Selasa, 27 Ogos 2019

SPR sedia adakan PRK Kimanis

Muhammad Azizul Osman
MGF05042019_PENGUMUMAN-SPR-SANDAKAN44
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun bercakap pada sidang media Pilihan Raya Kecil Parlimen P.186 Sandakan di Dewan Serbaguna, Menara SPR, Putrajaya. foto foto NOOREEZA HASHIM
 

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) berkata pihaknya bersedia untuk menjalankan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.176 Kimanis.

Bagaimanapun, menurut pengerusinya, Azhar Azizan Harun, proses itu harus menunggu tarikh akhir rayuan yang jatuh pada Khamis ini.

“SPR sentiasa bersedia untuk menjalankan PRK sekiranya ia perlu diadakan.

“Buat masa ini, SPR perlu menunggu perakuan keputusan Mahkamah Pilihan Raya atau sehingga tempoh untuk merayu tamat, iaitu pada 29 Ogos 2019 ini, bagi tindakan selanjutnya,” kata Azhar dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Azhar akur dengan penghakiman bertulis daripada Mahkamah Pilihan Raya yang telah mengisytiharkan keputusan Pilihan Raya bagi kerusi Parlimen P.176 Kimanis pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu sebagai batal dan tidak sah.

Azhar turut berkata SPR tidak akan membuat sebarang rayuan mengenai kes itu.

“Bagaimanapun, jika rayuan dibuat Datuk Seri Anifah Aman, penyandang kerusi bagi Parlimen berkenaan dan dinamakan sebagai responden, SPR akan menghadiri prosiding tersebut dan mengambil bahagian di dalamnya setakat yang perlu,” jelas Azhar lagi.

Pada 16 Ogos lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya menolak kemenangan Anifah pada PRU-14 kerana didapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya berkenaan.

Hakim Lee Heng Cheong membuat keputusan itu selepas mendapati kesilapan pada semua kotak undi yang mempunyai unsur manipulasi, termasuk kertas undi tambahan yang melanggar undang-undang pemilihan.

Bekas calon Parti Warisan Sabah (WARISAN) di Parlimen Kimanis, Datuk Karim Bujang memfailkan petisyen pada 18 Jun tahun lalu bagi mencabar kemenangan Anifah yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) dengan menamakan Anifah sebagai responden pertama dan pegawai pilihan raya untuk Kimanis serta SPR sebagai responden kedua dan ketiga. -MalaysiaGazett

e

Tiada ulasan: