Sabtu, 31 Ogos 2019

Pulihkan politik Melayu jika mahu negara kembali gemilang

sitifatimah

 

Jangan biarkan kaum ‘barbaric’ yang gersang peradaban kuasai negara

BANGI – Kelemahan kepimpinan dan politik orang Melayu telah menyebabkan negara mengalami kepincangan besar dari aspek kebijaksanaan dalam menerajui negara berdasarkan akal budi dan peradaban.

Justeru, pemulihan kekuatan politik orang Melayu perlu dijadikan kayu ukur kerana ianya perkara mustahak untuk masa depan negara, tegas Amir Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman.

Beliau menegaskan, negara akan hancur dan tidak selamat tanpa kepimpinan bangsa Melayu yang tinggi budi pekerti dan berperadaban mulia.

“Jangan biarkan kaum-kaum yang ‘barbaric’ dan gersang peradaban menguasai negara. Pemulihan perlu dibuat segera sebelum negara dilanda oleh malapetaka yang tidak dapat dibendung lagi.

“Allah telah memuliakan orang Melayu dengan Islam, menyatukan kita atas dasar akidah dan memberikan mereka segala kekuatan untuk menjadi bangsa yang berkuasa memimpin manusia.

“Jalan pemulihan tidak jauh jika kita punya keberanian untuk kembali kepada Islam sebagai agama kita,” katanya yang turut menyeru bangsa Melayu untuk bermuhasabah secara menyeluruh.

Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena Hari Kemerdekaan Negara yang ke-62, hari ini.

Ustaz Abdullah turut menyatakan keprihatinan terhadap perkembangan negara pada hari ini yang tidak begitu menggembirakan sama ada dari sudut ekonomi, politik, perpaduan, keselamatan dan sebagainya yang berpunca daripada kelemahan orang Melayu dalam menerajui kepimpinan negara.

Beliau berkata, orang Melayu yang sepatutnya sebagai bangsa istimewa dengan nikmat Islam dan memiliki akal budi yang tinggi, gagal memainkan peranan untuk memimpin negara ke arah kegemilangan.

“Kepentingan nasional terabai demi kerakusan rasisme yang menguasai dasar dan polisi pemerintahan negara hari ini. Polarisasi kaum pula semakin meruncing dan gangsterisme sedikit demi sedikit mengambil tempat mencabar prinsip rule of law.

“Selain itu, prinsip-prinsip bernegara yang telah dipersetujui sebelum ini, kemudiannya menjadi bahan pertikaian yang tiada batas,” katanya.


Tiada ulasan: