Aminuddin Yahaya
Nasib Islam gelap kerana kelemahan pemimpin tunduk tekanan kecil
KITA
semua menyedari bahawa media mempunyai pengaruh yang kuat terhadap
minda dan pemikiran rakyat. Apabila berlakunya ‘misquote’ ataupun
unsur-unsur ‘misleading’, pastinya mampu menimbulkan impak yang besar
dalam masyarakat dan negara.
Dalam isu
Dr Zakir Naik, saya juga berpendapat bahawa kenyataan beliau telah
disalahtafsir akibat pelbagai faktor termasuklah perasaan prejudis
terhadap beliau, ‘overeaction’ dan kurangnya amalan tabayyun dan berbaik
sangka dalam masyarakat kita.
Ini
menyebabkan ramai pihak menyalahkan beliau yang dikatakan seolah-olah
menghasut kebencian kaum walhal jika di teliti kata-kata beliau, ia
tidak membawa maksud sedemikian. Namun permainan media, yang dikawal
oleh mereka yang membenci Dr Zakir Naik, telah menyebabkan isu ini
menjadi panas dan terkeluar dari kontek sebenar.
Lebih
parah lagi, sikap sebegini diamalkan oleh para menteri yang sepatutnya
bersikap profesional kerana segala kenyataan yang keluar dari mulut
mereka adalah sesuatu yang besar dan memberikan pengaruh kepada orang
awam.
Rakyat
Malaysia pasti kesal dengan sikap hipokrit sesetengah pemimpin yang
selama ini kononnya memperjuangkan kebebasan bersuara. Namun, apabila
Islam atau Melayu dihina, tidak pula dikenakan tindakan yang serius. Apa
yang paling mengecewakan kita semua ialah perpecahan kesatuan umat
Islam merupakan antara sebab utama Dr Zakir Naik dilihat tidak dapat
dipertahankan.
Kita lihat
sejak kebelakangan ini, apa-apa usaha dan cubaan untuk memperjuang dan
memartabatkan Islam akan gagal dan dibantah tetapi dalam masa yang sama,
kita tidak nampak kemasukan mubaligh-mubaligh luar ke dalam negara
dihalang sebegini rupa.
Saya
pasti, umat Islam di negara ini sekarang sedang menilai sikap kerajaan
yang dilihat tidak serius melindungi kepentingan dan kedaulatan Islam.
Apa yang tinggal hanyalah desakan-desakan NGO-NGO Islam sahaja. Ini
menunjukkan betapa lemahnya pemimpin-pemimpin Melayu yang beragama Islam
kita.
Sebenarnya,
isu Dr Zakir Naik ini hanya merupakan kesinambungan daripada siri-siri
isu yang sudah berlaku dan yang akan berlaku kerana mempunyai corak dan
trend yang agak sama. Semuanya berkisarkan kelemahan pemimpin-pemimpin
Melayu Islam kita.
Apa implikasi kepada semua ini?
Jika trend sebegini terus berlarutan, saya pasti rupa bentuk dan identiti negara pasti akan berubah dalam jangka masa panjang.
Pertama
sekali, negara akan dan sedang menuju pengamalan demokrasi secara total
dan mutlak di mana tiada komuniti, kaum atau kelompok yang dominan
walaupun bangsa Melayu adalah majoriti.
Ini adalah satu bom masa (time
bomb) yang menunggu masa sahaja untuk memusnahkan negara.
Kedua,
peranan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan semakin ketara
dan mendapat dokongan kuat rakyat kerana kepercayaan terhadap
badan-badan politik akan semakin pudar. Ini kerana rakyat semakin kecewa
dengan pemimpin-pemimpin politik yang sibuk berbalah dan bermain
politik berbanding memelihara kepentingan negara dan rakyat.
Ketiga,
pemikiran liberalisma agama akan semakin mendominasi fikrah umat Islam
dan agama hanya tinggal sebagai upacara ritual fizikal semata-mata. Ini
kerana kita lihat badan-badan agama semakin hari semakin disalahgunakan
untuk kepentingan politik. Menteri yang bertugas menjaga agama Islam
semakin hari semakin hilang kepercayaan dan kewibawaannya di mata
rakyat.
Keempat,
kita menuju ke arah pencairan dan kehancuran identiti negara bangsa.
‘Bangsa Malaysia’ yang wujud tanpa mana-mana sandaran identiti kaum dan
agama hanya menjuruskannya kepada sebuah negara yang liberal dan
sekular. Rakyat pula akan semakin hilang kesetiaannya kepada negara
kerana tiada gambaran jelas terhadap identiti yang mahu dipegang dan
dipautnya.
Kelima,
Perlembagaan Persekutuan gagal melindungi kedaulatan agama Islam di
negara kita dan tidak lagi menjadi dokumen prima yang perlu dipatuhi.
Ini kerana walaupun sudah jelas agama Islam mempunyai kedudukan
istimewanya di dalam Perlembagaan, tetapi kita lihat kepimpinan negara
semakin mengabaikannya. Malah, suara-suara yang mahu menghapuskannya
semakin lantang, kuat dan diraikan.
Keenam,
masa depan umat Islam semakin gelap dalam konteks pelaksanaan
nilai-nilai dan tuntutan-tuntutan Islam. Semua ini kita boleh lihat
kerana kelemahan pemimpin kita mudah tunduk dengan tekanan-tekanan
walaupun hanya tekanan yang kecil.
Akhirnya,
isu Zakir Naik ini menampakkan kelompongan yang sangat ketara, baik dari
segi jati diri pemimpin Melayu, kelemahan dalam kalangan umat Islam
yang berpecah serta kegagalan pihak berkuasa mengawal keadaan.
Kalau pun
ada kesilapan di pihak Dr Zakir Naik, saya tidak nampak ia sesuatu yang
begitu besar sehingga menyebabkan beliau perlu ‘dihalau’ balik kerana
ramai lagi pemimpin-pemimpin di negara ini yang mengutarakan kata-kata
kebencian kaum tetapi bukan saja tidak ‘dihalau’ tetapi berjaya menjadi
pemimpin negara.
*Aminuddin Yahaya, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan