Selasa, 27 Ogos 2019

Kahwinkan Tinta Utusan dan Harakah

PROF DR REDUAN TEE ABDULLAH


 Alangkah indahnya jika dalam Utusan ada tinta Presiden PAS. Begitu juga tinta Presiden UMNO dalam Harakah

Jika ahli UMNO dan PAS pakat-pakat beli dua akhbar ini pasti semua selamat dan penyatuan makin utuh

SELAMATKAN Utusan Melayu dengan mengahwinkan dengan akhbar Harakah demi perpaduan ummah dan keuntungan bersama. Saya yakin, jika sebahagian ahli UMNO dan PAS membeli Utusan dan Harakah, pasti kedua akhbar ini akan menjadi gah.

Akhbar Utusan ada sisipan berita Harakah. Manakala, akhbar Harakah ada sisipan berita Utusan. Jika ini boleh dilakukan, perpaduan ummah semakin menjadi kenyataan.

Memang tidak dinafikan bahawa Utusan Melayu agak terlebih UMNO atau menjadi lidah UMNO suatu masa dahulu dalam pemberitaannya. Belajarlah daripada kesilapan.

Namun, peranan Utusan Melayu yang pada ketika bertulis jawi, jangan dilupakan. Semangat wartawan mereka sangat kental dalam penulisan mereka menuntut kemerdekaan.

Pendek kata, akhbar Utusan memainkan peranan besar dalam menyumbang kemerdekaan negara tercinta ini.

Dalam muhasabah terhadap Utusan, jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Utusan perlu hidup sebagai lidah Melayu dan Islam.

Jika akhbar Cina ultra kiasu begitu banyak di pasaran, terbit dua kali sehari, disokong oleh hartawan ultra kiasu. Apakah kita sanggup melihat Utusan Melayu mati? Maka, bertepuk tanganlah ultra kiasu.

Utusan pula jangan jadi seperti akhbar orang kaya, Pengerusi, CEO dan Ketua Pengarang berpada-padalah dalam soal elaun dan gaji.

Selamat lidah Melayu yang benar pada masa dahulu yang memperjuangkan Islam dan Melayu. Perbetulkan ia jika sudah tersasar.

Marilah kita mulakan munasabah hari ini agar utusan tidak bermasalah lagi. Apatah lagi kita mula memasuki era baru berpolitik, melibatkan kerjasama UMNO-PAS, menuju kepada masa depan Malaysia yang lebih gemilang.

Kini saya kira, Utusan telah insaf sejak kekalahan PRU14. Jadilah akhbar sebenar-benar akhbar, jangan terlalu bermain politik, berkata benar walaupun pahit atau terkena hidung sendiri

Segelitir ultra kiasu marah apabila saya mempertahankan akhbar Utusan Melayu daripada ditutup. Kenapa seorang Cina sanggup mempertahankan akhbar Melayu. Tidakkah sepatutnya Ridhuan Tee bersama ultra kiasu mempertahankan tiga rukun politik Cina iatu mempertahankan sekolah Cina, akhbar Cina dan NGO Cina.

Jawapannya tidak, ultra kiasu dahulu minat kepada ekonomi sahaja. Tetapi hari ini ultra kiasu mahu kuasa. Dengan adanya kuasa, mereka dapat segala-galanya. Dia akan benam sesiapa juga yang tidak sefahaman dengan mereka.

Bila saya bersuara mengenai Utusan Melayu, bukan saya mahu menjadi Melayu atau tuduhan ultra kiasu mahu menjadi lebih Melayu daripada Melayu. Terus terang, saya terus menjadi Cina sampai bila-bila tetapi Cina yang sedar diri, Cina yang tidak buta sejarah. Cina yang akan tetap mempertahankan hujah secara konsisten. Jika komunis itu komunis, ia tetap komunis sampai bila-bila.

Jangan sampai yang akan berkata komunis itu pejuang kemerdekaan. Tetapi itu lah yang kata-kata yang kita dengar daripada seorang beberapa bertaraf Menteri, timbalan dan speaker.

Mereka mahukan komunis-komunis ini dinobatkan sebagai pejuang, sedangkan semua orang tahu bahawa komunis Cina itulah pengkhianat sebagaimana yang turut disebut oleh Panglima Angkatan Tentera, baru-baru ini.

Penentangan PKM terhadap Jepun bukan untuk memerdekakan negara ini, tetapi lebih kepada permusuhan yang tidak pernah kunjung padam antara kedua bangsa ini, Perang China-Jepun (1894-1895).

Justeru, apabila Jepun menduduki Tanah Melayu peluang ini digunakan untuk membalas dendam terhadap orang Cina. Rata-rata orang Cina menyertai PKM (MPAJA), dan bertindakbalas kepada Jepun dari hutan.

Akhbar ultra kiasu selalu memutarbelitkan sejarah ini dengan mendakwa komunis itulah pejuang kemerdekaan.

Segelintir netizen tidak setuju dengan cadangan supaya akhbar Utusan Melayu ini diselamatkan. Utusan Malaysia dicop sebagai ‘utusan meloya’, menyokong korupsi, penipu dan memutarbelikan cerita.

Persoalan saya adakah berita-berita ultra kiasu sama berbahasa Cina atau Inggeris, tidak pernah menipu dan menyembunyikan sesuatu. Begitu juga liputan mengenai komunis sebagai pejuang.

Saya tidak akan pernah lupa bagaimana akhbar dan laman sosial ultra kiasu melaporkan berita tentang diri saya suatu ketika dahulu.

Contoh, laman web ultra kiasu yang menipu, dalam melaporkan isu saya ditahan di Lapangan Antarabangsa Kuching pada tahun 2015. Antara link adalah seperti berikut:

https://www.nst.com.my/news/2015/09/sarawak-bars-ridhuan-tee-entering-state

http://wongchunwai.com/2016/04/fear-god-not-men/

Untuk makluman saudara, apabila saya tidak dibenarkan berceramah di Sarawak. Saya mengambil keputusan untuk membatalkan keputusan tersebut dan duduk rumah sahaja. Tiba-tiba apabila viral menjadi berita hangat seluruh negara. Saya ditahan di Lapangan Antarabangsa Kuching. Persoalannya, bila saya pergi?

Memang tidak dinafikan ketika UMNO memimpin kerjaaan, Utusan menjadi lidah rasmi UMNO. Propaganda terlalu berlebihan diberikan kepada Najib Razak dan isterinya, Rosmah.

Persoalannya, apakah akhbar lain bebas? Apa kurang Nanyang Siang Pau, Shin Chew, Oriental dan lain-lain yang menjadi lidah ultra kiasu. Hartawan ultra kiasu inilah yang menghidupkan akhbar-akhbar ini melalui pembelian, penajaan dan iklan.

Malang sekali Utusan Melayu tidak dilanggani oleh sebahagian agensi kerajaan apabila kerajaan bertukar. Kerana nila setitik rosak susu sebelanga.

Saudara cuba baca akhbar-ahkbar Cina, apakah kandungan akhbar ini tidak rasis.

Untuk makluman, akhbar Melayu di negara kita tidak banyak yang berpengaruh, satu dua sahaja. Berbanding dengan akhbar Cina, jauh lebih banyak, ada yang terbit sehari dua kali.

Ingat jasa Utusan, telusuri sejarah, terutama dalam pada zaman dahulu. Jika saudara masih menganggap akhbar ini lidah UMNO, lupakahlah, seburuk-buruk UMNO, jasa mereka tetap ada.

Sebaik-baik PH, jasanya masih belum jelas tampak kelihatan. Ekonomi makin merudum, Gerakan liberal, penghinaan kepada raja, Bahasa Melayu dan hak hak istimewa bumiputera, serta LGBT makin berleluasa.

UMNO sudah banyak belajar sejak kekalahan ini. Ramai yang sudah insaf. Dengan keinsafan ini, jangan pula Menteri PH jadi bongkak sehingga sanggup berkata pergi jahaman dengan Utusan. Bersorak gembira seperti sarkas.

Ingat sejarah utusan Melayu, sebab Allah sentiasa mahukan umatnya mengingat sejarah.

Awal penerbitan Utusan Malaysia bertulis JAWI, merupakan saluran utama penduduk Semenanjung Tanah Melayu dalam menentang penjajah British. Kerana meraikan kepelbagaian Melayu sanggup korban identiti jawinya, kini ia telah dicetak menggunakan huruf rumi. Itulah sifat Melayu yang terlalu okomodatif berbanding dengan akhbar ultra kiasu yang sangat tegar pencinaannya.

Kumpulan Utusan telah diperbadankan pada tahun 1938 di Singapura sebagai Utusan Melayu Press Limited. Keluaran sulung Utusan Melayu, telah dilancarkan pada 29 Mei 1939. Akhbar tersebut dicetak di Singapura dan memenuhi kehendak para pembaca yang celik Jawi di Tanah Melayu jajahan British, termasuk mendiang Lee Kuan Yew membaca jawi. Ultra kiasu Malaysia macam mana? Jangan jadi kacang lupa kulit dan kurang ajar.

Pada tahun yang sama edisi Ahad, Utusan Zaman turut diterbitkan ketika itu. Utusan Melayu dan Utusan Zaman berada di barisan hadapan membangunkan intelek-intelek nasionalis Melayu yang kemudiannya telah melahirkan pemimpin-pemimpin politik Melayu agar bangkit menuntut kemerdekaan daripada penjajah. Apakah kita lupa semua ini hanya kerana kita berada berada dalam zaman moden, bersekongkol dengan ultra kiasu membenamkan Utusan?

Masa berlalu, pada tahun 1967, Utusan Melayu telah diperbadankan sebagai sebuah syarikat berhad awam di bawah Akta Syarikat, bernama Utusan Melayu (Malaysia) Berhad.

Bermula daripada itulah, Utusan telah berkembang maju sehingga tersenarai dalam Papan Utama Bursa Saham Kuala Lumpur pada 1994.

Kemudian, Utusan Melayu terus berkembangan dalam bidang percetakan yang lain. Antaranya ialah pengiklanan melalui Utusan Media Sales (UMES) dan Utusan Airtime, penerbitan majalah (Utusan Karya), penerbitan buku (Utusan Publications & Distributions – UP&D), percetakan (Utusan Printcorp) dan perkhidmatan Online (Perfisio).

Akhirnya saya ingin mengingatkan. Parti politik orang Islam yang dominan, ada dua sahaja UMNO dan PAS. Lidah rasmi mereka tidak banyak Utusan dan Harakah. Berbanding dengan akhbar Cina, India dan lain-lain, jauh melebihi sehingga menenggelam identiti negara ini yang sepatutnya akhbar Melayu dan Melayu mengakar dan mendominasi.

Bukan setakat akhbar UMNO-PAS tidak mendominasi, malah stesen radio dan tv juga percuma juga, mereka mendominasi. Lihat apa yang telah berlaku kepada TV2, TV8, NTV7 sudah menjadi TV Hong Kong, tiada langsung identiti Malaysia (Melayu selaku bangsa majoriti).

Ini tidak termasuk stesen radio percuma dan berbayar. TV-TV swasta usah ceritalah. Proses pencinaan terangat kuat. Di Thailand, semua itu tidak dibenarkan, kecuali disiamkan terlebih dahulu.

Jangan cakap banyak, cuba alihkan berita waktu perdana TV ultra kiasu, daripada jam 8 malam kepada jam 7 malam misalnya, cuba tengok macam mana mereka melompat. Di situ sudah cukup untuk memperlihatkan wajah hodoh ultra kiasu sebenar.

Akhirnya, dalam usaha memperkemaskan penyatuan UMNO-PAS yang sedangkan berjalan, apa kata akhbar harakah bertukar bahan sisipan dalam Utusan, sebalik, akhbar harakah mempunyai sisipan.

Pengikut dan penyokong UMNO dan PAS pakat-pakat membeli dua akhar yang mempunyai sisipan masing-masing. Bayangkan jika 1 juta ahli UMNO dan PAS membeli kedua-dua akhbar tersebut, pastinya akhbar ini akan berdiri megah. Beri ruang kepada Presiden untuk menumpahkan tinta di dalam Utusan.

Begitu juga dengan Harakah, beri ruang kepada Presiden UMNO. Dengan ini akan wujud saling faham memahami, saling mentarbiyyah dan pastinya penyatuan ummah menjadi lebih mantap sebab dua-dua ‘win-win’.

Ingat, agenda penyatuan bukan untuk lima tahun setiap kali datang PRU. Tetapi selama-lamanya menyelamatkan bumi Jawi atau bumi Melayu ini serta bumiputera Sabah dan Sarawak. 
 
 

Tiada ulasan: