Ahad, 16 September 2018

Zuraida selar Rafizi tak matang berpolitik

Shawaliah Hadir
KUALA LUMPUR – Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin menyifatkan Rafizi Ramli mengamalkan politik tidak matang dengan menggunakan strategi menyerang menjelang pemilihan parti.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan calon Timbalan Presiden itu bahawa Zuraida dan seterunya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali merupakan individu yang membantah Tun Dr. Mahathir Mohamad dijadikan Perdana Menteri.

Enggan mengulas lanjut, Zuraida walaubagaimanapun berkata, isu tersebut tidak relevan untuk dibangkitkan.

“Apa isunya dia nak bangkitkan isu itu? Saya tak nampak relevan dia membangkitkan isu itu,
“Itu cara dia yang kalau saya rasa berkempen cara orang yang tidak matang. Saya lebih suka politik matang. Jadi tak apalah, tinggalkanlah orang yang tak matang,” kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu.

Terdahulu Rafizi yang dipercayai bercakap di hadapan akar umbi PKR menerusi rakaman sebuah video mendakwa menjadi orang tengah memujuk Mohamed Azmin dan Zuraida yang menentang Mahathir dipilih menjadi Perdana Menteri.

Zuraida terdahulu ditemui pemberita selepas membuat lawatan ziarah di Pangsapuri Menteri Sungai Buloh hari ini. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: