PAS menganggap langkah diambil kerajaan pusat dan Johor bagi menangani isu pencemaran bahan kimia di Pasir Gudang belum memadai.
Bendahari Dewan Ulama Pusat PAS Dr Khairuddin Aman Razali berkata setakat ini menteri besar Johor memandang ringan isu berkenaan kerana menganggapnya sebagai masih terkawal dan tidak jejas begitu teruk.
Justeru kata Khairuddin buat masa ini sangat wajar kerajaan mengisytiharkan darurat di Pasir Gudang, sekali gus mengarahkan penduduk setempat berpindah agar kawasan terbabit dapat dikosongkan.
"Tindakan pencegahan sebegini lebih baik berbanding risiko nyawa dan kesihatan yang mungkin timbul selagi kawasan tersebut belum disahkan benar-benar selamat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pencemaran bahan kimia melibatkan Sungai Kim Kim dan menjejaskan orang awam di sekitarnya kini menyebabkan lebih 500 orang dirawat di hospital.
Sembilan daripadanya ditempatkan di unit rawatan rapi Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru.
Kementerian Pendidikan pula mengarahkan semua 111 sekolah di daerah Pasir Gudang tutup serta-merta mulai semalam.
Menterinya Dr Maszlee Malik berkata keputusan itu dibuat berdasarkan situasi semasa dan makluman daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.
Kata Khairuddin langkah mengisytiharkan darurat wajar diambil kerana ada pengkaji menimbulkan persoalan sama ada penyebaran bahan beracun itu boleh dihalang penyebarannya dengan hanya menggunakan penutup muka saja.
"Pencemaran ini telah dikesan sejak 7 Mac lagi dan hari ini telah mencukupi seminggu.
"Adakah kerajaan mahu menunggu lebih ramai lagi mangsa datang mengadu kesakitan akibat terhidu gas metana di hospital sebelum mengumumkan tindakan pencegahan drastik dan bukan hanya tindakan rawatan?" katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan