ISMA WEB
Rakyat tanpa mengira ideologi diajak berkumpul di Dataran Merdeka sebagai tanda simpati kepada mangsa kebencian di New Zealand
KUALA LUMPUR
– Perhimpunan Solidariti Kedamaian Sabtu ini, adalah perhimpunan untuk
rakyat Malaysia bersandarkan konsep keamanan dan kedamaian tanpa mengira
anutan agama dan ideologi politik, kata Menteri di Jabatan Perdana
Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.
Sehubungan
itu, beliau mengingatkan mereka yang akan turun menyertai perhimpunan
itu agar memakai pakaian berwarna putih, tanpa membawa sebarang logo
mana-mana parti politik.
Menggunakan
simbol burung merpati putih berlatarbelakangkan bunga raya sebagai
simbol kedamaian, perhimpunan itu akan bermula di hadapan pusat
beli-belah Sogo pada jam 7 pagi, sebelum peserta berarak ke Dataran
Merdeka.
Bercakap
kepada Bernama dan Radio Televisyen Malaysia dalam satu temuramah khas
di Parlimen hari ini, Mujahid berkata, beliau sudah memanjangkan
jemputan perhimpunan itu kepada barisan menteri Kabinet, termasuk
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, selain barisan pembangkang.
“Pada
suasana dunia hari ini yang menyaksikan peningkatan kebencian sesama
manusia sehingga berlakunya banyak insiden keganasan, termasuk yang
terkini di New Zealand, sebagai rakyat Malaysia kita bukan sahaja mahu
melahirkan rasa simpati, tetapi kita mahu tunjuk lebih dari itu.
“Di
Dataran Merdeka nanti, kita akan mendengar ucapan-ucapan yang membawa
mesej kedamaian dan akhirnya kita akan membuat satu deklarasi yang
membawa suara hati rakyat Malaysia yang menentang sebarang bentuk
kebencian dan keganasan, sebaliknya mahukan kehidupan yang aman damai,”
katanya.
Mujahid
menjangka seramai 5,000 hingga 10,000 rakyat Malaysia akan menyertai
perhimpunan aman itu yang turut akan menyaksikan pembabitan
anggota-anggota persatuan pelbagai agama.
“Lebih 50
pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan menyertai perhimpunan itu termasuk
persatuan agama seperti Sikh, Taoism, Buddha, Kristian, Hindu dan
Islam,” katanya. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan