Beliau berkata, cuaca panas boleh memburukkan keadaan dan toksin yang tidak kelihatan mudah tersebar ke kawasan lebih luas di Pasir Gudang.
Katanya, beliau dimaklumkan pihak berkuasa Johor tahu kegiatan membuang sisa haram ke sungai itu, tetapi tiada tindakan diambil untuk melupuskan sisa toksik itu.
“Wang atau kos bukan alasan, khasnya apabila ia melibatkan nyawa manusia,” katanya kepada FMT merujuk lebih 2,700 mangsa terjejas selepas menyedut asap toksik.
Katanya, walaupun pembuangan sisa kimia haram tidak meluas, ia biasanya dilakukan syarikat kecil yang mahu mengurangkan kos.
Beliau menggesa Putrajaya memperkenalkan rang undang-undang alam sekitar yang baru, seperti dirangkanya untuk menggantikan akta sedia ada yang digubal pada 1974 supaya pihak berkuasa boleh bertindak ke atas pencemar sungai yang kini di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
“Kerajaan persekutuan boleh memperbaiki kelemahan negeri dalam usaha melindungi alam sekitar.”
Sementara itu, seorang pencinta alam sekitar menyifatkan usaha membersihkan sungai di negara ini “terlambat 20 tahun” kerana majoritinya sudah dicemari plastik, buangan isi rumah dan kilang.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Ekopelancongan dan Pemuliharaan Malaysia (Ecomy), Andrew Sebastian memberi amaran tragedi sama seperti krisis di Sungai Kim Kim boleh berulang pada bila-bila masa.
“Sungai dijadikan tempat pembuangan sampah sejak berdekad dan tiada orang yang betul-betul memberi perhatian terahdap tahap pencemaran sungai, kecuali berlaku tragedi.
“Ia bukan saja kegagalan (pihak berkuasa) negeri. Ia bermula dengan orang awam yang berjalan di tebing sungai dan tidak berbuat apa-apa untuk memaklumkan pihak berkuasa tempatan dan majlis daerah pua mempunyai sumber terhad untuk memantau keadaan sungai.”
“Negara kita mempunyai banyak sungai, tetapi rakyat tidak melaporkan kes pencemaran dan kerajaan negeri tidak mengambil tindakan, menyebabkan syarikat membuang sampah secara terang-terangan,” katanya kepada FMT.
Sebastian mendakwa terdapat banyak kegiatan membuang sampah di Johor dan Selangor.
Beliau mencadangkan hukuman lebih berat dikenakan dan penguatkuasaan lebih ketat kerana “rakyat nampaknya tidak peduli di mana sisa kilang dibuang”.
“Anak Orang Asli menjadi mangsa pencemaran sungai di Cameron Highlands, tetapi tidak banyak perhatian diberikan kerana mereka adalah kumpulan terpinggir.
“Insiden Sungai Kim Kim adalah amaran serius kepada semua.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan