Rabu, 28 Ogos 2019

Lebih baik hadir mesyuarat bulanan, bukannya temu berasingan, kata setpol Anwar

Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.
 
PETALING JAYA: Adalah lebih baik sekiranya pemimpin PKR termasuk Zuraida Kamaruddin hadir ke mesyuarat bulanan majlis pimpinan pusat, dan bukannya bertemu presiden secara berasingan, kata setiausaha politik kepada Anwar Ibrahim menjawab isu ketidakhadiran Zuraida dalam mesyuarat parti.

Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, mesyuarat majlis pimpinan pusat (MPP) yang turut dihadiri Anwar platform terbaik untuk berbincang hal parti secara terbuka.

“Tempat yang terbaik adalah berbincang dalam mesyuarat bulanan MPP. Di sana, mereka boleh berbincang tentang semua hal dan secara terbuka,” katanya kepada FMT hari ini.

Terdahulu, Zuraida yang juga naib presiden PKR dilapor berkata, tindakan Anwar tidak melayan 3 surat yang dihantarnya merupakan sebab beliau tidak hadir mesyuarat MPP.

Zuraida berkata, surat itu mahu mengadakan pertemuan dengan Anwar bersama ahli MPP lain.

Zuraida antara pemimpin PKR yang dilaporkan tidak menghadiri mesyuarat MPP parti itu walaupun peringatan dikeluarkan oleh Setiausaha Agung, Saifuddin Nasution.

Farhash berkata Zuraida mempunyai akses kepada Anwar terutamanya perkara berkaitan parti.

“Kenapa kita perlukan 2 jenis mesyuarat MPP? Mesyuarat MPP sudah ditetapkan pada akhir bulan, maka datanglah ke mesyuarat untuk berbincang.

“Kita tidak mahu berpuak dalam parti,” katanya.

Farhash maklum mengenai surat yang dihantar kepada Anwar ketika presiden PKR itu hendak mengerjakan Haji, namun kurang pasti mengenai surat-surat lain.

Farhash turut dimaklumkan mesyuarat MPP minggu lalu membincangkan surat-surat yang dihantar kepasa Anwar.

“Respon Anwar adalah kalau hendak perkukuhkan parti, platform terbaik adalah mesyuarat MPP. Takkanlah hendak buat kumpulan lain.

“Hal ini kena bermesyuarat supaya semua pihak boleh berikan pandangan, dan bukan mendengar pandangan dari sebelah pihak sahaja,” kata Farhash.

Tiada ulasan: