Jumaat, 23 Ogos 2019

Polis tak akan benarkan demo khat, Zakir Naik diteruskan

Mazlan Lazim.
KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur tidak akan membenarkan tunjuk perasaan membantah tulisan khat dan Zakir Naik di Brickfields diteruskan atas sebab-sebab keselamatan.

Tunjuk perasaan “Bantah Tulisan Khat Untuk Sekolah Tamil” dijadualkan berhimpun pada malam ini manakala “Say No to Zakir Naik, Equal Rights To Indians & Other Races” petang esok.

Mazlan berkata polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana orang yang melanggar perintah dan menasihatkan orang ramai mengelakkan kawasan terbabit.

“Kita sekeras-kerasnya tidak benarkan perhimpunan ini,” kata Mazlan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

“Isu ini dah selesai, kenapa nak buat himpunan?” katanya.

Kekuatan tambahan akan diturunkan mulai malam ini dan seterusnya bagi memantau keadaan dan memastikan keamanan, kata Mazlan.

FMT belum dapat mengesahkan siapakah penganjur 2 tunjuk perasaan itu.

Mazlan berkata sekatan jalan raya akan diadakan supaya polis boleh membuat pemeriksaan dan meminta penduduk bersabar dengan kesulitan itu.

Lalu lintas juga akan dilencongkan di Jalan Tun Sambanthan, Jalan Rakyat dan Lebuhraya Persekutuan menuju ke Little India.

Sesiapa yang ditangkap menyertai tunjuk perasaan itu akan disiasat bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman

Tiada ulasan: