ada yang setuju atau tidak, itu soal lain. Saya fikir semua orang setuju kerana yang penting soal keamanan dan keselamatan negara tidak boleh dikompromi,” kata Muhyiddin.

Walaupun menyambut baik ketegasan Muhyiddin itu, Ustaz Abdullah Zaik bagaimanapun mengingatkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya tidak bersikap berat sebelah terhadap amarannya itu.

“Saya nak ingatkan kepada KDN bahawa sikap berat sebelah atau tindakan terpilih kepada pihak tertentu dalam melaksanakan rule of law akan menyebabkan rakyat bertindak sendiri, bahkan situasi akan menjadi lebih parah,” katanya.


Tiada ulasan: