ISMA WEB
Pekerja pasar malam menyamar pegawai kanan polis Sarawak tipu mangsa pindahkan lebih RM500,000 kononnya untuk diaudit
KUALA LUMPUR
– Seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam kes penipuan ‘Macau Scam’
ditahan ketika cuba mengeluarkan wang berjumlah RM25,000 di kaunter
sebuah bank di sini, hari ini.
Lelaki
berusia 60 tahun dan bekerja di sebuah pasar malam itu ditahan susulan
laporan polis oleh seorang pegawai pemasaran yang kerugian lebih
RM500,000 selepas menerima panggilan daripada seorang lelaki yang
menyamar sebagai pegawai kanan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen
Sarawak.
“Mangsa
dimaklumkan oleh suspek, mempunyai beberapa kes bungkusan membabitkan
pos laju dan akaun mangsa terbabit dalam kegiatan jenayah pengubahan
wang haram.
“Mangsa
berasa takut lalu mengikut arahan suspek untuk memindahkan semua wang
simpanannya ke sebuah akaun untuk tujuan audit dan siasatan,” kata Ketua
Polis Daerah Subang Jaya, ACP Risikin Satiman, dalam kenyataan di sini,
hari ini.
Beliau
berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah
Subang Jaya berjaya mengesan lelaki terbabit selepas dia mengeluarkan
wang dengan jumlah yang besar semalam.
Risikin berkata, polis turut merampas sebuah buku bank dan resit transaksi bank.
Beliau
berkata, sejumlah 18 kes penipuan komunikasi atau Macau Scam dilapor di
daerah Subang Jaya melibatkan kerugian berjumlah RM802,970 sejak Januari
hingga hari ini dan sebanyak 82 kes membabitkan kerugian lebih RM5 juta
dilapor tahun lepas.
Sehubungan
itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya
dengan panggilan telefon mendakwa daripada polis atau syarikat kewangan.
“Sentiasa
berwaspada, jangan panik dan tidak mengikut arahan yang diberikan,
jangan dedahkan nombor akaun dan segera hubungi pihak polis atau
institusi kewangan yang dinyatakan bagi tujuan pengesahan,” katanya. –
Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan