Sabtu, 23 Mac 2019

Berjalan 6km sehari, tolak troli jual ulam

Ahmad Ismail
 
 


MENAIKI tangga hingga tingkat 17 dan dikejar anjing liar, itu antara pengalaman pahit dilalui warga emas, Aminah Ahmad, 64, ketika menjual pelbagai jenis ulam di sekitar Bangsar, flat Pahang, flat Johor dan flat Kedah di Kuala Lumpur, sejak 1970-an.

Meskipun sudah berpindah ke Segamat sejak tahun lalu, Aminah tetap menjual pelbagai jenis ulam dari rumah ke rumah kerana selesa berjalan kaki untuk memastikan tubuh sihat dan pada masa sama, mencari wang tambahan bagi menyara keluarga.

Aminah ketika ditemui berkata, dia pulang ke Segamat selepas suaminya Johari Mat, 62, bersara wajib daripada berkhidmat sebagai kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Bangsar pada November lalu.

“Sejak suami bertugas di Bangsar sekitar 1970-an, saya mula menjaja dan menjual pelbagai jenis ulam dan sayur secara pintu ke pintu di sekitar Bangsar, flat Pahang, flat Johor dan flat Kedah di Kuala Lumpur.

“Sekiranya lif rosak, saya terpaksa menaiki tangga sehingga tingkat 17 dan meneruskan jualan selagi bekalan dalam bakul belum habis.

“Saya akan pergi dari pintu ke pintu, walaupun penat ia menyeronokkan kerana saya dapat menjalani gaya hidup sihat.

“Perkara paling sukar dilupakan, saya dikejar anjing liar namun alhamdulillah, saya tidak pernah digigit haiwan berkenaan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Mewah di Segamat.

Menurutnya, semua ulam dan sayur-sayuran ditanam sendiri menggunakan bekas minuman di belakang rumahnya ketika menetap di Bangsar.

Katanya, apabila pulang ke Segamat, dia menanam markisa, daun kunyit, pegaga, cemperai, habatus sauda, beluncas, ulam raja, pucuk manis, pucuk gajus, serai, limau purut dan tenggek burung di tanah seluas tiga meter persegi.

Bagaimanapun, katanya, disebabkan tidak larat untuk membawa bakul lagi, dia kini menggunakan troli untuk membawa pelbagai ulam dan dijual di sekitar Bukit Siput.

“Saya menolak troli yang menepatkan bekas untuk meletak pelbagai jenis ulam di sekitar Bukit Siput bermula 9 pagi sehingga 12 tengah hari, setiap hari.

“Walaupun sudah berusia, saya masih menjual dari rumah ke rumah kerana ia rutin harian saya.

“Jika sehari tidak keluar berjalan kaki dan menjual ulam, hari itu bagaikan tidak lengkap bagi saya.

“Saya akan berjalan kaki sejauh kira-kira enam kilometer setiap hari dan pada masa sama, boleh berkongsi pengalaman pemakanan serta pengambilan ulam kepada pembeli,” katanya.

Aminah sedar netizen memberikan pelbagai pandangan, namun tidak mahu memberikan sebarang komen kerana setiap manusia berhak memberikan pendapat masing-masing asalkan tidak mengaibkan atau berunsur fitnah.

Katanya, apa yang penting dia mencari rezeki halal dan tidak pernah mengganggu kehidupan orang lain.

“Setiap satu ikat ulam dan sayur dijual antara RM1 sehingga RM2 kerana saya mahu membantu suri rumah menjimatkan perbelanjaan, selain itu semua sayur dan ulam yang dijual segar serta selamat kerana saya tanam sendiri tanpa menggunakan sebarang racun.

“Alhamdulillah, saya dibantu tiga anak, seorang lelaki dan dua perempuan berusia, masing-masing berusia 19, 27 dan 30 tahun.

“Suami pula membantu menjaga tanaman dan memberikan dorongan walaupun ada masanya mereka risaukan kesihatan saya,” katanya.

Tiada ulasan: